advertiser

Friday, 17 March 2017

Mungkinkah ‘Tsunami Mahathir’ akan menumpaskan Najib dan BN dalam PRU14, soal Dr Agus

KUALA LUMPUR: Setelah meneliti ceramah tiga pemimpin kebelakangan ini, pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohamad Agus Yusof meramalkan kemungkinan berlakunya "Tsunami Mahathir" dalam pilihan raya umum ke 14 nanti.

Dalam satu tulisan pada akuan Facebook beliau, Agus berkata, beliau telah mengikuti tiga ceramah awal bulan ini.

Pada 3 Februari 2017, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi ceramah di Alor Limbat, Terengganu.

Pada 13 Mac 2017, Datuk Seri Najib memberi ucapan di Bachok, Kelantan.

Pada 15 Mac 2017, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi ceramah di Cherang, Kelantan.

"Setelah meneliti ceramah tiga pemimpin ini, mungkinkah yang muncul dalam PRU14 nanti ialah Tsunami Mahathir? Pertanyaan ini wajar diberi perhatian," tulis Agus yang sebelum ini meramalkan kemungkinan Kerajaan Pas Kelantan akan jatuh.

Menurut Agus, dalam PRU 1999, biarpun di penjara, Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) menggoncang politik Malaysia.

"Ketika itu, goncangan ini kita panggil gerakan Reformasi," katanya.

Dalam PRU 2008, DSAI yang sudah di luar penjara memimpin pakatan pembangkang dan berjaya menafikan kemenangan dua pertiga majoriti BN.

"Ketika itu, kebangkitan rakyat ini kita panggil tsunami politik," katanya lagi.

Dalam PRU 2013, BN sekali lagi gagal memenangi pilihan raya dengan dua pertiga majoriti.

"Ketika itu, kita panggil Tsunami Cina," kata saintis politik itu.

Sehubungan itu, beliau membangkitkan apakah akan berlaku dalam PRU 14 nanti.

"Tsunami apa pula yang akan muncul?" katanya.

Bagi beliau, tsunami DSAI tidak mungkin dalam keadaannya sekarang (berada di penjara) kecuali mendapat pengampunan diraja.

"Maka, tokoh yang menentukan gelombang politik Malaysia seterusnya adalah di tangan tiga pemimpin ini — DS Najib Razak yang memimpin BN, Tun Dr Mahathir yang berada dalam PH (Pakatan Harapan) dan Tuan Guru Haji Hadi Awang yang menerajui Pas," tulis beliau.

Thursday, 16 March 2017

Adakah Parti Baru dari Ezam & Khairuddin adalah untuk melengkapkan Gabungan Baru PH+PPBM untuk berhadapan BN..?

Parti baharu, tunggu kenyataan rasmi saya: Ezzam


SHAH ALAM – Tunggu kenyataan rasmi saya, demikian jawapan ringkas oleh bekas Senator, Datuk Ezzam Mohd Nor berkenaan desas-desus parti baharu yang akan ditubuhkannya.

Beliau yang enggan mengulas lanjut berkaitan perkara itu memberitahu, satu kenyataan rasmi hanya akan diberikan pada Jumaat.

"Saya berada di luar negara, kenyataan rasmi akan saya berikan esok (Jumaat)," katanya menerusi pesanan ringkas WhatApp sebentar tadi. Memetik laporan Free Malaysia Today, bekas anggota Bersatu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Ezzam dikatakan dalam fasa menubuhkan sebuah parti baharu.

Khairuddin berkata, parti itu ditubuhkan khusus untuk memerangi gejala rasuah yang berlaku di negara ini.


Biarpun masih di peringkat permulaan, namun parti itu mensasarkan golongan muda khususnya generasi Y bagi mengelakkan diri daripada rasuah.

"Kami sebuah parti dengan objektif tunggal memerangi rasuah," kata bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu.

"Generasi Y (lahir 1980-an hingga awal 1990-an) pada masa ini nampaknya dipinggirkan dan diabaikan, tetapi parti yang akan ditubuhkan ini akan menjadikan Gen Y tumpuan mereka," katanya kepada portal berkenaan.

Khairuddin berkata, parti baharu itu nanti tidak akan bersaing melawan pakatan pembangkang terbesar, Pakatan Harapan.

Sebaliknya, mereka mahu melengkapkan Pakatan Harapan dan sekutu baharu, Bersatu yang diasaskan Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Apa sahaja kelemahan Pakatan Harapan, kami akan ambil tanggungjawab menutup kekurangan itu.

"Untuk PRU14 nanti, kami hanya minta diberi dua kerusi," katanya.

Dua kerusi itu adalah kerusi Parlimen Pekan, iaitu kawasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dan kerusi Titiwangsa, iaitu kawasan Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Ezam menyasarkan Najib sementara Khairuddin mahu mencabar Johari.

"Jika Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia meluluskan parti ini, kami akan buat permohonan rasmi kepada Pakatan Harapan dan tanya bolehkah kami menjadi parti komponen.

"Kami juga memilih Pekan dan Titiwangsa kerana ahli Parlimen di situ mengetuai kementerian kewangan, yang menjadi lubuk kepada masalah kewangan negara.

"Kami mahu baiki masalah itu, kami mahu hentikan sebarang bentuk rasuah dalam kementerian itu."

Sehingga ini, hasrat itu masih belum dinyatakan kepada pimpinan Pakatan Harapan dan Tun Mahathir, tetapi akan berbuat demikian dalam masa terdekat.

Pada PRU15 nanti, parti ini bersedia mengambil peranan sebagai pemimpin negara masa depan.

