advertiser

Friday, 14 April 2017

Zahid tidak berani melawan, jika diminta tidak tidak bertanding pun beliau akan diam

Sejak petang semalam (12 April 2017), penyokong-penyokong Zahid Hamidi kelihatan aktif berhubung sesama sendiri untuk bertukar pandangan tentang kesan perlantikan Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas terhadap masa depan "boss" mereka.

Kecewa, resah dan marah bercampur-baur dalam diri setiap mereka. Jika dulu mereka gembira serta hati kembang tak terkata bila Zahid Hamidi dilantik Timbalan Perdana Menteri, kini perasaan sebaliknya pula mula dirasa.

Hakikatnya, siapa pun dapat merasa perlantikan Hishammuddin itu menunjukkan ada yang mula tak kena. Sebelum ini, mereka yang dilantik menjadi Menteri Tugas-Tugas Khas, terakhirnya ialah Daim Zainuddin, itu saja jawatan yang disandangnya, tetapi Hishammuddin diberikan jawatan itu di ketika masih dan dikekalkan sebagai Menteri Pertahanan.

Nak dikata Najib Razak tidak cukup pembantu, beliau sudah pun ada seorang Timbalan Perdana Menteri, sembilan menteri dan dua timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri – suatu angka paling besar dalam sejarah yang pernah mengelilingi mana-mana Perdana Menteri.

Jadi, kewajaran meletakkan Hishammuddin yang diketahui umum sedang bersaing kuasa dengan Zahid Hamidi, memang menimbulkan banyak teka-teki, spekulasi dan prasangka.

Kata Hishammuddin, pelantikannya kerana ada banyak kerja, terutama untuk meringankan beban Perdana Menteri, tetapi dalam masa yang sama beliau belum lagi mengetahui apa tugas khusus yang akan diberikan kepadanya untuk dilaksana.

"Kami proaktif, work in progress dan kalau ada tugas dan keperluan baru yang perlu dihadapi, maka penyesuaian dari segi portfolio dan tanggungjawab boleh dilakukan atas budi bicara dan kuasa Perdana Menteri.

"Ia adalah keputusan Perdana Menteri," kata Hishammuddin sambil menambah, beliau akan berbincang dengan Najib kemudian mengenai tugas-tugas khusus untuknya itu.

Seorang penyokong Zahid Hamidi lantas menyindir jawapan Hishammuddin – dilantik kerana ada banyak kerja atau untuk mengerja?

Logiknya juga, jika beban Perdana Menteri yang mahu diringankan, apakah selama ini keberadaan Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri, disertai sembilan menteri dan dua timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, masih tidak cukup berupaya dalam membantu serta meringankan kerja Najib?

Atau Najib tidak cukup mempercayai semua mereka itu sehingga Hishammuddin, sepupunya sendiri juga yang lebih dipercayai untuk sama-sama berada di Jabatan Perdana Menteri?

Dalam hal ini, ramai yang ternanti-nanti langkah serta persiapan Zahid Hamidi seterusnya, selain pernyataan awal beliau yang dilaporkan menyokong terhadap perlantikan yang dibuat oleh Najib itu.

Apakah Zahid Hamidi akan bertindak balas, berdiam diri atau reda dirinya dipencenkan begitu saja oleh Najib apabila tiba masanya nanti?

Atau mungkin Zahid akan diberikan sesuatu jawatan lain sebagai ganjaran setelah tempatnya diambil alih oleh Hishammuddin?

Dari satu segi, Zahid Hamidi di mata Najib adalah "budaknya" saja. Zahid mula bekerja dengan Najib sebagai Setiausaha Politik selepas pilihanraya 1986 dan kemudian menjadi Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia sepanjang Najib menjadi Ketua Pemuda UMNO.

Zahid Hamidi adalah antara yang memainkan peranan utama menaikkan karier politik Najib sehingga berjaya menjadi Perdana Menteri.

Apabila Zahid Hamidi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri menggantikan Muhyiddin Yassin, di mata Najib beliau tetap "budaknya", walaupun sudah sama-sam bergelar "Yang Amat Berhormat".

Zahid Hamidi tahu banyak rahsia Najib dan Najib juga tahu banyak rahsia Zahid Hamidi. Tetapi, kawalan kuasa berada sepenuhnya di tangan Najib.

Dengan yang demikian, Najib tahu bahawa Zahid Hamidi tidak akan berani melawan atau berkata apa-apa, biar diperlaku apa sekali pun, termasuk jika diminta bersara atau tidak bertanding lagi dalam PRU 14 akan datang.

Meskipun jelas bahawa perlantikan Hishammuddin dengan memberinya dua portfolio menteri, Menteri Pertahanan dan Menteri Tugas-Tugas Khas adalah bertujuan melonjakkan sepupunya dan mengenepikan Zahid Hamidi, tetapi tiada apa yang boleh diharapkan sesuatu yang luar biasa akan dilakukan oleh Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Percayalah, Zahid Hamidi tidak akan melawan apa-apa.

Zahid Hamidi sendiri sebelum ini sudah berulangkali menyatakan tetap taat setia apabila dirinya tidak lagi menjadi pemimpin utama, malah akan memberi sokongan kepada calon pengganti sebagaimana beliau disokong sebelumnya.

Kecuali jika UMNO dan BN kalah pilihanraya, perancangan Najib untuk meletakkan Hishammuddin menggantikan Zahid Hamidi, tiada siapa dapat menghalangnya.

Pada fikiran Najib, yang lebih utama di sebalik pelbagai kemelut berterusan menghimpitnya, adalah dirinya sendiri. Soal negara, ekonomi, kedudukan mata wang dan lain-lain barangkali adalah prioriti di pertengahan, kalau pun tidak di belakang sekali.

Yang dipercayai untuk menyelamatkan dirinya, masa depan keluarga, aset dan segala kekayaannya sudah tentu sepupu dan dari darah dagingnya sendiri, bukannya Zahid Hamidi.

>> Komentar bebas penulis politik prolifik, Shahbudin Husin I 14 April 2017

No comments:

Post a Comment