Thursday, 22 December 2016

PRU 14 : Bukti nyata UMNO akan menang besar

Saya beberapa kali ditanya oleh teman-teman tentang potensi UMNO dalam PRU 14. Saya dengan penuh yakin memberitahu UMNO akan mencapai kemenangan besar sekaligus menyumbang kepada kelestarian BN sebagai parti kerajaan. Walaupun teman-teman di luar UMNO kurang gembira dengan jawapan itu, saya mempunyai beberapa hujah yang menyokong ramalan saya.

Pertama, UMNO terbukti sebuah parti yang tidak menghadapi masalah. Memang ada yang tidak setia kerana ingkar arahan ketua. Tetapi semua iti sudah keluar bukan lagi masalah UMNO.

Maknanya yang masih ada dalam UMNO tidak menimbulkan masalah dari segi kesetiaan. Kesetiaan yang ada dalam UMNO jangan diperkecilkan, ini terbukti luahan kesetiaan pada Perhimpunan Agung UMNO yang baru lalu.

Tidak ada satu pun pun pemimpin yang mempersoalkan kepimpinan tertinggi dalam isu integriti. Ini satu sikap mempertahan ketua yang sangat baik dalam UMNO.
Kedua, UMNO adalah satu-satunya parti yang melindungi orang Melayu. Siapa sahaja asalkan Melayu. UMNO juga menegakkan Islam di negara ini dengan membanteras perbuatan yang bertentangan dengan Islam dalam kalangan pemimpin UMNO.

UMNO juga mempunyai sekutu bukan Malayu dan bukan Islam, MCA, MIC dan Gerakan kuat menyokong UMNO dalam soal memartabatkan Islam di negara ini.
UMNO membanteras rasuah hingga ke akar umbi dan tidak seorang pun pemimpin UMNO yang terlepas, kecuali tidak didakwa di mahkamah. Pendakwaan adalah hak mutlak Peguam Negara yang arif tentang undang-undang. Ini tidak ada kena mengena dengan UMNO.

Ketiga, UMNO tidak seperti pembangkang yang mendapat dana politik daripada pihak asing. Setakat ini tidak ada bukti UMNO menerima dana asing. Atas nama UMNO tidak ada dana asing.

Keempat, semua penganalisis termasuk yang terdiri daripada kalangan ahli akademik memberikan analisis yang memuaskan tentang potensi UMNO menghadapi PRU 14. Tidak ada dalam kalangan penganalisis membayangkan UMNO dalam bahaya. Ini sesungguhnya membuktikan kekuatan UMNO.

UMNO adalah satu-satunya parti politik yang tidak berpolitik. UMNO semata-mata berkerja dan berkorban untuk rakyat. Ini ditegaskan oleh banyak pemimpin UMNO.

Kelima, pemimpin-pemimpin UMNO yang ada skandal seks bukan lagi bersama-sama UMNO. Yang tinggal dalam semuanya yang bersih sekaligus menjunjung ajaran Islam yang sebenarnya. UMNO sangat tegas dalam isu ini.

Keenam, semua parti pembangkang kecuali Pas berada dalam keadaan terdesak. Ini disahkan berulang kali oleh pemimpin-pemimpin tinggi UMNO dalam banyak ucapan mereka.

Ketujuh dan terakhir, UMNO mempunyai yang pembangkang tidak ada; Perdana Menteri, Menteri, Timbalan Menteri, penjawat awam, kementerian, agensi kerajaan, Pengerusi JKKK dan Makam Pahlawan di Masjid Negara.

Pejuang kemerdekaan, Pak Sako, A Samad Ismail, Said Zahari malah Mat Kilau tidak disemadikan di Makam Pahlawan kerana mereka bukan UMNO.

Disebabkan UMNO muncul sebagai parti yang kuat lagi dominan dari pelbagai aspek, UMNO tidak perlu berkerja keras untuk menang selesa dan cemerlang dalam PRU 14.
Maka UMNO tidak perlu membuang masa bercakap mengenai pembangkang. Biarlah apa pun nak jadi dengan pembangkang, ini bukan tanggungjawab UMNO. Tidak perlu memberi publisiti percuma kepada pembangkang dalam media kawalannya.