"Ini bukan lagi mengenai kami. Kami hanya mahu membentuk mereka menjadi pemimpin berwibawa yang akan mengambil tempat kita suatu hari nanti.

"Sebab itu kami tidak terburu-buru menjadi sebuah parti yang besar. Itu cerita kemudian hari, mungkin pada PRU15," katanya.  

Seleweng tanah bumiputera memang asam garam Umno

 | MALAYSIA DATELINE

Hassan KarimHassan KarimPenyelewengan terhadap hartanah bumiputera sudah menjadi asam garam pemimpin Umno sekaligus bertentangan dengan reputasi palsu parti itu sebagai 'pembela' orang Melayu, tegas Pengerusi PKR Negeri Johor Hassan Karim.

Menurut beliau, perbuatan menggadai status hartanah bumiputera demi keuntungan peribadi hanya mengabsahkan Umno sebagai parti 'penggadai' tanah rizab Melayu.

"Inikah punca jumlah keseluruhan tanah rizab Melayu di Semenanjung Malaysia tidak termasuk Melaka dan Pulau Pinang, hanya  11.99 peratus berbanding jumlah yang diperuntukkan iaitu 50 peratus.

"Dengan lambakan rekod rasuah dan penyelewengan semakin teruk, adakah slogan 'Hidup Melayu' bermaksud melindungi elitis Umno yang melakukan penyelewengan?" soal beliau.

Sehubungan itu, PKR Johor tegasnya mempertikai kepimpinan kerajaan BN negeri yang diterajui Datuk Seri Khaled Nordin dalam melindungi hak pemilikan hartanah bumiputera.

Menurut Hassan, kes kecurian dokumen dari 'bilik kebal' Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor tidak seharusnya berlaku kerana ia menjejaskan hak tanah rakyat dan menggambarkan kelemahan pentadbiran kerajaan negeri.

Justeru itu, PKR Johor menuntut Menteri Besar meningkatkan keyakinan rakyat yang semakin lenyap akibat skandal rasuah dan tidak hanya menyerahkan penyelewengan yang berlaku kepada polis semata-mata.

"Ini kerana banyak persoalan timbul lantaran bilik kebal yang penuh dokumen penting tidak dijaga dengan baik. Tentunya, rakyat berhak berasa curiga dan mengesyaki ada sesuatu yang tak kena.

"Apatah lagi ia terjadi ketika siasatan sedang berjalan terhadap Exco Kerajaan Negeri, Datuk Abd Latif Bandi. Rakyat juga pasti tertanya-tanya dengan  penemuan 150 beg tangan jenama mewah yang dirampas SPRM pada serbuan di rumah exco tersebut," katanya.

Rentetan kejadian ini, tambah beliau mendedahkan tembelang Umno dalam urusan hartanah bumiputera yang terbongkar satu demi satu termasuk membabitkan anak pemimpin negeri.

Skandal penyelewengan hartanah bumiputera Johor mula terbongkar selepas SPRM menahan enam lelaki termasuk anak anggota exco kerajaan negeri pada 25 Februari lalu.

Cash is king - Menghalal yang haram

Cash is king atau wang tunai itu raja bermakna kepercayaan bahawa sogokan wang; rasuah boleh menjayakan apa sahaja.

Inilah yang dipercayai oleh Datuk Seri Najib Perdana Menteri Malaysia. Dia percaya dia boleh berjaya melalui rasuah.

Ternampak ramai juga dari pemegang jawatan tinggi dalam kerajaan Malaysia sekarang yang percaya cash is king.

Sebab itu kita lihat sekarang bukan sahaja rasuah melibatkan ramai pegawai tinggi kerajaan tetapi jumlah wang yang mereka kumpul juga amat besar; berpuluh bahkan beratus juta ringgit. Cara hidup mereka juga mewah luar biasa.

Kesannya ialah peningkatan kos segala-galanya, hasil kerja berkualiti rendah dengan harga yang lebih tinggi kerana pemberi rasuah cuba mendapat balik wang yang dihulur untuk kelulusan dari pegawai.

Ramai pemimpin politik kerajaan sudah menjadi begitu kaya kerana rasuah. Tidak ada segan silu lagi apabila menunjuk stail cara hidup mewah yang melebihi pendapatan yang halal.

Aku kebal

Jika orang ramai lihat perbelanjaan perkahwinan anak yang menelan berjuta ringgit, pemilikan rumah seperti mahligai, kereta mewah dan lain-lain, itu okay.

Apa yang mereka boleh buat. Aku kebal, kata perasuah.

Jika pemimpin tertinggi jelas menerima rasuah dan percaya cash is king, kenapa mereka yang berada di bawah pemimpin perasuah ini tidak boleh terima bahagian mereka.

Maka bertimbun-timbunlah kes rasuah yang dikesan oleh badan pencegah rasuah. Dan masyarakat pun tidak lagi hairan melihat kes-kes ini. Dia sudah jadi perkara biasa!

Jika dunia mendakwa negara Malaysia tinggi indeks korupsinya, itu pun okay. Apa yang mereka boleh buat. Kita ada kawan yang tidak peduli indeks apa pun.

Budaya masyarakat sudah berubah dan menerima cash is king sebagai sebahagian dari budaya kita. Untuk apa sahaja, sogokan perlu diberi dengan wang rasuah yang meningkat.

Dan kos sara hidup meningkat. Pembangunan pun tersekat, khidmat pun terlewat.

Apabila datang seorang menghulur duit untuk mendapat khidmat yang percuma, percayalah tujuannya ialah untuk membolehkannya kuasa dan peluang untuk melakukan sesuatu yang tidak baik.

Yang menerima sogokan akan menjadi rakan dalam jenayah yang akan dilakukan.

