advertiser

Saturday, 4 March 2017

BN bimbang pengaruh Warisan di Sabah?

shafie-afdal

PETALING JAYA: Bekas naib presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal membayangkan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Sabah menunjukkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) semakin hampir.


Sehubungan itu kata beliau, kepimpinan Barisan Nasional (BN) tahu bahawa semakin mereka melewatkan keputusan memanggil PRU14 semakin ramai yang akan menyertai Parti Warisan Sabah.


"Mereka tahu yang Warisan semakin popular dan jika mereka melewatkan pilihan raya, ramai akan menyertai Warisan," kata Presiden Parti Warisan Sabah ini.


Najib yang juga Pengerusi BN berada di Sabah semalam dan hari ini sempena lawatan kerja selama 2 hari.


Sebelum ini ada laporan yang menyebut kemungkinan pilihan raya umum negeri Sabah akan diadakan lebih awal bukan bersama Semenanjung sebelum ini. Mandat semasa hanya akan berakhir pertengahan tahun depan, tetapi spekulasi PRU14 semakin kedengaran.


Berucap pada satu majlis di Lahad Datu, Sabah hari ini, bekas menteri kerajaan pusat ini turut mempersoalkan langkah Putrajaya menerima pelaburan Arab Saudi bernilai RM31.1 bilion dalam projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor.


Jumlah itu bakal dijana menerusi kerjasama antara Saudi Aram­co dengan Petronas sebagai rakan pelaburan, kata Najib.


Najib memberitahu rundingan berhubung perkara itu telah dimuktamadkan, sekali gus disifatkan antara keputusan terbesar dicapai dalam lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia.


Katanya, syarikat Arab Saudi itu bakal menjadi pelabur tunggal terbesar dalam projek tersebut.


Hari ini, Shafie mempersoalkan langkah itu sedangkan projek seumpama itu boleh dibina di Sabah.


"Di Sabah kita ada gas dan minyak, mengapa tidak membina projek penapisan di sini?" kata beliau sambil menambah, Sabah ketinggalan dari segi ekonomi meskipun kaya dengan sumber alam semula jadi.


"Apa jenis perkongsian kekayaan apabila kerajaan persekutuan ambil 95% (hasil minyak) dan kita dapat 5%. Kita adalah pengeluar terbesar gas di Malaysia, tetapi kita tidak boleh buat tangki gas sendiri dan mesti beli dari barat," katanya.


Virus-free. www.avg.com

PANAS !!! Tun M turun sendiri ke Forest City Johor hari ini...

TUN M Turun sendiri ke Forest City Johor untuk membuktikan ia jadi hak milik kekal untuk orang luar.

Terkini Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan lawatan khas pagi ini.

Bukti tanah di Forest City Johor Bharu kini hak milik luar. Tun M sendiri meluangkan masa untuk melihat sendiri kawasan tersebut.

UMNO MAKIN KALUT, PENGERUSI MARA BAKAL SAMAN AHLI MAJLIS MARA?

Shahbudin Husin, 


Secara tiba-tiba pada 1 Mac lalu, tersebar berita mengenai pengarah pemasaran sebuah syarikat membuat laporan polis terhadap seorang pemimpin kanan UMNO yang mendakwa melakukan penyelewengan dana sebanyak RM2.7 juta melibatkan yayasan yang diterajuinya.

Dana tersebut dikatakan adalah geran untuk membangunkan perisian komputer bagi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia atau SKMM.

Laporan polis yang dibuat pada Isnin, 27 Februari itu kemudian dipanjangkan SPRM untuk tindakan seterusnya.

Ketika itu, semua orang berteka-teki siapakah pemimpin kanan UMNO tersebut, tambahan lagi apabila SPRM pada 2 Mac turut mengeluarkan kenyataan akan menyiasat "Ahli MT UMNO" tersebut, meskipun dilaporkan laporan polis itu sudah ditarik balik.

Dalam kenyataannya kepada media, pengarah pemasaran itu mengatakan beliau menarik balik laporan polisnya kerana menganggap kes yang dibangkitkannya sudah selesai.

Walaupun demikian, di media sosial khususnya, masih ramai yang tertanya-tanya siapakah "Ahli MT UMNO"  yang dikaitkan itu dan benarkan dakwaan yang ditujukan terhadapnya?

Ada juga yang mempersoalkan kenapa SPRM terlalu cepat memberi kenyataan dan dengan berani pula menyebut pemimpin berkenaan sebagai "Ahli MT UMNO"?

Segala-galanya hanya terdedah apabila Annuar Musa yang sedang berada di Mekah memberi respon agak panjang mengenai perkara tersebut di laman Facebook miliknya.

"Kita terpinga-pinga dibuatnya berikutan adanya laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Kemudian dengar pula laporan polis ditarik balik kerana sudah selesai cara baik,” kata Annuar dalam tulisannya di laman sosial itu.