Posted by ku_seman 

Mahathir takjub lihat penyokong Najib

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau berasa takjub dengan kesanggupan individu tertentu - termasuk yang berpendidikan tinggi serta berpengetahuan - tunduk (kowtow) kepada Datuk Seri Najib Razak.

Menurut bekas perdana menteri keempat Malaysia itu, pihak yang berkenaan juga tergamak mencium tangan Najib yang digelarnya sebagai pemimpin yang dipuja-puja.

Menulis pada blognya Dr Mahathir berkata individu terbabit tentu tahu ada "bukti mencukupi" untuk Jabatan Kehakiman AS mengaitkan perdana menteri dengan skandal 1MDB yang disiasat pihak berkuasa di negara berkenaan.

"Tetapi mereka terus menerimanya (Najib) sebagai pemimpin, berkerumun di sekelilingnya untuk bersalaman dan mencium tangannya. Kelompok elit tertinggi pun bersama dia," kata bekas perdana menteri selama 22 tahun itu.

Di negara lain, tulis Dr Mahathir, seseorang pemimpin akan disingkirkan - atau sekurang-kurangnya digantung - apabila siasatan ke atasnya dijalankan bagi memastikan kesahihan sesuatu dakwaan.

Berbeza di Malaysia, katanya, apabila orang ramai termasuk pemimpin yang dilantik parti dalam kerajaan dan kedudukannya sangat penting, masih terus menyokong kepimpinan Najib.

"Apabila ditanya, mereka menegaskan, walaupun ada tuduhan rasuah dan penipuan ditujukan kepadanya, di dalam negara dan seluruh dunia beliau tidak disabitkan dengan sebarang tuduhan.

"Sehingga beliau didapati bersalah, mereka terus menganggapnya sebagai pemimpin yang sah," kata Dr Mahathir.

Mendakwa pihak berkuasa melindungi perdana menteri, Dr Mahathir berkata dengan alasan itu penyokong Najib boleh dianggap bersekongkol melakukan kesalahan.

"Mereka benar-benar patut berasa malu. Sesungguhnya mereka mengkhianati rakyat yang melantik mereka berkuasa mengikut undang-undang negara dan demokrasi," katanya.

Najib yang dituduh terlibat dalam skandal 1MDB selama ini menafikan beliau menyalahgunakan dana awam untuk kepentingan peribadinya.

Sebaliknya perdana menteri berkata tuduhan berkenaan dibuat oleh Dr Mahathir dan sekutu pembangkang untuk menggulingkan beliau daripada kuasa.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali juga sudah membersihkan Najib daripada sebarang salah laku.

Pihak berkuasa pula menafikan mereka cuba melindungi Najib dalam siasatan kes berkenaan.

Wednesday, 21 December 2016

Jho Low berfoya-foya, Melayu jadi kuda

21 Disember 2016 | A Kadir Jasin

Pada awal bulan ini, akhbar Financial Times melaporkan yang 1MDB sedang bersiap sedia membayar balik hutang sebanyak AS$6.5 bilion (kira-kira RM26 bilion) dengan pertolongan negara ChinaPada awal bulan ini, akhbar Financial Times melaporkan yang 1MDB sedang bersiap sedia membayar balik hutang sebanyak AS$6.5 bilion (kira-kira RM26 bilion) dengan pertolongan negara China

ULASAN Apa yang membezakan Malaysia dengan banyak negara bekas tanah jajahan di segi kemajuan ekonomi dan kemasyarakatan ialah kita memulakan proses perindustrian awal.

Masa kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 industri yang ada hanyalah memproses bahan-bahan mentah untuk eksport macam kilang papan, peleburan timah, mengilang getah dan kelapa.

Segala barang keperluan pengguna seperti makanan, pakaian, alat jentera, elektrik dan ubat-ubatan diimport, khususnya dari England, United Kingdon atau daripada “empire” iaitu tanah-tanah jajahan Inggeris seperti Hong Kong dan India yang sudah ada industri.

Kita memulakan proses perindustrian secara terancang pada pertengahan tahun 1960-an dengan menjemput pelabur tempatan dan asing mengeluarkan barang-barang gantian import seperti makanan diproses, pakaian, kelengkapan elektrik dan jentera ringan.

Itulah asal usul bertapaknya pelaburan asing selepas merdeka di negara kita. Dengan itu juga pergantungan kita terhadap modal Inggeris berkurangan dan kita memperoleh pelaburan daripada negara-negara Eropah yang lain dan, paling ketara, daripada Jepun.

Tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya akibat jangkitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dasar pelaburan asing kita telah berubah.

Mula Jual Tanah

Kerajaan telah mula menjual industri strategik yang kita bina sendiri kepada orang asing dan sejak setahun dua ini hatta tanah pun mula dijual, dipajak dan digadai kepada orang asing.

Skandal penipuan 1MDB terus merebak jangkiti ekonomi, kewangan dan kedaulatan negara kita.

Pada awal bulan ini, akhbar Financial Times melaporkan yang 1MDB sedang bersiap sedia membayar balik hutang sebanyak AS$6.5 bilion (kira-kira RM26 bilion) dengan pertolongan negara China.

1MDB berhutang kepada syarikat milik kerajaan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC), tapi tak ada duit nak bayar balik. Macam mana nak bayar balik bila perniagaan tak untung. Rugi ada.

IPIC telah kemuka saman ke atas 1MDB di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London. Dua orang pegawai IPIC yang subahat tipu 1MDB telah ditangkap oleh kerajaan Abu Dhabi.

Duit sendiri memang tak ada. Bukan saja berniaga tak untung tapi banyak dah dilesapkan dan dibawa lari ke luar negara. Pejabat Peguam Negara Switzerland yang sedang siasat pengalihan duit haram (money laundering) syak sebanyak AS$4 bilion (RM16 bilion) duit 1MDB telah disonglap.

Skandal 1MDB bukan saja memalukan negara kita malah sangat berbahaya. Singapura telah pun bicara dan dapati bersalah beberapa orang yang jadi orang tengah mencuri dan menggelapkan duit 1MDB.

Tapi Peguam Negara Malaysia (Tan Sri) Apandi Ali kata tak ada bukti perbuatan salah di Malaysia.

Macam saya dah kata banyak kali, 1MDB adalah perniagaan atas angin ala skim cepat kaya Pak Man Telo yang direka oleh seorang Cina Pulau Pinang bernama Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Kalau dia berniaga atas angin bersendirian itu hak dialah. Di negara kita ada macam-macam skim perniagaan atas angin dan haram sampai ketua samseng pun boleh jadi kaya raya dan dibagi gelaran datuk oleh raja Melayu.

Tapi dalam hal 1MDB ini ia babitkan kerajaan Malaysia – ertinya kita semua – melalui Kementerian Kewangan. 1MDB adalah anak syarikat Kementerian Kewangan. Oleh sebab itu hutang 1MDB sebanyak RM50 bilion jadi hutang kita semua.

Secara teknikal Malaysia dah “insolvent” atau tak cukup duit nak bayar hutang. Lebih kurang dah muflis akibat hutang 1MDB.

Jho Low sudah lama cabut dari Malaysia. Dia dan konco-konco yang termasuk anak tiri Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, berfoya-foya di pusat-pusat hiburan dan perjudian dunia di Amerika Syarikat, Eropah dan Timur Tengah.

Ikut taksiran Jabatan Kehakiman Amerika (DoJ), Jho Low dan gengnya, termasuk anak (Datin Seri) Rosmah Mansor bernama Riza Shahriz Abdul Aziz, dah guna kira-kira AS$1 bilion (RM4 bilion) duit yang dicuri dari 1MDB untuk beli harta di Amerika Syarikat saja.

Minta Sedekah Dari China

Sekarang, akibat perbuatan kaki putar Cina Pulau Pinang yang berupa sahabat akrab keluarga Mohd Najib Tun Abdul Razak itu, negara kita terpaksa minta sedekah kepada China.

Umno takut-takutkan orang Melayu terhadap DAP tapi yang menipu kita semua adalah Cina kawan Perdana Menteri sendiri.

Kita tahu negara komunis China tak akan bantu 1MDB atau kerajaan Malaysia cara percuma atau sukarela. Mesti ada kira bicara di sebaliknya. Dalam bahasa Inggeris dia kata quit pro quo. Dalam bahasa mudah, engkau garu belakang aku, aku garu belakang engkau.

China akan bantu pasal sudah pun dibagi kontrak dan projek beratus bilion ringgit oleh kerajaan Najib macam Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur berharga RM55 bilion, pembelian 10 buah kapal peronda persisiran berharga RM300 juta tiap satu, Projek Bandar Malaysia di atas tapak Lapangan Terbang TUDM Sungai Besi dan kilang penjana elektrik.