Negara jadi bankrap

Demikian undi dalam PRU adalah percuma. Tidak ada bayaran apa-apa yang diperlukan. Jika sesiapa menghulur duit untuk mendapat undi, sebabnya tentulah kerana mempunyai niat yang tidak baik jika menang.

Perlakuan yang tidak baik oleh pemenang melalui rasuah tetap akan membawa kerosakan yang akhirnya akan dirasai oleh pengundi itu sendiri.

Lebih dari itu jika pemenang mendiri kerajaan, maka kuasa dan kewangan kerajaan tetap akan disalahgunakan. Jika perlakuan sekarang dijadikan contoh, pencurian duit kerajaan juga boleh berlaku.

Kenapa tidak?

Untuk terus berkuasa sogokan perlu diberi lagi. Penipuan, pencurian mesti dilakukan lagi.

Dengan menyalahguna wang kerajaan, pentadbiran akan menghadapi masalah kewangan.

Akhirnya negara akan jadi bankrap. Dengan ini rakyat, termasuk mereka yang menerima sogokan akan menderita.

TUN DR MAHATHIR MOHAMAD adalah perdana menteri Malaysia keempat dan paling lama setakat ini. Beliau berkhidmat selama 22 tahun bermula tahun 1981 hingga 2013 dan kini adalah pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Mufti: Kebodohan 'Raja Bomoh' tiada tebingnya




Mufti Perlis hari ini mengkritik keras aksi terbaru 'Raja Bomoh' Ibrahim Mat Zin yang 'memagar' Malaysia daripada ancaman negara asing, khususnya Korea Utara.

Sambil menyifatkan langkah itu sebagai khurafat dan memalukan akal, Datuk Dr Asri Zainul Abidin juga menegur langkah itu “dijadikan berita rakyat”.

“Padahal perbuatannya itu merupakan kebodohan yang tiada bertebing,” katanya.

Di tengah-tengah ketegangan hubungan Malaysia-Korea Utara, Ibrahim pada Ahad lalu mengadakan upacara untuk “melindungi” Malaysia di tepi pantai.

Beliau dan pengikutnya kali ini menggunakan buluh kecil yang dijadikan teropong, dua biji kelapa dan lima meriam buluh untuk upacara itu.

Menulis di Facebook, Asri juga berkata Ibrahim membaca ayat dan doa dengan cara yang salah.

“Jika itulah dianggap 'raja bomoh', apakah kadar kebodohan pada bomoh yang bukan raja?” katanya.

Asri juga menegaskan Islam menentang kebodohan tanpa mengira siapa yang melakukannya, sekalipun pihak yang bergelar ustaz atau kiyai.

Timbalan Mufti Perak Zamri Hashim hari ini turut dilapor menegaskan upacara pembomohan itu telah diwartakan haram bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004.

Tuesday, 14 March 2017

Debat Dr Mahathir - Nazri 25 Mac ini

 
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengesahkan debatnya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad akan berlangsung di Padang Rengas, Perak bermula jam 3 petang pada 25 Mac ini.

Katanya, debat itu adalah mengenai isu berbangkit dalam negara.

Menurut Nazri, beliau tidak meletakkan sebarang syarat atau terma tertentu dalam penganjuran debat itu.

"Perkembangan terbaru adalah, dia minta debat di Padang Rengas, saya sudah sediakan dewan, pada 25 Mac, jam 3 petang di Dewan Milineum di Padang Rengas.

"Saya akan hormatinya, tidak ada masalah, saya cuma mahu berdebat. Itu juga kerana dia mencabar saya," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Menurut Nazri, beliau akan hadir pada tarikh berkenaan jika penganjuran debat itu berjalan lancar.

Mengulas debat itu, seorang pembantu Dr Mahathir berkata persiapan sedang dibuat untuk perbahasan yang akan diadakan di Padang Rengas, di mana bekas perdana menteri itu dijadual menghadiri satu majlis pada 25 Mac.

Katanya, Dr Mahathir juga teruja dengan debat itu.

Nazri dan bekas perdana menteri itu terheret dalam satu pertikaman lidah berikutan cabaran Nazri awal bulan ini kepada bekas perdana menteri itu untuk melawannya di Padang Renggas dalam pilihan raya umum akan datang.

Sebaliknya, Mahathir, yang kini pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), membuat cabaran balas dengan menyarankan Nazri untuk bertanding menentangnya di kerusi Parlimen Langkawi.

Ini mencetuskan spekulasi bahawa bekas perdana menteri yang berusia 91 tahun itu akan membuat kemunculan semula dalam politik selepas meletak jawatan pada tahun 2003.

Sehari kemudian, Mahathir berkata, beliau tidak berhasrat untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-14.

Bagaimanapun, bekas presiden Umno itu mencadangkan agar diadakan debat berkenaan pelbagai isu termasuk 1MDB dan BMF.

Bekas perdana menteri itu berkata beliau hanya mencabar anggota Parlimen Padang Rengas untuk bertanding di kerusi terbabit dan mahu berbahas dengan Nazri di hapadan orang ramai.

Mengulas lanjut, Nazri berkata beliau menghormati Dr Mahathir dan mereka akan berdebat mengenai isu negara.

“Saya akan hormatinya, tidak ada masalah, saya cuma mahu berdebat.

“Itu juga kerana dia mencabar saya,” katanya.

China labur RM3 bilion untuk projek Terminal Kuala Kedah


China merancang untuk membina Terminal Perikanan Bersepadu Kedah (KIFT) bernilai RM3 bilion di Kuala Kedah bagi pendaratan dan pemprosesan ikan tuna.