Selain menafikan segala tuduhan yang ditujukan terhadapnya, Annuar yang juga Ketua Penerangan UMNO dan Pengerusi Mara turut menyifatkan, segala dakwaan terhadapnya dan melibatkan yayasan yang diterajuinya, adalah fitnah dan palsu.
“Apakah aduan palsu dan memberi maklumat palsu tidak perlu disiasat atau ‘tangan ghaib ini’ cukup berkuasa dan boleh mengatur segalanya mengikut selera mereka?
“Cukuplah saya membiarkan pihak tertentu bebas dengan tindakan mereka. Apakah undang-undang negara ini sewenang-wenangnya membenarkan tuduhan atau aduan untuk diviral sehingga pihak tidak bersalah menjadi mangsa fitnah demi fitnah.
“Apakah ini senjata peras ugut apabila kehendak seseorang atau taiko di belakangnya tidak ditunaikan atau bila lagi perniagaan seseorang tidak menjadi?” soal beliau lagi.
Sehubungan itu, Annuar kini menyerahkan kepada peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang didakwa telah memfitnahnya.
Meskipun diketahui bahawa pihak yang membuat laporan polis itu adalah seorang pengarah pemasaran, di media sosial dan warung kopi orang-orang UMNO berhampiran PWTC, rancak diperbualkan bahawa seorang Ahli Majlis Mara adalah antara yang dikatakan terlibat mendalangi laporan polis kepada Annuar itu.
Individu berjawatan pengarah pemasaran itu pula  adalah seorang ahli UMNO dan pernah bertanding jawatan Exco Pemuda dalam pemilihan 2013 yang lalu, tetapi tewas.
Annuar sendiri dalam tulisannya turut menyebut tentang kewujudan "tangan ghaib" dan "taiko yang berada di belakang" dalam kemelut yang dihadapinya.
Siapakah "tangan ghaib" dan "taiko"  tersebut dan adakah Annuar memang menyedari ada musuh dalam persekitaran yang dekat dengannya?
Tidak lama sebelum ini, ketika Annuar berada di New Zealand, satu mesyuarat khas Ahli Majlis Mara telah diadakan secara mengejut dan hasilnya beliau telah digantung jawatan sebagai Pengerusi Mara untuk membolehkan siasatan dijalankan berhubung tajaan UniKL dan Pelaburan Mara Bhd kepada pasukan bolasepak Kelantan.

Kali ini, ketika berada di Mekah, beliau sekali lagi menghadapi serangan berkaitan penyelewengan dana pula.
Adakah kedua-dua kejadian menimpa Annuar itu melibatkan Ahli Majlis Mara yang sama atau ada kaitan antara kedua-duanya?
Apakah permasalahan sebenar antara Annuar dengan Ahli Majlis Mara itu?
Siapakah yang bakal kena saman dengan Annuar kali ini?
Pengarah pemasaran yang membuat laporan kepadanya saja atau Ahli Majlis Mara yang menjadi sebutan ramai dan disebut sendiri oleh Annuar sebagai "tangan ghaib" dan "taiko" itu akan turut disaman sama?
Jika saman Annuar turut melibatkan Ahli Majlis Mara, barangkali pertama kali berlaku dalam sejarah di mana Pengerusi Mara menyaman Ahli Majlis Mara sendiri.
Satu lagi episod menarik dalam UMNO bakal menjadi tatapan kita dan boleh jadi satu lagi tanda UMNO ini semakin mereput dan wajib ditolak seluruhnya. (Shahbudin 03/03/2017).

Tun M - Ya memang saya buat pusingan U

Tun Dr Mahathir Mohamad.

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan analogi pemanduan di jalan raya berhubung tindakan 'pusingan U' beliau kini yang menyebelahi pakatan pembangkang.

Menerusi catatan terbaharu diblognya, Mahathir berkata 'hanya pemandu yang tidak cerdik terus memandu tanpa membuat apa-apa takla melihat ada sesuatu yang buruk terjadi di laluan hadapan'.

"Ya, saya membuat pusingan U. Hanya pemandu bodoh akan terus memandu apabila terlihat jalan raya telah diletupkan dan tidak lagi boleh dilalui.

"Untuk menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak akan menjadikan saya pengkhianat kepada negara. Oleh itu, saya buat pusingan U," katanya yang dipetik diblog chedet.com.

Dalam pada itu, dalam catatannya itu juga, Mahathir turut menyenaraikan laporan salah laku Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung skandal yang terpalit dengan beliau.

4.1 juta rakyat Malaysia layak undi belum daftar: SPR


  SHAH ALAM - Sejumlah 4.1 juta rakyat Malaysia yang layakmengundi masih belum berdaftar sebagai pengundi setakat Februari lepas, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.

Beliau berkata, jumlah berkenaan merangkumi pelbagai kaum yang majoritinya terdiri daripada golongan muda berumur sekitar 21 tahun.

Disebabkan itu, katanya SPR kini mengambil langkah bekerjasama dengan pihak swasta bagi menganjurkan pelbagai program dalam menarik minat rakyat untuk berdaftar sebagai pengundi terutama kepada golongan sasar.

"Berdasarkan statistik terkini itu, kira-kira 45 peratus daripada rakyat Malaysia adalah golongan muda dan lebih empat juta daripadanya tidak berdaftar sebagai pengundi dan ini adalah satu kebimbangan.

"Jika tidak berdaftar sebagai pengundi, tidak guna bercakap di media sosial (berkaitan situasi politik negara), kalau apa yang dicakapkan itu tidak diterjemah dalam bentuk undi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Pendaftaran Pengundi di Kompleks Media Kumpulan Karangkraf di sini, hari ini.

Jelas Mohd Hashim, antara faktor golongan muda tidak berdaftar sebagai pengundi adalah disebabkan mereka tidak memahami kepentingan kuasa rakyat ataupun tidak memiliki kemudahan di sekitar kawasan perumahan khususnya di luar bandar untuk berbuat demikian.  

Sehubungan itu beliau berkata, kempen selama tiga bulan akan digerakkan untuk mendekati rakyat yang belum berdaftar sehingga ke akar umbi bagi memberi kefahaman mengenai kepentingan menjadi pengundi.

