advertiser

Friday, 10 March 2017

Mahasiswa PH desak Idris Jusuh dedah jumlah sebenar pensyarah diberhentikan

Mahasiswa Pakatan Harapan
Datuk Seri Idris Jusuh digesa menjelaskan jumlah sebenar pemberhentian perkhidmatan disebabkan potongan Bajet 2017oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) terhadap 2,000 pensyarah dan profesor di beberapa universti awam negara.

Mahasiswa Pakatan Harapan yang merangkumi Mahasiswa Keadilan Malaysia, Mahasiswa Amanah, dan DAP Varsity dalam satu kenyataan mengecam sikap KPT yang seolah-olah berbangga menyatakan bahawa hanya 2,000 pensyarah yang telah diberhentikan dan bukanlah 6,000 seperti yang didakwa oleh Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC), Prof Datuk Dr Mohd Idrus Mohd Masirin.

Awal minggu ini,negara dikejutkan dengan satu pendedahan yang dibuat di dalam surat khabar Berita Harian. Kongres Persatuan Akademik Malaysia dalam satu temu bual bersama Berita Harian mendedahkan bahawa 6,000 orang pensyarah telah dihentikan perkhidmatan disebabkan pemotongan bajet pendidikan tinggi dalam Bajet 2017 yang diumumkan oleh keajaan.

Justeru itu, Mahasiswa Pakatan Harapan yang merangkumi Mahasiswa Keadilan Malaysia, Mahasiswa AMANAH, dan DAP Varsity ingin menzahirkan kekecewaan kami terhadap pendedahan yang dibuat sekaligus mengesahkan bahawasanya Universiti Awam (UA) benar-benar terjejas teruk akibat pemotongan bajet ini!

"Apa yang lebih kami kesali di peringkat Mahasiswa Pakatan Harapan ialah respon Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam menangani isu ini. Sebaik sahaja pendedahan ini dibuat, satu kenyataan balas telah dikeluarkan oleh pihak KPT. Kami dengan ini mengecam sikap KPT yang seolah-olah berbangga menyatakan bahawa HANYA 2,000 pensyarah yang telah diberhentikan dan bukanlah 6,000 seperti yang didakwa oleh

Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC), Prof Datuk Dr Mohd Idrus Mohd Masirin mendedahkan sejumlah 6,000 pensyarah telah ditamatkan kontrak dan diberhentikan. Bagaimanapun KPT dalam kenyataan balas oleh Idris menjelaskan ia hanya membabitkan 2,000 orang sahaja.

“Mahasiswa Pakatan Harapan ingin mengingatkan KPT dan Kerajaan Malaysia secara umumnya bahawa kehilangan 2,000 posisi pekerjaan adalah suatu jumlah yang amat besar, yang mana ianya lebih kurang 1/3 dari jumlah posisi pekerjaan yang telah dimansuhkan ketika krisis kewangan Malaysia Airlines pada bulan Jun 2015 yang lalu. Hal ini hakikatnya telah menimbulkan kemarahan orang ramai.

“Jika pemberhentian perkhidmatan 2,000 pensyarah ini dianggap sebagai suatu perkara yang amat kecil bagi KPT, Mahasiswa Pakatan Harapan dengan ini mendesak Datuk Seri Idris Jusuh sebagai Menteri untuk mendedahkan dengan segera kepada rakyat secara umumnya dan mahasiswa secara khasnya jumlah sebenar pensyarah yang telah diberhentikan dari tahun 2014 hingga awal tahun 2017,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan menyebut pendedahan tersebut harus merangkumi angka-angka peratusan punca kepada berlakunya perkara ini bukan sekadar menyatakan jumlah 2,000 ini termasuklah para pensyarah yang pencen, tidak mencapai KPI dan dihentikan perkhidmatan.

Jawapan yang diberikan oleh pihak KPT dalam kenyataan sebelum ini , dakwa Mahasiswa Pakatan Harapan seolah-olah melepaskan batuk di tangga.
Hal ini adalah fundamental dan penting kerana kepelbagaian punca kepada pemberhentian 2,000 pensyarah yang telah dinyatakan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi gagal diakses dan diperiksa dengan lebih teliti oleh mahasiswa dan masyarakat umum oleh kerana impotensi Kerajaan dalam menyediakan maklumat-maklumat terperinci berkenaan dengan perkara tersebut.

Disiarkan kenyataan penuh Mahasiswa Pakatan Harapan:

Satu persoalan yang hangat diperkatakan masyarakat dan harus diperjelaskan oleh KPT adalah sama ada pemberhentian 2,000 pensyarah ini adalah disebabkan oleh kekangan wang dari pihak Universiti Awam seperti yang telah dinyatakan oleh Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Datuk Dr Musa Ahmad pada 8hb Mac 2017 yang lalu.

Mahasiswa Pakatan Harapan juga menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menjelaskan rasional Kementerian dan Kerajaan Malaysia membelanjakan RM52juta dana Pendidikan negara dalam pembinaan bangunan Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS) di United Kingdom dan RM12juta lagi untuk auditoriumnya sebagaimana didedahkan sekitar Oktober tahun llalu.

Jika RM62juta itu boleh digunakan untuk mengekalkan sebilangan daripada 2,000 pensyarah yang telah diberhentikan ini! Mengikut kiraan kasar kami berdasarkan jadual gaji pensyarah dari Universiti Tun Hussein Onn RM 62juta yang telah dibelanjakan di United Kingdom itu boleh menampung gaji lebih kurang 1,000 pensyarah selama setahun dengan anggaran setiap pensyarah dibayar sebanyak RM5,000 sebulan.


Gaji purata 1 pensyarah Sebulan RM5,000
Gaji purata 1 pensyarah Setahun RM60,000
Gaji purata 1,000 pensyarah Setahun RM60,000,000

Justeru itu, KPT perlu segera memberikan penjelasan sebab-sebab mereka membelanjakan RM 62juta ini di United Kingdom walaupun diketahui bahawa jumlah ini boleh digunakan untuk mengekalkan lebih kurang 1,000 ataupun setengah dari jumlah keseluruhan pensyarah Universiti Awam yang telah diberhentikan sejak tahun lalu!

Mahasiswa Pakatan Harapan juga ingin menimbulkan satu persoalan kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, adakah Datuk Seri masih menganggap pemotongan dana pendidikan tinggi negara sebagai suatu langkah yang positif untuk sektor ini?

Eksperimen beliau untuk menekan Universiti Awam dalam meningkatkan dana tabung wakaf masing-masing sebagai sumber penjanaan alternatif nampaknya telah gagal, dan golongan pensyarah-pensyarah pula yang nampaknya telah dijadikan bahan korban kepoada pemotongan dana pendidikan Universiti Awam dalam bajet negara tahun 2017.

Kami di peringkat Mahasiswa Pakatan Harapan dengan ini menyatakan azam kami untuk terus memperjuangkan isu ini sehingga peruntukkan pendidikan khususnya pendidikan tinggi! Kami menuntut dan mendesak supaya semua soalan kami sebagai mahasiswa dapat dijawab oleh Datuk Seri Idris Jusuh. Sekiranya dalam tempoh satu minggu dari sekarang tiada respon yang diberikan oleh Datuk Seri dan pihak KPT, kami beranggapan bahawa sememangnya Kerajaan Barisan Nasional tidak serius dalam isu dan kepentingan pendidikan dan pembangunan insan.

No comments:

Post a Comment