Exco Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, dan Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT), Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata projek itu telah mendapat kelulusan daripada Majlis Perancang Fizikal Negara pada tahun lepas.

Majlis itu terletak di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

"Kami menjangka akan menandatangani perjanjian dengan pelabur tidak lama lagi," katanya, sambil menambah projek itu akan meningkatkan pembangunan negeri Kedah apabila dilaksanakan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Duta China ke Malaysia, Dr Huang Huikang, mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, di Alor Setar hari ini.

Terminal itu akan dibiayai sepenuhnya oleh Lu Hai Feng dari China, sebuah syarikat swasta berpangkalan di Qingdao, dibina di kawasan seluas 2,340 hektar di sepanjang pesisir pantai dari Taman Bersatu hingga ke Kampung Tebengau di Kuala Kedah.

Terminal tersebut dijangka menjadi pangkalan bagi bot menangkap ikan tuna yang beroperasi di Lautan Hindi.

Huang berkata China yakin untuk meneroka industri perikanan, pelancongan, tenaga boleh baharu dan getah di Kedah untuk membina hubungan perdagangan dua hala yang lebih kukuh.

"Kami boleh menyepadukan teknologi terkini kami dengan pengeluaran getah Kedah untuk membina industri getah yang lebih maju di sini.

"Bagi pelancongan, kami akan memperkenalkan Langkawi kepada lebih ramai pelancong dari China," katanya. -Bernama

Monday, 13 March 2017

PRU14 : Pas pilih 5 negeri sasaran, selebihnya biarlah BN nak menang

Agih negeri, lagi bukti kerjasama Pas-Umno?

 | ARIF ATAN

Pas dan UmnoPas dan Umno

Kerjasama Pas-Umno dilihat semakin jelas melalui ucapan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini yang hanya mahu partinya menguasai negeri tertentu selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Abdul Hadi Awang Abdul Hadi AwangMenurutnya, parti itu harus memerintah di lima negeri dalam satu majlis pelancaran jentera pilihan raya Pas di Alor Limbat di Marang, Terengganu yang difahamkan berlangsung bulan lalu.

Rakaman video berdurasi 55 saat yang tular di media sosial itu juga menyaksikan penegasan Hadi sebanyak dua kali bahawa negeri-negeri lain biarlah dikuasai Umno-BN.

"Sebab itu bagi Terengganu, Kelantan, Kedah, Perak, Selangor. Biar Pas memimpin. Negeri lain Umno nak lagi biarkan dia. Biarkan dia. Kalau boleh (Pas) nak telan habis, telan habis," ujarnya yang ketika itu berjubah dan berserban putih.

Ini bermakna Hadi tidak mempedulikan sama ada BN akan menguasai atau tidak lapan negeri lain iaitu Perlis, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Tanpa menyebut pihak tertentu, beliau selanjutnya berkata, pentingnya Pas menjalin satu kerjasama politik.

Menyedari kemampuan Pas terhad untuk menguasai semua negeri, Hadi menyifatkan kerjasama itu bertujuan bagi mengelak kuasa politik Islam lenyap.

"(Pas) kena ukur dengan saiz kita sendiri. Kita memerlukan satu kerjasama untuk mengekalkan kuasa politik Islam. Ini sangat penting kita kena sedar," ujarnya.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Marang itu menganggap ahli dan penyokong Umno-BN turut menerima pendekatan politik Pas pada masa sekarang yang tidak sekeras seperti sebelum ini.

"Ini budaya politik dan sejahtera yang kita lakukan hari ini. Orang Umno pun selesa. Mereka pun tak mahu berbalah lama. (Umno) tak mahu (pendekatan politik) keras, mahu lembut.

"Lembut inilah kita boleh berbincang untuk mencari mana benar, mana salah. Kalau silap boleh perbetul," ujarnya lagi pada ketika umum mengetahui Pas begitu berkeras serta bermusuh dengan Amanah dan DAP.

Kembali pada jantung, hati perlembagaan





Ishak Sairozi

ULASAN Rukun Negara adalah ideologi nasional yang paling lama di negara ini. Sejak diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 1970, nadi Rukun Negara masih mengalir deras dalam era pemodenan ini. Biarpun ia cuba diketepikan oleh segelintir pihak dengan alasan peribadi dan alasan politik, Rukun Negara tidak reput dek hujan, tidak lekang dek panas.

Tegap dan hebatnya Rukun negara ini dapat dilihat sedari awal penubuhannya. Peristiwa parang terbang, amukan berdarah dan rusuhan kaum yang memisahkan tiga kaum utama di sebuah negara majmuk ini telah berjaya dipadamkan dengan megahnya oleh Rukun Negara.

Hasil kesepakatan individu-individu penting dalam Majlis Perundingan Nasional dan Majlis Gerakan Nasional, lahirlah sebuah ideologi yang berfungsi sebagai air yang memadam api perkauman dikempen secara besar-besaran sedari awal penciptaannya. Apabila ia diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 1970, maka seluruh negara pada ketika itu mengambil langkah besar-besaran untuk mempromosikan Rukun Negara agar ia terus meresap ke dalam jiwa masyarakat.

Kempen oleh pegawai kerajaan, cadangan menjadikannya mata pelajaran dalam sukatan pelajaran di sekolah, penubuhan skuad sukarelawan penerangan Rukun Negara menjadikan inisiatif mempromosikannya benar-benar hebat.

Pada satu tahap, Rukun Negara telah dijadikan sebagai suatu soalan wajib dalam temu duga untuk mereka yang hendak meminta kerja. Begitu besar peranan Rukun Negara pada ketika itu.