"SPR akan tumpukan di kawasan yang rakyat sukar keluar untuk mendaftar pengundi seperti di luar bandar selain di pusat beli-belah di bandar-bandar utama. Usaha ini bagi memastikan lebih empat juta belum berdaftar itu dapat menunaikan tanggungjawab mereka," katanya.

Mohd Hashim dalam pada itu meminta pengundi berdaftar supaya lebih serius dalam menunaikan tanggungjawab kepada negara dengan keluar mengundi semasa pilihan raya diadakan.

Ini kerana katanya, peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya hanya mencapai sehingga 75 peratus dan tidak pernah mencecah 100 peratus atau lebih 90 peratus.

"Sebagai contoh semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru ini, hanya 68 peratus sahaja yang keluar mengundi, .mana lagi baki 22 peratus. Disebabkan itu, kita kena serius dalam hal ini jika mahu menegakkan demokrasi di negara kita," katanya.

Kempen Pendaftaran Pengundi selama tiga hari di Kompleks Media Kumpulan Karangkraf itu buat julung kali dianjurkan dengan usahasama dua badan swasta iaitu akhbar Sinar Harian dan syarikat penerbangan tambang murah Air Asia X Berhad.

Menerusi kempen itu, Air Asia X Berhad menawarkan 1,100 tiket penerbangan percuma ke beberapa destinasi luar negara bagi rakyat yang berdaftar sebagai pengundi. - Bernama

Friday, 3 March 2017

Ku Nan : Kerjasama politik Umno dengan parti di Korea Utara dikaji

Bernama

PUTRAJAYA: Umno akan mengkaji semula kerjasama yang dijalinkan dengan parti politik Korea Utara, Workers Party of North Korea (WPK), susulan perkembangan hubungan dua hala ekoran kes pembunuhan warga Korea Utara Kim Jong Nam di Malaysia.

Setiausaha agungnya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata perkara ini akan dibawa ke Majlis Tertinggi (MT) Umno dalam masa terdekat untuk dibincangkan mengenai jalinan kerjasama itu.

"Kami akan kaji semula kerjasama itu," katanya ketika ditemui selepas merasmikan bangunan tambahan Surau dan Ihtifal Thanawi di Surau Al-Iman, Presint 9 di sini hari ini.

Tengku Adnan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai status memorandum persefahaman Umno dan WPK yang ditandatangani pada Perhimpunan Agung Umno 2014 ekoran kes pembunuhan Jong Nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga meminta Kementerian Luar mengkaji semula hubungan diplomatik dengan Korea Utara susulan kenyataan biadab dikeluarkan Duta Besar Korea Utara di Malaysia, Kang Chol berhubung kes pembunuhan Jong Nam.

Jong Nam berada di klia2 pada 13 Februari bagi menaiki penerbangan ke Macau apabila tiba-tiba dihampiri 2 wanita yang dikatakan menyapu mukanya dengan tangan yang dilumur bahan beracun.

Jong Nam, yang menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

AMANAH - Tukar status tanah Bumiputera tindakan jijik

Tindakan menukar status hartanah bumiputera adalah satu perbuatan jijik dan membuktikan kegagalan kerajaan pimpinan Umno/BN untuk mempertahankan hak bumiputera, tegas Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

Sehubungan itu Salahuddin mencabar exco kerajaan negeri Datuk Latif Bandi dan Menteri Besar Johor Datuk Seri Khalid Nordin untuk mengisytiharkan harta dan siasatan dilakukan terhadap seluruh anggota Exco negeri.


Beliau turut mempersoalkan bagaimana kebocoran hasil penukaran status hartanah bumiputera itu berlaku tanpa disedari oleh menteri besar Johor serta exco kerajaan negeri Johor.

"Berikutan siasatan kes pecah amanah penukaran status hartanah bumiputera negeri Johor, saya menggesa agar siasatan perlu dijalankan terhadap exco kerajaan negeri Johor dan Menteri Besar Johor dan bukan sahaja 6 orang yang telah ditahan oleh SPRM baru-baru ini.

"Ini kerana kes yang melibatkan jutaan wang rakyat ini perlu kepada siasatan menyeluruh," tegas beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Tindakan bobrok ini, tegas beliau telah mencemarkan nilai integriti warga Johor sedangkan ia perlu dipelihara bagi memastikan pentadbiran negeri bebas dari korupsi demi pembangunan Johor dan kesejahteraan hidup rakyat.

"Saya ingin mempersoalkan kelemahan pentadbiran negeri Johor yang seolah-olah mudah bagi mereka untuk mengekspoitasi wang rakyat.

"Bayangkan dengan wang yang begitu banyak bocor itu, kita boleh memanfaatkan wang tersebut kepada rakyat Johor dengan pelbagai projek dan bantuan kepada rakyat," tegasnya.

Makanan, rumah lebih utama berbanding RUU 355

 | ARIF ATAN

Dr Mohd Kamil Abd MajidDr Mohd Kamil Abd Majid

Ahli akademik kanan sebuah universiti awam terkemuka menyifatkan usaha memenuhi keperluan asasi rakyat harus diberi keutamaan terlebih dahulu berbanding Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016.

Pensyarah Jabatan Akidah Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) Dr Mohd Kamil Abd Majid berkata, rakyat pada masa ini memerlukan makanan dan kediaman walaupun tidak dinafikan manfaat pindaan Akta 355 itu.   

"RUU (355) bagus tapi beri kenyang rakyat dan beri rumah kepada rakyat lebih aula masa ini," katanya dipetik daripada status Facebook miliknya.