Dalam masa tak sampai 10 tahun, China muncul sebagai pelabur, pemaju hartanah dan kontraktor asing yang paling agresif dan dapat layanan istimewa di Malaysia sampai jejaskan kedudukan pemaju tempatan.

Pada 22 November lepas agensi berita ekonomi antarabangsa Bloomberg siar rencana berkenaan “bandar raya China” bernilai AS$100 bilion (RM400 bilion) yang sedang dibina di Johor.

Antara lain berita itu kata, pemaju dari China yakin Johor Baru yang dekat dengan Singapura akan jadi Shenzhen baru. Shenzhen ni adalah bandar raya baru di tanah besar China ke utara Hong Kong.

Ungkapan “the next Shenzhen” atau Shenzhen baru itu sangat menarik. Tapi kalau kita faham sangat menakutkan. Johor Baru akan jadi Shenzhen baru sebab kebanyakan harta yang sedang dimajukan di situ ditujukan khas kepada pembeli dari China dan Singapura.

China banyak duit dan selera pelabur China sangat besar. Menurut Bloomberg, projek yang akan jadi “Shenzhen baru” itu dikenali sebagai Forest City dan mampu tempatkan 700,000 penduduk. Pembinaan bermula Februari lalu dan 8,000 unit apartmen dah dijual.

Ia adalah projek terbesar di antara kira-kira 60 projek di Iskandar Malaysia yang semuanya akan menambah setengah juta kediaman yang ditujukan kepada pembeli luar negara, khususnya dari China dan Singapura.

Kalau kita tak jaga-jaga dan kita biar orang tamak bermaharajalela, boleh jadi kita akan alami masalah kependudukan dan percanggahan budaya yang sangat besar.

Sekarang pun sudah ramai rakyat tempatan, khususnya Bumiputera dan bukan Bumiputera miskin, dah terpinggir dan tertindas akibat persaingan daripada pendatang Singapura yang lebih kaya.

Sebaliknya rakyat jelata kita yang ada kemampuan tak berminat dengan harta di “next Shenzhen” sebab mereka dah ada rumah di Australia, New Zealand, England, Amerika Syarikat dan Kanada atau sedang berkira-kira berhijrah ke luar negara.

Kita juga tak boleh pandang ringan kemungkinan negara kita, khususnya Johor, dibanjiri pemastautin asing yang beza bahasa dan budaya dengan kita atau yang tak hormati kepelbagaian kaum kita.

Sifat tamak dan gila duit orang kita yang berkuasa boleh sebabkan negara dijajah semula melalui pemilikan ekonomi dan pemberian hutang. Akhirnya kita terpaksa hantar “bunga emas” kepada China macam raja-raja kita buat pada zaman dulu kala.

Inilah bencana yang sedang timpa kita akibat sabotaj ekonomi dalam bentuk 1MDB.

Dalam Umno berkempen menakut-nakutkan orang Melayu, orang kampung dan orang Felda terhadap Cina DAP tapi di belakang mereka, kerajaan yang Umno pimpin dah ditipu oleh Cina Jho Low kawan keluarga Najib.

Banyak tanah dan harta pusaka dah dijual-gadai kepada negara China kerana nak tampung hutang RM50 bilion yang Jho Low bebankan ke atas kita semua melalui skandal 1MDB.

Dia curi duit untuk bersuka-suka, negara kita yang jadi hina dan berhutang beribu-ribu juta yang kita, anak dan cucu kita jadi kuda, jadi mangsa.

Inikah wasatiyyah?

MUJURLAH TUN M TIDAK HANYA BERMAIN DENGAN CUCU...


Susulan bidasan Nazri Aziz yang menyifatkan era diktator Tun Mahathir Mohamad sudah berakhir dan mahu beliau hanya menghabiskan sisa-sisa usianya bermain dengan cucu, bekas Perdana Menteri itu tidak mengambil masa yang panjang yang menjawabnya.

Dalam tulisan di blognya semalam untuk menjawan perkara itu, jelas kita dapat memahami betapa sayangnya Tun Mahathir kepada negara ini dan masa depan rakyatnya.