Sekali bah, pantai berubah. Perginya allahyarham Tun Abdul Razak memperlihatkan Rukun Negara sedikit demi sedikit diambil mudah dan dipandang lewa. Gagasan baru dicipta, ideologi baru cuba diterjemah dan sebagai akibatnya, Rukun Negara diketepikan dan senyap sunyi ideologi ini tatkala tiada siapa yang memperjuangkannya.

Tetapi sukar untuk terus melupakan sebuah ideologi yang mempunyai tapak yang sudah kukuh di bumi majmuk ini.

Ternyata gagasan lain tidak mampu menandingi kepentingan yang dikandung dalam prinsip dan objektif Rukun Negara yang dicipta oleh mereka yang benar-benar ikhlas ingin melahirkan masyarakat yang bersatu padu.

Dewasa ini, Rukun Negara perlu diangkat semula tarafnya sebagai sebuah ideologi yang diterima umum. Rukun Negara menjangkaui kepentingan politik, kepentingan individu dan kepentingan wang.

Ia adalah kepentingan terhadap perpaduan negara yang sejak zahirnya dibina dengan sebuah ideologi yang cukup sifat baik dari segi matlamat dan juga prinsipnya.

Lima matlamat, lima prinsip

Lima matlamat dan lima prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara ini seharusnya menjadi cita-cita murni setiap warganegara Malaysia. Ia harus difahami dan dijadikan amalan hidup.

Menyedari hakikat ini, maka sekali lagi satu inisiatif digerakkan untuk meletakkan Rukun Negara di tempat yang tertinggi yang boleh sampai ke seluruh jiwa masyarakat.

Inisiatif yang dimaksudkan ialah meletakkan Rukun Negara sebagai mukadimah Perlembagaan Malaysia (RMP).

Inisiatif yang dibawakan oleh sekumpulan aktivis masyarakat disokong oleh Yayasan 1Malaysia, sebuah NGO yang bebas yang bertindak sebagai sekretariat inisiatif ini.

'Rukun Negara Mukadimah Perlembagaan' ini seharusnya diambil sebagai suatu usaha yang tidak berkepentingan peribadi sebaliknya demi masa hadapan sebuah kedaulatan perundangan dan perpaduan generasi masa hadapan.

Amatlah elok sekiranya, sebuah negara membangun yang memasuki ke era negara maju mempunyai perlembagaan setaraf dengan negara maju, dengan mempunyai mukadimah perlembagaan yang menepati ciri-ciri dan keperluan negara berbilang kaum.

Justeru, Rukun Negara dipilih sebagai mukadimah perlembagaan kerana objektif dan prinsipnya adalah jantung dan hati kepada perlembagaan Malaysia.

Rukun Negara merupakan sebuah ringkasan mudah yang perlu dipatuhi dan diamalkan oleh setiap warganegara Malaysia yang mencerminkan negara ini secara menyeluruh.

Oleh yang demikian, pelaksanaan Rukun Negara sebagai mukadimah kepada perlembagaan adalah sesuatu yang perlu untuk kita sama-sama pertingkatkan semula nilai Rukun Negara di samping melengkapkan kekurangan perlembagaan Malaysia yang masih belum mempunyai mukadimah.

Percayalah, inisiatif ini bukan suatu kerja yang sia-sia. Inisiatif ini adalah satu langkah yang mempunyai serampang dua mata.

Pertama, untuk mengembalikan sebuah kegemilangan satu ideologi yang ditinggalkan dan perlu kita jaga.

Kedua, untuk perlembagaan kita, mempunyai sebuah mukadimah yang mencerminkan warganegara Malaysia yang bagaimana yang hendak kita potretkan kepada khalayak ramai.

Ini adalah tugas kita semua untuk menggerakkan semula sebuah ideologi nasional untuk kembali menjadi buah mulut masyarakat.

Ini adalah tugas kita semua untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu bawah panji perlembagaan negara kita.

Ini adalah masa untuk kita semua menggembleng tenaga untuk mencari jalan meningkatkan kembali rasa perpaduan kita antara sesama bangsa tanpa mengira kaum.

Lantas, marilah seluruh warganegara Malaysia, tidak kira yang berada paling tinggi di bangunan di Putrajaya hinggalah mereka yang selesa hidup bersama mergastua.

Kecaknaan kita akan membawa kita berhasil untuk mengembalikan kegemilangan Rukun Negara. Kita perlu bersatu-padu dalam memberikan sokongan agar usaha murni ini dapat mendatangkan hasil kepada bukan saja diri kita, malah kepada generasi cucu-cicit kita.

Jadikan Rukun Negara mukadimah perlembagaan, semoga Malaysia akan kekal hidup dalam kibaran perpaduan.


ISHAK SAIROZI eksekutif Yayasan 1Malaysia.

PANAS !! Senarai Calon BN Kedah PRU14 Didedahkan ?


Heboh di media sosial  waktu ni tentang senarai awal calon BN Kedah bagi PRU14 yang dikatakan bocor.

Jika dilihat senarai yang tersebut, nampak ada asasnya. Kita lihat di Parlimen Merbok, Ketua Bahagian tidak tersenarai sebagai calon. Umum mengatahui bahawa Dato Tajol Urus sedang bergelut dengan saman hutang lebih 40 juta ke atas syarikat beliau, agak mustahil untuk membayar hutang sebanyak itu kecuali atas bantuan dari pihak atasan BN. 

Kawasan Dun Tanjung Dawai menurut senarai itu bakal diisi oleh Prof Dr Ismail Daud dan Parlimen Merbok diisi oleh Ketua Pemuda Umno Kedah Dato Shaiful Hazizy.