Beliau juga berpendapat hanya rakyat yang tidak memiliki rumah dan tiada makanan mencukupi lebih memahami realiti berkenaan.

Dalam satu reaksinya terhadap komentar pengguna media sosial itu tentang pandangan beliau yang mungkin sukar diterima orang lain termasuk mengundang label negatif, beliau menjawab, "Allah terima" dan "Biar Allah yang label. Manusia sama di depan-Nya".

Pengasas di Yayasan Usuluddin Malaysia itu turut mengakui pendapat salah seorang netizen tentang perlunya wang tajaan menunaikan umrah disalurkan bagi tujuan membina rumah yang mampu rakyat miliki.

Polemik mengenai RUU 355 yang dibawa Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berlarutan sehingga dilihat mengundang permusuhan dalam masyarakat sesama Islam dan antara agama di negara ini.

Walau bagaimanapun, Presiden Pas itu dalam usul persendirian yang dibacakan di Dewan Rakyat tahun lalu telah bertindak menangguhkan pembentangan pindaan akta tersebut ketika penyokong taksub parti tersebut mendesak supaya disegerakan.

Dua kali berturut-turut Abdul Hadi meminta perbahasan mengenai RUU itu ditangguhkan. Kali pertama pada 26 Mei iaitu 10 hari sebelum penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diikuti 24 November lalu.

EXCO DAN MB JOHOR WAJIB ISYTIHAR HARTA

KENYATAAN MEDIA

02 Mac 2017 

Berikutan siasatan kes pecah amanah penukaran status hartanah bumiputera negeri Johor saya menggesa agar siasatan perlu dijalankan terhadap exco kerajaan negeri Johor dan Menteri Besar Johor dan bukan sahaja 6 orang yang telah ditahan oleh SPRM baru-baru ini, ini kerana kes yang melibatkan jutaan wang rakyat ini perlu kepada siasatan menyeluruh. 

Tindakan bobrok ini dilihat mencemarkan nilai integriti warga Johor dan nilai integriti ini perlu dipelihara bagi memastikan pentadbiran negeri Johor bebas dari korupsi demi memastikan pembangunan negeri dan rakyat yang lebih sejahtera.

Saya ingin mempersoalkan kelemahan pentadbiran negeri Johor yang seolah-olah mudah bagi mereka untuk mengekspoitasi wang rakyat dan bagaimana kebocoran hasil penukaran status hartanah bumiputera berlaku tanpa disedari oleh menteri besar Johor serta exco kerajaan negeri Johor?

Tindakan rasuah skandal penukaran status hartanah bumiputera adalah satu perbuatan jijik dan jelas menunjukkan bahawa kerajaan UMNO BN gagal mempertahankan hak bumiputera rakyat Johor. 

Bayangkan dengan wang yang begitu banyak bocor itu, kita boleh memanfaatkan wang tersebut kepada rakyat Johor dengan pelbagai projek dan bantuan kepada rakyat Johor.

Justeru, saya mencabar agar exco kerajaan negeri Datuk Latif Bandi dan Menteri Besar Johor DatuK Seri Khalid Nordin untuk mengisytiharkan harta (asset declaration) segera. Rakyat Johor tidak mahu wang mereka dipergunakan sesuka hati untuk perbuatan jijik rasuah dan salah guna kuasa.

*Salahudin Ayub*
Timbalan Presiden 
Parti Amanah Negara (AMANAH)

Thursday, 2 March 2017

SEPARUH DARIPADA AS$27 BILION, NILAINYA BERAPA?

33327578-02_12_2014-stmoney03
Semalam gegak-gempita golongan penyokong dan pengampu Najib Razak dengan berita syarikat minyak Arab Saudi, Aramco membeli 50 peratus pegangan saham dalam projek Rapid Petronas di Pengerang, Johor.


Kata mereka, ia merupakan satu lagi tanda hubungan baik dan saling percaya-mempercayai antara Raja Salman dengan Najib.


Pada awal tahun sebelum ini, tersebar berita bahawa Aramco berhasrat untuk menangguhkan rancangannya untuk menjalin kerjasama dengan Petronas dalam Projek Penapisan dan Pembangunan Petrokimia Bersepadu (Rapid) di Pengerang itu.


Alasanya ialah pelaburan dalam projek tersebut dianggap tidak akan menjana pulangan yang mencukupi untuk Aramco.


Menteri Kewangan Kedua, Johari Abdul Ghani pada 31 Januari 2017 mengesahkan penarikan diri Aramco dalam projek bernilai AS$27 bilion itu, tetapi mengatakan ia tidak memberi kesan apa-apa kerana Petronas memang membiayainya sendiri sejak awal lagi.


Aliran tunai untuk dana projek itu sehingga siap sentiasa berdasarkan hanya kepada kemampuan Petronas sendiri, tambah beliau lagi.


Alih-alih sempena lawatan Raja Salman ini, Aramco tiba-tiba bukan saja menandatangani perjanjian pembelian saham sebanyak 50 peratus projek Rapid bernilai AS$7 bilion atau kira-kira RM31 bilion, bahkan  mengatakan tidak pernah ada rancangan untuk menarik diri.


Apa yang pelik dalam hal ini?


Johari mengatakan projek Rapid bernilai AS$27 bilion, tetapi Aramco membeli 50 peratus daripadanya dengan hanya AS$7 bilion.


50 peratus  atau separuh daripada nilai AS$27 bilion, berapa angkanya?


Sekiranya ada Profesor Matematik, tolonglah jelaskannya?


