advertiser

Sunday, 12 February 2017

Di mana baki RM4.3bilion dana Felda, soal pengerusi baharu

shahrir-felda-fgv-1
PETALING JAYA: Felda bukan kekurangan dana tetapi wang itu disalah guna, kata pengerusi baharunya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, dalam mempersoalkan apa terjadi kepada berbilion ringgit hasil daripada tawaran awam permulaan Felda Global Ventures (FGV).

“Felda menerima RM6 bilion daripada penyenaraian FGV, iaitu dalam perniagaan hartanahnya. Daripada jumlah itu, RM1.7 bilion dibelanjakan sebagai durian runtuh.

“Kami salurkan RM15,000 kepada setiap peneroka dan keluarga mereka, dan masih ada baki RM4.3 bilion. Jadi ke mana perginya RM4.3 bilion itu?,” katanya dipetik sebagai berkata kepada Sinar Harian.

Shahrir berkata beliau percaya itulah sebabnya mengapa peneroka Felda kecewa dengan agensi itu, dan beliau berjanji untuk memperbetulkan keadaan.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata kira-kira RM200 juta dana dibelanjakan secara tidak betul, seperti dinyatakan dalam laporan ketua audit negara.

Shahrir berkata walaupun sukar mendapatkan kembali wang itu, beliau akan cuba sebaik mungkin untuk mendapatkan sekurang-kurangnya sebahagian wang berkenaan.

“Mustahil untuk mendapat balik RM200 juta apabila ia hilang. Dilaporkan banyak perkara dibuat tanpa kelulusan, dan tanpa mengikut protokol ditetapkan agensi itu.

“Itu sebabnya saya ditugaskan untuk cuba dan membetulkan kedudukan kewangan Felda. Bukannya kita tidak ada wang itu, tetapi ya, ia mungkin disalahgunakan,” katanya.

Beliau berkata sangat penting untuk pengurusan baharu di bawah kepimpinannya untuk melakukan kerja dengan betul supaya mereka dapat memperoleh semula keyakinan peneroka kembali kepada agensi itu.

No comments:

Post a Comment