Thursday, 16 February 2017

Pemuda Umno benarkan ahli sertai himpunan RUU 355 anjuran PAS

khairul-azwan-ruu-355
KUALA LUMPUR: Pemuda Umno tidak akan menghalang ahlinya menyertai perhimpunan Rang Undang-Undang (RUU) 355 anjuran PAS yang akan diadakan Sabtu ini.

Naib Ketuanya, Khairul Azwan Harun berkata, ia merupakan keputusan dan pendirian Pemuda Umno terhadap perhimpunan yang akan diadakan di Padang Merbok itu dengan kelulusan polis.

“Kita tidak boleh menghalang sesiapa pun daripada menyertai perhimpunan itu. Itu pendirian dan keputusan kita,” katanya selepas mesyuarat Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, malam tadi.

Khairul Azwan berkata, beliau secara peribadi juga akan menyertai perhimpunan berkenaan jika berkesempatan.

Dijangka seramai 200,000 orang menghadiri perhimpunan yang bertemakan “Syariah Diperkasa Rakyat Sejahtera” itu.

Pada 24 November lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membawa usul RUU persendirian iaitu RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat untuk memperkasakan Mahkamah Syariah dalam melaksanakan hukuman jenayah.

RUU itu bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang turut dikenali Akta 355.

Dalam perkembangan lain, Khairul Azwan berkata, Pemuda Umno mengalu-alukan keputusan Kabinet semalam menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara sekitar 1990-an.

“Ini satu langkah awal yang baik. Namun saya harap tiada sebarang spekulasi sehingga pasukan petugas khas ini selesai menjalankan siasatannya,” katanya.

No comments:

Post a Comment