Jika dalam kes pembelian 37 peratus saham Eagle High Plantation di Indonesia oleh Felda yang bernilai AS$505.4 juta, nilai yang sanggup dibeli oleh agensi peneroka itu dilaporkan sehingga 173 peratus lebih lebih tinggi berbanding harga pasaran, kenapa pula dalam menjual saham Rapid di Pengerang, ia seolah-olah dengan harga lelong?


Adakah ini cara kerajaan Malaysia berniaga, beli mesti mahal dan jual mesti murah?


Adakah kerana harga murah itu yang menjadi sebab utama Aramco tidak jadi menarik diri dan seterusnya setuju mengusai 50 peratus saham Rapid? (Shahbudin 01/03/2017).

Satu undi untuk BN, satu undi untuk rasuah

 | MALAYSIA DATELINE

Negara perlu diselamatkan daripada barah rasuah.Negara perlu diselamatkan daripada barah rasuah.

Rakyat khususnya para pengundi di negara ini perlu memastikan negara bebas daripada belenggu rasuah dengan memilih kerajaan baru yang lebih berintergriti kerana satu undi yang diberikan kepada BN bermakna satu undi untuk rasuah.

Dalam satu kenyataan bersama, parti-parti yang bergabung dalam Pakatan Harapan melahirkan kebimbangan berhubung amalan rasuah yang makin berleluasa di bawah pentadbiran Najib Razak.

"Barometer Korupsi Global Transperancy International (Asia Pasifik) bagi tahun 2016 telah mendedahkan seramai 60 peratus rakyat Malaysia bersetuju bahawa tahap rasuah negara ini semakin teruk dengan pertambahan dua kali ganda berbanding 30 peratus pada tahun 2014.

"Kenyataan ini disokong oleh kajian Barometer Edelmen Trust Malaysia 2017 yang menyatakan bahawa seramai 52 peratus rakyat Malaysia telah hilang kepercayaan kepada institusi dan sistem pentadbiran, ekonomi dan sosial manakala 83 peratus rakyat Malaysia bersetuju bahawa rasuah sebagai punca utama," ujar kenyataan bersama Datuk Raja Kamarul Bahrin (AMANAH), Rafizi Ramli (PKR) dan Tony Pua (DAP).

Kenyataan itu menambah, majalah Time keluaran Mac 2016 telah menempatkan Malaysia sebagai negara kedua paling korup di dunia selepas Brazil manakala The Economist's Crony Capitalism Index 2016 meletakkan Malaysia di kedudukan kedua di dunia selepas Rusia.

Negara ujar kenyataan itu, sekali lagi telah dimalukan di seluruh dunia apabila Jabatan Keadilan Amerika Syarikat menyifatkan Malaysia mengamalkan kleptokrasi akibat skandal penyelewengan dana 1MDB.

Pada tahun 2015, Global Financial Integrity (GFI) menempatkan Malaysia dalam senarai lima negara utama di dunia yang mengamalkan aliran tunai keluar secara haram dengan jumlah terkumpul bersamaan RM1.8 trilion antara tahun 2004 dengan 2013.

"Dengan skandal-skandal 1MDB, Jabatan Air Negeri Sabah, Felda, dan Majlis Amanah Rakyat, ini membuktikan bahawa budaya korupsi yang diamalkan oleh Kerajaan Umno-BN semakin membarah.

"Kos rasuah terpaksa ditanggung oleh rakyat dalam bentuk kemerosotan nilai matawang ringgit, pemotongan peruntukan untuk sektor kritikal seperti pendidikan dan kesihatan, GST, serta kenaikan kos sara hidup," kenyataan media itu dipetik.

Sehubungan itu, Pakatan Harapan menawarkan permulaan baru dengan:

1. memastikan tiada campur tangan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), agensi pelaburan dan khazanah negara. Kesemua ini akan dibenarkan untuk membuat keputusan berdasarkan mandat pelaburan daripada mandat rakyat;

2. melantik seseorang yang berwibawa untuk menjadi peguam negara yang diberi kebebasan untuk menjalankan tugas-tugas siasatan terhadap sesiapa sahaja mengikut Perlembagaan; dan

3. memastikan kebebasan media, termasuk agensi-agensi berita dan penyiaran berita milik rakyat yang dibenarkan berfungsi secara bebas dan saksama.

"Oleh yang demikian, Pakatan Harapan menyeru kepada semua rakyat Malaysia yang menentang rasuah dan inginkan perubahan untuk segera mendaftar dan keluar mengundi pada pilihan raya umum akan datang," ujar kenyataan bersama itu.

Bekas bos anak syarikat Tabung Haji didakwa ubah wang haram RM2.57 juta


PETALING JAYA: Seorang bekas ketua pegawai eksekutif TH Heavy Engineering Bhd (THHE), anak syarikat Tabung Haji, hari ini mengaku tidak bersalah terhadap 5 pertuduhan mengubah wang haram berjumlah RM2.57 juta, 4 tahun lalu.

Pada sebelah pagi, Datuk Nor Badli Munawir Mohamad Alias Lafti, 51, mengaku tidak bersalah terhadap 2 pertuduhan membabitkan RM1 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, selepas ia dibacakan di hadapan hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa terbabit dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang tunai RM430,000 daripada Pengarah Syarikat Coral Intoil, Mohd Razip Mohammad, hasil aktiviti haram di THHE Fabricators Sdn Bhd, B-23-1, Tower B, Menara UOA Bangsa, antara 2 hingga 4 petang, 27 Jun 2013.