Sebagaimana beliau keluar daripada persaraannya untuk menyingkirkan Tun Abdullah Badawi kerana kerakusan "budak-budak tingkat 4" menguasai institusi Perdana Menteri ketika itu, kini misinya ialah untuk "menghalang Najib Razak daripada terus merosakkan negara".

Hakikatnya semua orang sedar timbunan perbuatan Najib yang memang merosakkan negara, tetapi tidak ada yang berani bersuara kerana lebih memikirkan poket, perut, jawatan dan dedak.

Di era Najib ini, sokongan kepada UMNO untuk kebaikan negara sudah bertukar menjadi sokongan kepada peribadi Najib untuk mengutip apa saja kepentingan peribadi yang boleh diraih.

Sehubungan itu, kita rakyat Malaysia yang berfikir tidak saja berkaitan poket, perut, jawatan dan dedak untuk diri sendiri, seharusnya bersyukur dengan sedianya Tun Mahathir kembali ke kancah perjuangan kerana kini lebih mungkin anak-anak dan cucu kita mempunyai masa depan yang lebih bahagia untuk mereka.

Jika Tun Mahathir hanya memikirkan tentang dirinya dan kepentingan masa depan anak-anaknya sambil mempunyai lebih banyak masa bemain dengan cucu, tentulah lebih baik baginya menjadi pendiam dan menyokong apa saja yang dilakukan Najib.

Tetapi, dengan terus berjuang dan menghadkan masa bersama cucu, beliau bukan saja hilang banyak kemeriahan di usia tuanya, bahkan masa depan anak-anaknya juga jadi tidak menentu.

Sebenarnya, inilah yang membezakan antara seorang tua berusia 91 tahun yang dalam nafasnya masih sayangkan negara berbanding orang lain yang hanya mampu berkata, "tak apalah sebab kini zaman Najib menguruskan negara."

Berdiam diri dengan kecurangan yang berlaku di depan kata, antaranya pembaziran, naik jet sesuka hati, 1MDB, ribu-ribu juta dalam akaun peribadi dan menambah hutang secara menggadai negara, lebih memungkinkan keadaan menjadi lebih buruk untuk masa depan negara.

Dengan hutang negara terus menimbun, bagaimanakah kita boleh berharap Najib mampu menyediakan peruntukan yang lebih baik untuk rakyat jelata?

Soalnya, mengapa Nazri tiba-tiba mahukan Tun Mahathir hanya bermain dengan cucu saja?

Tidakkah beliau juga pernah berkata Tun Mahathir sudah tua dan tidak berupaya pun memecahkan gelas dengan balingannya?

Jika baling gelas pun tak pecah, kenapa seolah-olah takut dengan terusnya Tun Mahathir berada dalam gelanggang perjuangan?

Mungkin Nazri mula sedar betapa tingginya penolakan rakyat kepada Najib ketika ini dan kedudukannya hanya dapat diselamatkan jika akhirnya Tun Mahathir memilih untuk berdiam diri dan hanya bermain-main dengan cucu-cucunya.

Dalam hal ini, rakyat Malaysia bukan saja harus berbangga, malah sepatutnya tiada pilihan selain bersama-sama menyokong perjuangan Tun Mahathir untuk menyingkirkan Najib dan menyelamatkan negara ini. Beliau kini bukan lagi berjuang untuk diri atau anak-anaknya, tetapi untuk masa depan anak-anak cucu kita semua.

Ia berbeza dengan Najib, perjuangannya kini hanyalah untuk menyelamatkan masa depan dan kedudukan peribadinya saja. Beliau tidak lagi menjadikan UMNO sebagai landasan membela rakyat, tetapi sebagai "kuda tunggangan" untuk keselamatannya.

Bayangkan berapa banyak lagi "bala" akan menimpa kita dan menjadi tatapan dunia kiranya Tun Mahathir lebih suka berdiam diri saja dan sayangkan cucu-cucunya melebihi sayangkan negara?

Sementara Tun Mahathir dengan senang hati melepaskan jawatannya secara sukarela pada 2003 kerana tiada apa-apa beban peribadi yang dipergantungkannya kepada UMNO, Najib sebaliknya paling takut masa depan peribadinya terhumban sama dengan kejatuhan UMNO.

Bagaimanakah rakyat dan negara boleh terus mengharapkan Najib membawa walau setitis kebaikan sedangkan masa depannya sendiri, anak-anak dan isteri lebih besar untuk diselamatkan lagi? (SH 21/12/2016).

