advertiser

Friday, 3 March 2017

Ku Nan : Kerjasama politik Umno dengan parti di Korea Utara dikaji

Bernama

PUTRAJAYA: Umno akan mengkaji semula kerjasama yang dijalinkan dengan parti politik Korea Utara, Workers Party of North Korea (WPK), susulan perkembangan hubungan dua hala ekoran kes pembunuhan warga Korea Utara Kim Jong Nam di Malaysia.

Setiausaha agungnya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata perkara ini akan dibawa ke Majlis Tertinggi (MT) Umno dalam masa terdekat untuk dibincangkan mengenai jalinan kerjasama itu.

"Kami akan kaji semula kerjasama itu," katanya ketika ditemui selepas merasmikan bangunan tambahan Surau dan Ihtifal Thanawi di Surau Al-Iman, Presint 9 di sini hari ini.

Tengku Adnan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai status memorandum persefahaman Umno dan WPK yang ditandatangani pada Perhimpunan Agung Umno 2014 ekoran kes pembunuhan Jong Nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga meminta Kementerian Luar mengkaji semula hubungan diplomatik dengan Korea Utara susulan kenyataan biadab dikeluarkan Duta Besar Korea Utara di Malaysia, Kang Chol berhubung kes pembunuhan Jong Nam.

Jong Nam berada di klia2 pada 13 Februari bagi menaiki penerbangan ke Macau apabila tiba-tiba dihampiri 2 wanita yang dikatakan menyapu mukanya dengan tangan yang dilumur bahan beracun.

Jong Nam, yang menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

No comments:

Post a Comment