advertiser

Friday, 10 March 2017

Bersatu perjelas kenyataan penafian Ahmad Yakob mengenai rundingan kerusi


Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini menjelaskan rundingan kerusi antara parti itu dengan Pas merujuk kepada rundingan yang dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Bersama Bersatu dan Pas yang diadakan pada 2 Februari lalu.

Kenyataan mengenai kesediaan Pas untuk mengadakan rundingan kerusi dengan Bersatu adalah sebagai respon kepada soalan wartawan mengenai hubungan parti itu dengan Pas dalam sidang media yang diadakan oleh Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu lalu di ibupejabat parti itu di Petaling Jaya.

Setiausaha Agungnya Datuk Dr Shahruddin Md Salleh dalam satu kenyataan petang ini, merujuk kepada laporan yang disiarkan oleh Malaysiakini semalam, mengenai kenyataan Timbalan Mursyidul Am Pas, yang menafikan Pas bersetuju untuk mengadakan rundingan pembahagian kerusi dengan Bersatu.

"Malaysiakini dalam laporan yang disiarkan semalam memetik kenyataan Datuk Ahmad Yakob.

"Adalah dijelaskan bahawa kenyataan Tan Sri Muhyiddin adalah merujuk kepada persetujuan Pas untuk mengadakan rundingan kerusi dengan PPBM yang telah dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Bersama PPBM dan Pas yang berlangsung pada 2 Februari 2017.

"Kedua-dua pihak telah bersetuju untuk mengadakan perbincangan susulan mengenainya.

"PPBM juga mengambil maklum mengenai keputusan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat pada 17 Februari 2017 bahawa parti itu bersedia untuk meneruskan rundingan dengan PPBM.

"Malah, sepertimana yang dilaporkan oleh media, Jawatankuasa Perundingan Pas Pusat telah diwujudkan untuk meneliti pemuafakatan dengan PPBM.

"PPBM sentiasa menyambut baik sebarang usaha untuk mewujudkan persefahaman dan pemuafakatan antara parti-parti pembangkang dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke-14.

"Perundingan kerusi antara parti-parti pembangkang adalah satu proses yang penting untuk memastikan pertandingan satu lawan satu menentang Barisan Nasional dapat dicapai.

"Justeru, kesediaan mana-mana parti pembangkang untuk berunding adalah amat dialu-alukan," ujarnya.

Sebagai rekod Muhyiddin dalam sidang media yang diadakan pada 8 Mac itu telah membuat kenyataan mengenai kesediaan Pas untuk mengadakan rundingan kerusi dengan Bersatu.

Kenyataan ini dibuat sebagai respon kepada soalan wartawan mengenai hubungan parti itu  dengan Pas.

No comments:

Post a Comment