Selamatkan negara bukan jawatan

Tujuan ahli politik adalah untuk menyelamatkan negara dan bukan mendapatkan jawatan untuk diri masing-masing, kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

"Kita semua mahu jadi perdana menteri atau timbalan perdana menteri tetapi kalau kamu ambil berat tentang negara ini dan mahu menyelamatkan negara ini untuk cucu kamu, ia bukan sahaja mengenai perubahan perdana menteri.

"Ia adalah mengenai membuat perubahan asas bahawa hanya orang yang berani dan berprinsip mampu lakukan," katanya dalam catatan di blog.

Zaid mengulas isu mengenai siapa akan menjadi perdana menteri jika pembangkang mengambil alih kerajaan persekutuan dalam pilihan raya umum akan datang.


Katanya, Pakatan Harapan baru-baru ini mengumumkan rancangan menamakan barisan kabinet dengan pemimpin DAP Lim Kit Siang mencadangkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai pilihan bagi jawatan perdana menteri.

Pada masa sama beliau juga mendengar khabar angin bahawa Presiden Parti Peribumi Bersatu (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang berusaha keras melobi jawatan perdana menteri dengan timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali sebagai timbalannya.

Zaid berkata, cita-cita pemimpin tertentu menyebabkan pakatan politik dilihat aneh, seperti BERSATU yang terdesak untuk bekerjasama dengan PAS.

Beliau juga mendakwa mendengar khabar angin bahawa naib presiden PKR Tian Chua merancang untuk berkempen di Kelantan minggu depan dengan rakan sejawatannya dari PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang merupakan individu di sebalik langkah kontroversi meminda Akta 355.

"Rakyat Malaysia marah dengan beberapa ahli-ahli politik, dan begitu juga saya," katanya.

Umno takut hilang undi orang Melayu

Umno

ALOR SETAR – Umno didakwa sengaja memainkan isu perkauman kerana khuatir parti itu tidak mendapat kepercayaan dan sokongan lagi daripada majoriti orang Melayu pada PRU14 nanti.

Timbalan Pengerusi PKR Kedah, Gooi Hsiao Leung berkata, tindakan itu adalah keterlaluan dan cuba menghasut rakyat supaya tidak mengundi DAP dengan alasan kononnya hak dan keistimewaan orang Melayu akan dihapuskan.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) cuba menakutkan, mengeliru dan menghasut rakyat bahawa DAP adalah musuh terbesar dalam negara semasa Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2016 baru-baru ini.

“Dikatakan kalau pilih DAP, maksudnya hak-hak dan keistimewaan orang Melayu akan dihapuskan. Bukankah ini menghasut? Sebenarnya kalau kita dengar mesej Najib, dia bukan ambil kisah tentang orang Cina pun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan semasa forum cerdas rakyat anjuran PKR Alor Setar di Dewan Kang Har Tong, Kampung Berjaya, di sini, kelmarin.

Menurutnya, Najib sedia maklum bahawa orang Cina sendiri sudah hilang keyakinan terhadap BN, MCA dan Gerakan. Malah ramai pengundi India juga tidak menyokong lagi MIC.

“Tetapi apa yang paling dia takut adalah sekiranya orang Melayu hilang keyakinan kepada Umno dan BN. Sebab itu dia menggunakan perkauman untuk menakutkan orang Melayu.

“Kalaulah orang Melayu, dia nak serang pun mungkin PKR, Amanah dan Parti Bersatu. Kalau rakyat sokong pembangkang, maksudnya sokong DAP. Itulah niat mereka di sebaliknya. Tetapi sangat penting untuk kita memperbetulkan pandangan penipu ini,” katanya.

Ahli Parlimen Alor Setar itu turut menegaskan bahawa DAP bukanlah parti anti Islam dan anti Melayu seperti yang didakwa Umno dan BN.

“Ini semua rekaan dan pembohongan. Saya sendiri pun baru dapat tahu apabila insiden Memali berlaku pada 1985, DAP lah parti pertama yang membangkitkan isu ini.

“Saya pun baru dapat tahu, dulu bapa saya adalah Ahli Parlimen Bukit Bendera. Sehari selepas kejadian Memali, beliau telah pun menggerakkan satu usul tergempar di Parlimen untuk menyoal kerajaan tentang insiden Memali,” katanya.

