advertiser

Friday, 14 April 2017

Tak tahu Nasharuddin terima duit 1MDB, serah kepada pihak berkuasa bertindak

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa tiada kaitan lagi dengan parti itu seperti didakwa Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, malah parti juga tidak tahu sama ada benar atau tidak Nasharudin menerima dana daripada 1MDB.

"Bagi kita, Nasharudin sudah tiada kena-mengena dengan Pas. Beliau hanya ahli biasa dan bukan pimpinan Pas, jadi kalau nak kaitkan dengan Pas, ini satu tuduhan palsu.

"Sebab realitinya, Nasharudin sudah tidak bersama dalam program Pas sejak 2015 lagi. Sama ada benar atau tidak beliau terima dana 1MDB, itu urusan peribadi beliau," katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, Pas juga tidak pernah menerima sebarang dana daripada Nasharudin.

"Pejabat Pas tak pernah terima sumbangan daripada beliau, sama ada secara peribadi atau kepada parti. Beliau juga tidak pernah pergi ke Pejabat Pas.

"Malah, saya sendiri secara peribadi tak pernah jumpa Nasharudin sejak beliau tidak lagi memegang jawatan dalam Pas," katanya.

Semalam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan berkata, parti hanya menerima sumbangan tetap bulanan Nasharudin sebagai Ahli Parlimen Bachok yang berakhir pada 2013.

Menurut beliau, Nasharudin juga tidak pernah memegang jawatan dalam Pas sejak 2011 dan setelah ditamatkan sebagai Ahli Majlis Syura Ulamak Pas.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, Pas menyerahkan perkara Akuan Bersumpah Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkaitan dakwaan Nasharudin menerima dana daripada 1MDB kepada pihak berkuasa untuk tindakan mengikut undang-undang.

"Namun, Pas berpandangan ia kekal berstatus dengar cakap (hearsay) selagi individu yang dikatakan memberitahu 'maklumat' ini kepada beliau mengesahkannya.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan, ketika memberi reaksinya kelmarin, menyindir Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berhubung dakwaan beliau mengenai bekas pemimpin Pas, Dr Nasharudin Mat Isa menerima dana 1MDB daripada akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam nada berseloroh tetapi penuh sindiran, Nasrudin berkata, jangkaan beliau mengenai Rafizi ternyata meleset, apabila melalui pendedahan itu, Rafizi bukanlah sepertimana yang digambarkan.

"Ermmm, saya jangkakan ia seorang strategis, rupanya beliau dah 'out of service' (perkhidmatan tergendala)," katanya yang dipetik melalui akaun Facebooknya.

No comments:

Post a Comment