Di Pendang pula, Ahli Parlimen Datuk Othman Abdul kekal, seperti yang dijangka Adun Sungai Tiang Dato Suraya Yaakob tidak tercalon dan digantikan dengan muka baru yang masih muda iaitu Khairul Asri Pubin. Bagi Dun Tokai, Noor Azam Ismail turut tersenarai sebagai calon. 

Di Sik, Ketua Bahagian Datuk Tajuddin Abdullah diletakan sebagai calon Parlimen dan Ahli Parlimen Sik pula turun ke Dun Belantek. 

Apa yang mengejutkan di Dun Bukit Lada muka baru disebut sebagai calon iaitu Haris Che Mat bagi mengantikan Dato Ahmad Lebai Sudin.

Dikawasan lain juga banyak kejutan berlaku dan muka-muka baru dari pemuda dan puteri juga tercalon. 

Jika dilihat dalam senarai ini pastinya BN mahu terus kekal memerintah Kedah dengan meletakkan begitu ramai calon muda dan muka baru. 

Dibawah apa yang disebarkan melalui media sosial sejak petang kemarin. 

Calon Awal BN Kedah PRU 14

CC: YAB Dato' Pengerusi BN Kedah

BERIKUT senarai awal calon Barisan Nasional (BN) bagi 15 kerusi parlimen dan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri 


(Cadangan)

PARLIMEN

1. Langkawi : Nor Saidi Nayan (Umno)
2. Jerlun: Datuk Othman Aziz (Umno)
3. Kubang Pasu : Datuk Mohd Johari Baharom (Umno)
4. Padang Terap : Datuk Seri Mahdzir Khalid (Umno)
5. Pokok Sena : Kamarol Bin Salleh (Umno/Muka Baru)
6. Alor Setar : Syed Abdul Hafiz Syed Mustapa (Umno/Muka Baru)
7. Kuala Kedah : Dr Heazar Ismail (Umno/Muka Baru)
8. Pendang : Datuk Othman Abdul (Umno)
9. Jerai : Datuk Seri Jamil Khir Baharom (Umno)
10. Sik : Datuk Mohd Tajuddin Abdullah (UMNO)
11. Merbok : Dato Shaiful Hazizy Zainol Abidin (Umno/Muka Baru)
12. Sungai Petani : Dato Shahanim Mohd Yusoff (Umno/muka baru)
13. Baling : Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim (Umno)
14. Padang Serai : Datuk Heng Seai Ke (MCA)
15. Kulim/Bandar Baharu : Dato' Norsabrina Mohd Noor (Umno)

Dewan Undangan Negeri

1. Ayer Hangat : Mohd Rawi Abdul Hamid (Umno)
2. Kuah : Datuk Nawawi Ahmad (Umno)
3. Kota Siputeh : Datuk Abu Hassan Sharif (Umno)
4. Ayer Hitam : Ahmad Azhar Abdullah (Umno/Muka Baru)
5. Bukit Kayu Hitam : Datuk Ahmad Zaini Jaafar (Umno)
6. Jitra : Dato Hasmuni Bin Hassan (Umno/Muka Baru)
7. Kuala Nerang : Badrol Hisham Hashim (Umno)
8. Pedu : Datuk Ghazali Ibrahim (Umno)
9. Bukit Lada : Haris Bin Che Mat (Umno/Muka Baru)
10. Bukit Pinang : Dato' Said Ali Bin Syed Rastan (Umno)
11. Derga : Dr Cheah Soon Hai (Gerakan)
12. Bakar Bata : Dato' Seri DiRaja Ahmad Bashah Md Hanipah (Umno)
13. Kota Darul Aman : Loh Gim Hooi (MCA) 
14. Alor Mengkudu : Sharifah Maznah Syed Kassim Barakbah (Umno)
15. Anak Bukit : (Pilihan Pengerusi BN Kedah)
16. Kubang Rotan : Dato' Abdullah Hasnan Kamaruddin (Umno)
17. pengkalan kundor -Suziyanti Binti Omar (Umno/Muka Baru)
18. Tokai : Mohamad Noor Azam Ismail (Umno/Muka Baru)
19. Sungai Tiang : Khairul Asri Pubin (Umno/Muka Baru)
20. Sungai Limau : Khairul Nizam Mohd Rozi
(Umno/Muka Baru)
21. Guar Chempedak : Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ismail (Umno)
22. Gurun : Dr Leong Yong Kong (MCA) 
23. Belantek : Dr Mansor Abdul Rahman (Umno)
24. Jeneri : Mahadzir Abdul Hamid (Umno)
25. Bukit Selambau : (Pilihan Pengerusi BN Kedah )
26. Tanjong Dawai : Prof Dr Ismail Daud (Umno)
27. Pantai Merdeka : Dato' Ali Yahya (Umno)
28. Bakar Arang : (Pilihan Pengerusi BN Kedah)
29. Sidam : Bee Sieong Heng (Gerakan)
30. Bayu : (Pilihan Pengerusi BN Kedah) cadangan K.Pemuda Baling
32. Kupang : Harun Abdul Aziz (Umno)
32. Kuala Ketil : Mohd Khairul Abdullah (Umno)
33. Merbau Pulas : Datuk Marlia Abdul Latif (Umno)
34. Lunas : (Pilihan Pengerusi BN Kedah)
35. Kulim : Chua Thiong Gee (MCA)
36. Bandar Baharu : Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir (Umno)

Bersatu pertahan kedaulatan negara memang wajib, bersatu singkirkan Najib juga wajib

Berdepan krisis diplomatik dengan Korea Utara berikutan pembunuhan Kim Jong-nam, rakyat Malaysia ketika ini diseru agar bersatu hati bersama kerajaan tanpa mengira ideologi politik bagi memastikan segala-galanya berakhir dengan baik.

