advertiser

Friday, 10 March 2017

Debat: Dr Mahathir lantik Nazri jadi tuan rumah


PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad nampaknya tidak berpatah balik daripada cabaran debat yang dibuatnya kepada Datuk Seri Nazri Aziz, selepas ia disambut ahli Majlis Tertinggi Umno itu.

Malah, pasukannya kini sedang mengaturkan agar debat terbuka itu dibuat di Padang Rengas, iaitu kawasan Parlimen Nazri sendiri.

"Dr Mahathir mengalu-alukan kesediaan Nazri untuk berdebat dengannya berkaitan isu-isu negara," kata seorang pembantu bekas perdana menteri itu kepada FMT.

"Aturan sedang dibuat agar debat itu dibuat di Padang Rengas, Perak, apabila Dr Mahathir dijadualkan berkunjung ke sana."

Kata pembantu itu lagi, butiran debat akan dihantar ke pejabat Nazri sedikit masa lagi untuk pengesahan.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu bakal ke Padang Rengas pada 25 Mac ini bagi menghadiri program di sana.

Terdahulu, Dr Mahathir mencabar Nazri untuk berdebat isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), skandal Bumiputera Malaysia Finance (BMF), dan wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dalam responnya kepada FMT, Nazri menyatakan kesediaannya apabila pulang ke Malaysia daripada lawatan kerja di Berlin, Jerman, Isnin ini.

"Baik, saya setuju. Saya pulang 13 Mac, jadi beliau sudah boleh buat persediaan," kata menteri pelancongan dan kebudayaan itu.

Perbualan mengenai skandal BMF hidup kembali selepas Agensi Perisikan Pusat AS mendedahkan dokumen yang mengaitkan pentadbiran Dr Mahathir kepada kerugian AS$1 bilion pada 1980an.

Sementara itu, tahun lepas, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali membersihkan Najib daripada sebarang salahlaku berkenaan deposit RM2.6 bilion, dan berkata beliau berpuas hati wang itu merupakan derma peribadi daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Nazri sebelum ini mencabar Dr Mahathir supaya bertanding menentangnya di Padang Rengas pada pilihan raya umum akan datang.

Dr Mahathir kemudian mencabar semula Nazri bertanding menentangnya di kerusi Parlimen Langkawi. Sejak itu bekas perdana menteri itu berkata beliau tidak akan bertanding dalam pilihan raya.

Dr Mahathir dilantik ketua penaja PPBM bahagian Langkawi bulan lepas.


Virus-free. www.avg.com

No comments:

Post a Comment