Bagi pertuduhan ke-2, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama dengan menerima wang tunai RM570,000 daripada Pengarah Syarikat RL Offshore Sdn Bhd di Restoran Leaf Dining, No 5-1, Jalan Solaris 1, Solaris Mont Kiara antara 3 petang hingga 4 petang, 1 November 2013.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin.

Selapas itu, Badli Munawir ketika dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Shah Alam, mengaku tidak bersalah terhadap 3 pertuduhan melibatkan RM1.57 juta.

Untuk 3 pertuduhan itu, dia sebagai ketua pegawai eksekutif syarikat yang terbabit dalam industri minyak dan gas itu didakwa menerima wang tunai RM400,000, RM570,000 dan RM600,000 daripada Pengarah Syarikat Bicara Sepakat Sdn Bhd, Murhasmee Mukhtar, hasil aktiviti haram.

Tiga perbuatan itu dilakukan di sebuah restoran di Oasis Square, Petaling Jaya, antara 2 Mei hingga 11 September 2013.

Hakim Asmadi Hussin membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM50,000 tanpa cagaran dan penjamin mengikut Seksyen 387 (2) Kanun Prosedur Jenayah serta membenarkan semua kes itu dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 15 Mac ini.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 5 tahun atau denda tidak melebihi RM5 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Malaysia lubuk misteri? Dulu MH370, kini Jong Nam

kimjongnam-mh370
KUALA LUMPUR: Berikutan pembunuhan ala perang dingin Kim Jong Nam menggunakan agen saraf VX, Malaysia sekali menjadi perhatian dunia dengan drama, spekulasi dan teori aneh.

Tiga tahun lalu, ia pernah menjadi tumpuan dunia selepas kehilangan pesawat MH370, kes misteri paling lama bertahan dalam industri penerbangan.

Sekarang timbul pula kes pembunuhan Jong Nam yang menyerupai sebuah drama sensasi yang menampilkan jalan cerita yang kompleks dan memberi kesan mendalam kepada rakyatnya.

Februari lalu, abang sebapa pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un terbunuh dipercayai akibat diserang agen saraf VX yang sebenarnya digunakan dalam perang kimia.

Beliau diserang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2), dan Pyongyang dikatakan bertanggungjawab terhadap kes ini.

Tetapi selepas 4 daripada suspek utama melarikan diri ke Korea Utara dan mendapat perlindungan di sebalik kekebalan diplomatik negara itu, polis Malaysia bakal menghadapi masalah menutup kes itu seperti mana yang berlaku ketika insiden MH370.

Rakyat Malaysia semakin letih dengan tumpuan media terhadap negara mereka dan bimbang reputasinya tercalar lagi.

“Dulu jarang kita dengar Malaysia terlibat dengan isu antarabangsa atau diplomatik tapi sekarang ia perkara biasa dan tidak dapat dikawal,” kata pemandu teksi, S.Jaganathan, 68.

“Terlalu banyak berita sensasi di Malaysia jadi saya tidak terkejut mendengar berita pembunuhan ini, ia sering berlaku dan ia seperti isu biasa”.

Dua wanita didakwa dalam siri pembunuhan Jong Nam tetapi dalang di sebalik perbunuhan itu masih belum terjawab.

Ada yang mengatakan Kim Jong Un tidak terlibat dalam pembunuhan itu tetapi dilakukan pihak tertentu dalam kerajaan Korea Utara untuk menggembirakan perhatian pemimpin diktator itu sempenah ulangtahun kelahiran bapanya, Kim Jong Il yang meninggal dunia pada 2011.

Terdapat juga spekulasi yang mengaitkan Jong Nam terlibat dengan masalah hutang judi di Macau, China.

Amir Zaini, 27, berkata beliau tidak percaya Malaysia sekali lagi terlibat dengan cerita yang pelik.

“Tidak masuk akal apabila semua cerita yang pelik-pelik berlaku di Malaysia,” katanya.

Malaysia mula menjadi perhatian dunia dengan cerita misteri apabila penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing hilang pada Mac 2014.

Tidak diketahui status penerbangan yang hilang itu sehingga menimbulkan pelbagai teori spekulasi, antaranya rampasan Taliban, kejadian meteor atau lencongan oleh CIA.

Malaysia mengalami perkembangan yang pesat sejak merdeka dengan ekonomi ketiga terbesar di Asia Tenggara.

Pemandangan ibu kota Kuala Lumpur yang menggabungkan seni bina moden yang menarik, infrastruktur lengkap, bangunan kolonial yang dipulihkan, taman negara dan pantai yang bersih menjadi daya tarikan pelancongan yang popular.

Walaupun kemiskinan luar bandar yang sudah berakar umbi, namun rakyat Malaysia masih mempertahankan imej Malaysia sebagai sebuah negara berjaya, walaupun imej itu sikit demi sedikit terhakis.

Pakar perisian, Nazmi Najib, 31, berkata berita pembunuhan Jong Nam itu seperti mengulangi kisah lama.

“Ini mungkin memberi kesan kepada imej negara dan orang luar menganggap Malaysia bukan lagi sebuah negara yang selamat.

“Diharapkan kes ini dapat diselesaikan tidak lama lagi kerana terdapat banyak spekulasi negatif diperkatakan,” katanya.

Kebimbangan nilai ringgit juga menjadi isu apabila berlaku kejatuhan harga minyak dan pergolakan politik yang berpunca daripada skandal yang dikaitkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Walaupun Malaysia mengalami 2 kisah misteri tapi ada perbezaan ketara bagaimana Malaysia mengatasinya.