Yang lebih diutamakan tentunya ialah agar 9 rakyat Malaysia yang masih berada di Pyongyang dapat diselamatkan dan dibawa balik dengan seberapa segera, juga dalam keadaan selamat pastinya.

Lagi lama krisis ini berpanjangan, lagi ia membimbangkan, apatah lagi dengan adanya laporan berita yang mengatakan makanan halal untuk keperluan mereka hanya mampu bertahan untuk tempoh seminggu saja lagi dan mereka juga dinasihatkan tidak keluar ke mana-mana, melainkan kekal berada di dalam kawasan kedutaan atas faktor bahaya yang tak dijangka mungkin akan menimpa.

Secara umumnya, rakyat tidaklah begitu daif tentang keperluan bersatu dalam hal ini. Mereka tahu kerajaan yang sedang memerintah adalah BN dan Perdana Menteri ialah Najib Razak. Oleh itu, demi keselamatan 9 rakyat Malaysia yang sedang berada di Korea Utara itu, sokongan dan dokongan mereka kepada kerajaan ialah agar krisis diplomatik ini segera berakhir dan mereka yang bagai tebusan di Pyongyang ketika ini dapat dibawa pulang dengan selamat.

Sebab itu, nampak sedikit janggal apabila Najib sendiri membuat rayuan agar seluruh rakyat bersatu dan memberi sokongan kepada kerajaan yang sedang dipimpinnya dalam menangani krisis dengan Korea Utara itu.

Najib tidak perlu membuat rayuan secara terbuka kerana tindakan demikian lebih menampakkan beliau ingin mengaut sokongan politik untuk kepentingannya dan masa depan UMNO serta BN semata-mata. Lebih-lebih lagi tarikh pilihanraya mungkin diadakan pada bila-bila masa dan Najib sendiri sedang bergelut untuk memenanginya.

Sepatutnya biarlah pihak lain yang berkecuali yang membuat rayuan sedemikian, manakala Najib dan kerajaan dalam masa yang sama hanya perlu memperlihatkan tindakan atau langkah-langkah konkrit sedang diambilnya untuk menyelesaikan krisis tersebut.

Selagi Najib memperlihatkan usaha ke arah menamatkan krisis dan membawa pulang 9 rakyatnya Malaysia itu, seluruh rakyat memang memberi sokongan kepada kerajaan, walaupun tanpa beliau membuat rayuan secara terbuka mengenainya.

Dalam apa juga keadaan, apabila bertembung dengan negara lain, rakyat secara semulajadinya akan memihak kepada negara sendiri. Itulah namanya sayangkan negara dan mengutamakan kedaulatan negara.

Dalam konteks menamatkan krisis dengan Korea Utara, keperluan untuk rakyat bersatu memberi sokongan kepada kerajaan adalah suatu kewajipan sebenarnya. Sokongan itu lebih kerana BN adalah kerajaan yang sah sedang berkuasa dan menguruskan pentadbiran negara.

Tetapi, sokongan itu bukanlah mengenai masa depan UMNO dan BN atau perhitungan kalah menang dalam pilihanraya, sebaliknya kerana ada 9 nyawa yang perlu diselamatkan, selain untuk mempertahankan maruah serta nama baik negara.

Apa yang penting, krisis diplomatik ini tidak seharusnya membuat kita lupa akan dosa-dosa Najib, UMNO dan BN selama ini. Dosa itu bukan saja berkaitan skandal 1MDB, wang RM2,600 juta, pembaziran, kemewahan dan sebagainya tetapi dalam waktu yang sama menekan kehidupan rakyat melalui penarikan pelbagai subsidi dan mengenakan cukai GST.

Rakyat tidak harus lupa semua dosa-dosa itu. Lebih-lebih lagi Najib kini sedang mempertaruhkan masa depan negara untuk menutup semua salahlakunya selama ini. Najib ingin menang PRU 14 bukan sangat untuk membawa lebih kebaikan kepada negara dan kesejahteraan kepada rakyat, tetapi agar dosa-dosanya dapat dikambus dan tidak diungkit lagi sampai bila-bila.

Tun Mahathir sudah mencecah usia 92 tahun dan PRU 14 mungkin pertarungan terakhir baginya untuk menyelamatkan negara ini. Sebab itu, perhitungan PRU 14 ini amat penting supaya kita tidak terus terjebak kepada masalah dan keperitan hidup yang lebih kronik dan agar selepas ini tidak muncul dua atau tiga lagi 1MDB atau lebih ramai watak seperti Jho Low dan Peter Sondakh menghakis kekayaaan negara.

Menyokong dan bersama-sama dengan perjuangan Tun Mahathir, Pakatan Harapan dan lain-lain pihak yang ingin menyingkirkan Najib, UMNO dan BN adalah kerana mereka merupakan kumpulan paling berwibawa untuk memulihkan masa depan negara ini.

Jika kita berbangga dengan pelbagai kejayaan dan kemampuan Tun Mahathir membawa kecemerlangan selama 22 tahun era berkuasanya selamanya ini, tiada sebab kita tidak boleh meyakini dengan janjinya bahawa beliau mempunyai beberapa pendekatan atau solusi untuk kebaikan negara dengan syarat Najib, UMNO dan BN perlu ditumbangkan terlebih dahulu.

Sebagaimana kita wajib bersatu mempertahankan kedaulatan negara dalam krisis diplomatik dengan Korea Utara, kita juga ada kewajiban lain selepas itu iaitu untuk menjadikan negara ini lebih baik buat semua rakyatnya.

Negara ini akan selamat jika kita dapat bersatu menyingkirkan Najib kerana dalam dirinya didapati bersarang terlalu banyak masalah dan penyakit yang terlalu sukar untuk diubati.

