advertiser

Friday, 24 February 2017

Apa hubungan UMNO dengan parti pemerintah Korea Utara?

oleh Mahdzir Ibrahim

Saya memuji usaha rakan-rakan yang pergi membantah kenyataan Korea Utara berhubung dengan sikap dutanya yang cuba merosakkan nama dan reputasi Malaysia berikutan siasatan kes kematian Kim Jong-nam yang masih sedang dijalankan.

Usaha itu digerakkan oleh Pemuda UMNO yang diwakili oleh Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun dan disertai oleh pemimpin parti Barisan Nasional yang lain.

Namun demikian, beliau seharusnya lebih peka dan sedar diri sebelum membuat bantahan ini kerana parti beliau sendiri iaitu UMNO telah dan mempunyai hubungan rasmi yang rapat dengan parti Workers' Party of North Korea (WPK). 

Mahdzir Ibrahim, Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor

Malah wakil UMNO iaitu Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah pun menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalin hubungan rapat dengan parti tersebut. Acara MoU ini juga telah dilaporkan oleh Utusan sendiri, dan juga BERNAMA pada 26 November 2014. Pautan berita http://m.utusan.com.my/berita/politik/umno-jalin-hubungan-dengan-parti-politik-sri-lanka-korea-utara-1.29409

Ini bukan hubungan antara kerajaan dengan kerajaan (G to G), tetapi melibatkan hubungan antara parti politik yang memerintah (Malaysia) dengan satu parti politik (yang memerintah Korea Utara).

Parti WPK ini dipimpin oleh Kim Jong-un, adik tiri kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-nam yang dipercayai dibunuh 10 hari lalu di KLIA2.  WPK adalah sebuah parti komunis yang memerintah Korea Utara secara kuku besi melebihi 60 tahun. Kim Jong-Un, pemimpin tertinggi WPK pula, dilihat dunia sebagai seorang yang kejam dan tidak berperikemanusian.  Bukan sahaja jutaan rakyat Korea Utara sengsara di bawah rejim WPK, malah rantau Asia sentiasa mengalami ketidakstabilan dan pergolakan akibat perangai Kim yang suka mengugut dengan ujian senjata nuklear.  

Jadi, persoalan yang harus kita tanya pada hari ini, apakah isi kandungan MoU yang ditandatangani oleh UMNO dan WPK ini? Kerjasama yang bagaimana? Dalam bentuk apa?

Saya fikir, ahli-ahli UMNO sendiri tidak tahu hubungan ini berbentuk apa. Sekurang-kurangnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mewakili UMNO semasa menandatangai MoU tersebut, boleh menerangkan kepada ahli-ahli mereka.

Soalan kedua yang wajar dijelaskan, adakah MoU ini masih sah? Hanya ahli-ahli UMNO boleh bertanya kepada pemimpin mereka.

Saya ingin menasihatkan Khairul Azwan, jika beliau benar-benar patriotik, beliau harus mendesak agar UMNO iaitu partinya, segera membatalkan terus hubungan rapat dengan Workers' Party of North Korea (WPK).

Beliau berlagak seakan pemuda yang paling patriotik, sedangkan partinya sendiri mempunyai hubungan dengan parti dari negara Korea Utara itu.

Rakyat perlu disedarkan bahawa, selama ini parti UMNO sering menuduh dan menfitnah parti pembangkang sebagai ejen negara asing dan pelbagai lagi gelaran dan ejekan jelek yang tidak berasas, tetapi mereka sendiri yang mempunyai hubungan rasmi dengan parti WPK, sebuah parti komunis yang dijauhi oleh semua negara di seluruh dunia.

Sikap hipokrit pemimpin UMNO bukan sahaja ada dikalangan pemimpin mereka, tetapi sikap hipokrasi ini turut menular kepada pemimpin Pemudanya. -Roketkini.com

*Mahdzir Ibrahim adalah Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor

No comments:

Post a Comment