Dalam isu kehilangan MH370 pada 2014, Malaysia dikritik seluruh dunia, sebaliknya pihak berkuasa tempatan mendapat pujian atas siasat kes pembunuhan Jong Nam, dan ia jarang berlaku.

Pegawai kanan dan ahli politik bertindak pantas mendedahkan perkembangan terkini kes tersebut, berbeza 3 tahun lalu, apabila pegawai beberapa kementerian sering memberikan maklumat bercanggah dan adakala gagal memberi maklumat lengkap kepada media.

Pegawai tadbir universiti, Hazri Haili, 35, berkata memandangkan “Malaysia masih dalam proses menjadi negara maju … ia masih belajar menangani perkara ini.”

“Saya harap pihak berkuasa dapat belajar daripada insiden MH370,” katanya.

Pemandu teksi, Azhar Hamzah, 47, memberitahu AFP, beliau turut terpegun dengan kecekapan siasatan pihak polis.

“Mereka pantas menahan suspek dan ia mengejutkan,” katanya.

Kementerian sahkan harga gula naik 11 sen


PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengesahkan harga gula dinaikkan daripada RM2.84 kepada RM2.95 1kg sejak semalam.

Kementerian terbabit berkata, kenaikan itu ekoran peningkatan ketara harga gula mentah dunia yang diimport Malaysia.

"Di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No 2) 2017, Kementerian dengan ini menetapkan harga baru bagi gula pasir putih bertapis kasar pada harga RM2.95 sekilogram.

"Bagaimanapun, kerajaan masih mengawal harga tersebut pada paras paling minimum jika dibandingkan kenaikan di negara lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kali terakhir harga gula diselaras ialah pada 25 Oktober 2013.


Virus-free. www.avg.com

Lawatan Raja Saudi gagal selesaikan isu RM2.6 bilion ke akaun Najib


Lawatan Raja Saudi, King Salman gagal menyelesaikan masalah utama yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak iaitu adakah benar beliau memberikan derma RM2.6 bilion kepada Najib.

Ketua parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam satu kenyataannya berkata, perkara paling utama yang patut diperolehi oleh Najib melalui kunjungan ini adalah pengesahan Salman mengenai, namun ia tidak berlaku.

Bagi beliau, kenyataan seorang profesor kononnya kedatangan Salman ke Malaysia mengesahkan beliau tidak terasa difitnah oleh Najib dalam isu ini tidak boleh diterima akal.

"Hujjah bahawa Raja Salman tidak akan menjejakkan kaki ke Malaysia jika Najib 'memfitnahnya' tidak boleh diterima akal.

"Ini kerana, bagaimana King Salman boleh mengenepikan sebuah negara OIC seperti Malaysia dalam siri lawatannya ke negara Asian yang meliputi enam negara, Indonesia, Brunei, Japan, China, Maldives dan Jordan," katanya.

Najib sebelum ini mendakwa wang RM2.6 bilion yang masuk ke akaun pribadi beliau adalah derma dari pemimpin negara Arab.

Beliau juga kemudiannya berkata, ia telah diserahkan kembali sebahagian besarnya.

Namun, Peguam Negara Amerika dalam penjelasan ketika Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika bertindak ke atas 1MDB di negara itu, wang yang masuk ke akaun Najib adalah dari 1MDB.

Asri kecam tindakan Hindraf gesa kerajaan usir Zakir Naik


Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin tidak berpuas hati dengan tindakan kumpulan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) bersama tokoh liberal menyaman pendakwah terkebal, Dr Zakir Naik hari ini.

Beliau dalam akaun facebooknya mencabar kumpulan tersebut supaya mengemukakan bukti terhadap dakwaan kononnya Zakir mengugat keamanan dan keharmonian masyarakat di Malaysia.

"Apakah bukti dia mengancam? Apakah hanya kerana ada Hindu yang menganut Islam lalu mereka ini begitu sensitif? Atau apakah alasan yang lain?" katanya.

Sekumpulan aktivis hari ini diketuai Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy.memfailkan tuntutan mahkamah menuntut satu perintah penangkapan dan pengusiran pendakwah kontroversi Zakir.

Turut serta adalah 18 yang lain, termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bingkor Jeffrey Kitingan, peguam Siti Kassim dan Pengarah Center for Policy Initiatives Lim Teck Ghee.

Beberapa individu beragama Islam yang turut menyertai tindakan saman itu juga diselar Asri yang disifatkannya sebagai suatu yang pelik.

"Tidaklah pelik jika mereka itu dari kumpulan bukan Muslim ataupun kafir yang tidak suka dengan dakwah.

"Namun yang pelik jika ada yang mendakwa diri mereka Muslim tetapi meminta supaya tokoh pendakwah Muslim yang terkenal dengan hujahnya itu ditangkap," katanya.

Asri tidak merujuk kepada sesiapa individu beragama Islam, tapi dipercayai ia merujuk kepada peguam yang terkenal kelantangannya menolak Rang Undang-Undang 355 Mahkamah Syariah.

Kumpulan itu memohon satu perintah untuk membatalkan status Zakir sebagai seorang pemastautin tetap Malaysia, sekiranya diberikan (dan) satu perintah untuk mengusirnya dengan segera dari Malaysia

PERINGATAN
Malaysia Dateline tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen 

Sokongan Melayu terhadap Umno turun kepada 40%, dakwa PKR


Umno, parti Melayu terbesar di negara ini hanya menikmati 40 peratus sokongan Melayu pada masa ini, dakwa Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

"Sokongan pengundi Melayu kepada Umno di seluruh negara kekal rendah pada tahap 40 peratus secara purata," kata beliau yang juga ahli Parlimen Pandan semasa sidang media, hari ini.