Hanya kerajaan baru mampu menyelamatkan kita, bukan kerajaan lama pimpinan Najib yang sudah uzur, tiada upaya, dipenuhi panau, sopak, kanser dan macam-macam penyakit yang lain lagi.

>> Komentar bebas penulis politik, Shahbudin Husin I 13 Mac 2017

Jab Penerangan sahkan pekeliling beku keluar negara


Jabatan Penerangan mengesahkan pembekuan cuti persendirian atau urusan peribadi ke luar negara membabitkan kakitangan jabatan itu mulai 1 Mei ini.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman bagaimanapun berkata pembekuan itu hanya melibatkan kakitangan jabatan itu yang memohon kebenaran untuk lawatan tidak rasmi ke luar negara.

Pekeliling itu juga dikeluarkan untuk kakitangan Jabatan Penerangan dan bukan semua kakitangan kerajaan, katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook jabatan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan ramai membuat spekulasi pilihan raya umum semakin dekat apabila surat pekeliling bertarikh 28 Februari 2017 itu menjadi viral baru-baru ini.

Surat pekeliling itu memaklumkan bahawa permohonan ke luar negara atas urusan tidak rasmi dan persendirian akan dibekukan memandangkan jabatan itu perlu bersedia menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Individu mengerjakan haji tidak terjejas

Ibrahim berkata, surat pekeliling itu dikeluarkan kerana terdapat anggota jabatan yang menempah tiket kapal terbang setahun lebih awal daripada tarikh penerbangan bagi mendapatkan tambang murah.

"Bagaimanapun, apabila cuti tidak diluluskan, mereka merayu dengan memberi alasan bahawa tiket sudah ditempah dan tidak boleh ditunda tarikhnya.

"Atas kesibukan tugas dan banyaknya program rasmi jabatan dan kerajaan, maka surat pekeliling membekukan cuti persendirian ke luar negara dikeluarkan khas untuk anggota Jabatan Penerangan saja," katanya.

Pembekuan itu katanya bagaimanapun tidak menjejaskan individu yang mengerjakan haji atau dalam kes-kes tertentu.

"Selain itu, pembekuan ini tidak membabitkan mereka yang mendapat tawaran menunaikan haji atau umrah.

"Keperluan ke luar negara tertentu masih boleh dipertimbangkan mengikut merit permohonan mereka, contohnya kematian keluarga terdekat di luar negara," katanya.

Ibrahim berkata menjadi tanggungjawab jabatan itu untuk membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mengendalikan pilihan raya bagi memastikan ia berjalan lancar.

"Selain itu, adalah tanggungjawab hakiki jabatan ini untuk menyampaikan maklumat mengenai dasar kerajaan yang juga dibuat secara berterusan," katanya.

DBKL jual tanah rizab kepada pemaju, soal peguam DAP


Ahli Jawatankuasa Biro Guaman DAP Kedah Zulhazmi Shariff mendakwa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah membatalkan rizab tanah lot 55121 Mukim Kuala Lumpur yang sepatutnya di bawah kawalan Ketua Setiausaha Negara.

Menurut peguam itu kepada Roketkini, kawasan itu telah dirizabkan sebagai kawasan lapang sejak 30 September 2005 dan menjadi padang bola sepak Jalan Jujur.

Zulhazmi Shariff
Namun dedah beliau, DBKL pada 4 November 2015 telah membuat permohonan pembatalan rizab tanah itu dengan persetujuan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebelum dijual kepada pemaju.


Penjualan kepada Tetuan Sinerjuta Sdn. Bhd itu kononnya adalah bagi membina rumah gantian kepada 640 unit rumah pangsa Seri Labuan di Bandar Tun Razak.

Akhirnya, Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan telah mewartakan pembatalan tersebut pada 9 Januari 2017.

“Sekarang tanah Lot 55121 Mukim Kuala Lumpur sudah menjadi tanah kosong yang akan diserahmilik kepada DBKL dan kemudiannya dijual kepada Tetuan Sinerjuta Sdn Bhd,” kata Zulhazmi, memetik laporan Roketkini.

Bagaimanapun, Zulhazmi berkata, alasan tanah itu dijual bagi pembangunan rumah gantian adalah langsung tidak munasabah.

“Baru saja pada 24 Januari lalu, DBKL menyatakan belum ada keputusan rasmi terhadap cadangan pembangunan semula Perumahan Awam Seri Labuan.

“Jika belum ada perancangan, bagaimana jabatan yang sama pada 5 Oktober 2015 menyatakan penjualan tanah itu adalah untuk pembangunan membina rumah gantian bagi rumah pangsa Seri Labuan?” soalnya.

Menurut Zulhazmi, kes padang bola sepak Jalan Jujur itu merupakan contoh ‘penipuan klasik tahap tertinggi’ oleh Tengku Adnan dan DBKL dalam penjualan tanah kepada pemaju tertentu.

“Ada lagi beberapa kes yang akan didedahkan selepas ini melibatkan Menteri Wilayah Persekutuan, DBKL dan pemaju berkaitan.

“Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL perlu jelaskan perkara ini,” tegasnya yang merupakan bekas exco Pemuda Pas Malaysia.

Zulhazmi membangkitkan perkara itu berdasarkan jawapan Tengku Adnan terhadap pertanyaan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok di Parlimen pada 7 Mac lalu.

Ahli Parlimen Putrajaya itu menyatakan semua permohonan penjualan tanah akan dipertimbangkan di peringkat jawatankuasa yang dipengerusikan DBKL sebelum ia ditawarkan kepada pemaju.