Ia berdasarkan kepada tiga kaji selidik yang dijalankan sejak bulan Disember lalu oleh Pusat Inisiatif Dasar Invoke (I-CPI) mengenai tahap sokongan ke atas setiap parti dalam konteks pertandingan tiga penjuru dan calon perdana menteri.

Pada pilihan raya umum yang lalu, Rafizi berkata, Umno menang 58 peratus undi Melayu apabila parti itu berdepan calon PAS dan mendapat antara 60 hingga 63 peratus undi Melayu apabila mendepani calon PKR.

Umno juga mendapat sokongan Melayu yang lebih tinggi - 70 peratus undi Melayu - apabila berdepan calon DAP, jelas beliau lagi.

Kaji selidik itu menunjukkan bahawa sokongan kepada Umno menurun sebanyak 20 peratus, ujarnya.

"Saya tidak ragu-ragu sekarang bahawa sokongan terhadap Umno telah berpecah," katanya.

Menteri: Proton gagal, gajah putih Dr M

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hari ini menyifatkan pengeluar kereta nasional Proton telah gagal dan menjadi projek gajah putih Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Projek itu adalah kegagalan, kerana setiap tahun mereka minta kita wang... Minta kita tampung mereka.

“Ini yang kita warisi daripada beliau... Ini projek gajah putih,” kata Nazri dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau mengulas kritikan Mahathir terhadap rancangan untuk menjual pegangan majoriti Proton kepada pengeluar kereta China Geely Automobile Holdings.

Nazri berkata langkah itu perlu kerana kerajaan tidak lagi mampu menyokong Proton.

Tuesday, 28 February 2017

KALAU TUN M NYANYUK, KENAPA PULA BELIAU DIMINTA BERSARA? BUKANKAH LEBIH MUDAH NAJIB MENANG P/RAYA?

Shahbudin Husin,

Nyanyuk adalah istilah paling popular yang ditujukan kepada Tun Mahathir Mohamad sejak akhir-akhir ini.

Dari pemimpin UMNO, menteri hinggalah kepada pencacai dan blogger 6.6 peratus, istilah nyanyuk  sangat kerap diguna untuk memperlekeh bekas Perdana Menteri yang sudah berusia 92 tahun itu.

Mengikut  Kamus Dewan, istilah nyanyuk bermaksud berkelakuan seperti kanak-kanak, tidak berapa betul atau bercakap yang bukan-bukan.

Dalam konteks Tun Mahathir sekarang dan beberapa siri kritikannya kepada Najib, bolehkah beliau dianggap sebagai nyanyuk?

Apakah pandangan,  kritikan atau kata-kata Tun Mahathir kepada Najib yang boleh dianggap sebagai nyanyuk?

Adakah label nyanyuk itu kerana Tun Mahathir benar-benar sudah nyanyuk atau kerana Najib dan pengampunya tidak mampu berhujah balas dengan beliau yang sudah berusia 92 tahun?

Apabila Tun Mahathir menarik sokongan kepada Najib kerana skandal 1MDB dan disebabkan ada wang RM2,600 juta disahkan masuk ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, adakah beliau dianggap sudah nyanyuk?

Apabila Tun Mahathir keluar UMNO, menubuhkan Bersatu dan kini terus berusaha keras untuk menjatuhkan Najib, nyanyukkah beliau?

Jika Tun Mahathir benar-benar seorang nyanyuk, kenapakah Najib dan para pemimpin UMNO, termasuk Setiausaha Akhbarnya masih berhempas-pulas menjawab dan menyerang balas beliau?

Adakah orang yang  waras masih sanggup mahu berlawan dengan seseorang yang dianggap sudah nyanyuk?

Tidakkah orang nyanyuk saja yang sudi berlawan hujah dengan orang yang dianggapnya sudah nyanyuk?

Jadi, siapa nyanyuk?

Jika Najib dan sekalian pemimpin UMNO, termasuk Setiausaha Akhbar beliau tidak sama nyanyuk, bukankah suatu kelebihan kepada mereka jika berlawan dengan Tun Mahathir yang dianggap sudah nyanyuk itu?

Pernahkah kita dengar dalam dunia ini orang tidak nyanyuk tidak menang bila berlawan dengan orang nyanyuk?

Jadi, dalam mengata Tun Mahathir nyanyuk, mengapa diminta beliau agar segera bersara kerana bukankah lebih mudah untuk orang tidak nyanyuk menewaskan orang nyanyuk?

Dalam hal ini, Najib seharusnya bersyukur kerana berlawan dengan Tun Mahathir yang dianggap oleh penyokong dan pengampunya sebagai nyanyuk kerana kemenangan sudah pasti akan berpihak kepadanya.

Tidaklah mungkin pengundi-pengundi yang tidak nyanyuk akan memenangkan Tun Mahathir yang sudah nyanyuk, kecuali rata-ratanya rakyat Malaysia juga adalah nyanyuk.

Tetapi, mengapa masih berterusan menyerang Tun Mahathir yang dianggap nyanyuk dan memintanya agar segera bersara?

Adakah Najib masih tidak yakin menang PRU 14 meskipun lawannya adalah Tun Mahathir yang dianggap sudah nyanyuk?

Mana Najib nak letak muka agaknya jika UMNO dan BN kalah PRU 14 nanti sedangkan hanya berlawan dengan seorang tua berusia 92 tahun yang selalu dikata sudah nyanyuk?

Adakah selepas PRU 14 nanti, Najib akan benar-benar jadi nyanyuk? (SH 28/02/2017).