Samanlah jika kos MRT tak lebih RM100b, Rafizi cabar PM


Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengambil tindakan saman jika beliau tersalah tentang kos pembangunan projek Transit Aliran Massa (MRT).

"Saya cabar Najib untuk saman saya di mahkamah dalam masa tujuh hari jika benar jumlah kos projek MRT melibatkan 150 kilometer tidak melebihi RM100 bilion.

"Jika beliau tidak memfailkan tuntutan mahkamah itu dalam tempoh tujuh hari dari hari ini, saya mahu beliau memohon maaf kepada rakyat kerana kenyataan mengelirukan (projek MRT) berjaya berjimat RM2 bilion," kata Rafizi dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Najib menafikan dakwaan pembangkang yang kononnya projek MRT Laluan 1 Sungai Buloh-Kajang (SBK) menelan belanja RM100 bilion.

Hakikatnya, jelas beliau, kerajaan mampu melaksanakan projek mega malahan dengan kos lebih rendah iaitu RM21 bilion berbanding peruntukan yang disediakan RM23 bilion.

"Kita nak nafikan pembangkang yang kononnya projek ini menelan belanja RM100 bilion, ini satu fitnah, satu hasutan dan hakikatnya BN telah melaksanakan projek MRT lebih rendah daripada bajet yang ditetapkan.

"Saya telah melancarkan fasa satu projek MRT ini yang siap mengikut jadual dengan kos projek lebih rendah daripada bajet disediakan RM23 bilion tetapi kita belanja RM21 bilion," kata Najib lagi.

Pada Sabtu yang lalu, Rafizi mendakwa pengumuman Najib sebelum itu mengesahkan kebimbangan kos projek MRT secara keseluruhan akan melebihi RM100 bilion.

PAS OH PAS - Antara IJTIHAD POLITIK, DOUBLE STANDARD & PUTAR BELIT


1- Pemergian Tuan Guru Haji Hadi (TGHH) ke satu majlis anjuran Tehran merupakan satu ijtihad politk beliau. Sebagai seorang Ulama Haraki veteran, sudah tentu TGHH mempunyai alasan dan sebab tersendiri yang kukuh pada pandangan dan ijtihad beliau dalam masalah ini.

2- Apabila dah namanya 'ijtihad politik', sudah tentu ia terbuka kepada kritikan dari pihak lain. Seperti yang disebut oleh kawan-kawan PAS saya apabila terkantoi bahawa Syeikh Dr Yusuf al-Qordowi dan Syeikh Dr. Ali al-Qaradaghi tidak menyokong lawatan TGHH bahawa diantara ulama, meskipun bersepakat dalam bab aqidah (syiah itu sesat), tetapi boleh berbeza dalam bab pendekatan politik.

3- Ya, kita harus hormati ijtihad beliau ini, dan sebarang kritikan mestilah ke atas tindakan dan ijtihad itu sendiri dan bukan ke atas peribadi dan batang tubuh TGHH.

4- Masalah utama dalam isu ini pada saya bukanlah bab TGHH pergi ke Tehran atas ijtihad politik beliau, akan tetapi ialah sikap DOUBLE STANDARD dan PUTAR BELIT ahli-ahli PAS sendiri apabila mendepani kritikan berhubung perkara ini.

-DOUBLE STANDARD-


5- Semasa Ust Abdul Ghani, menyertai suatu seminar pembebasan Palestin anjuran Muqawamah, suatu NGO di bawah naungan Iran, bertalu-talu serangan dilontarkan oleh ahli-ahli PAS dan juga penyokongnya dalam NGO yang tak perlu disebut nama NGOnya.

6- Tuduhan-tuduhan termasuk tasyayyu`, tali barut Iran, sanggup bersekongkol dengan Syiah antara yang dihamburkan.

7- Semasa itu, hujah yang digunakan untuk menyerang Ust Ghani ialah sanggup bersekongkol dengan pembunuh umat Islam, tidak ada ruang untuk taqrib dengan Syiah, termasuk menggunakan pandangan tokoh-tokoh spt Syeikh Qordowi yang sudah tidak percaya kepada Syiah.

8- Ust Ghani pergi ke seminar tu pun bincang isu palestin, dan Ust Ghani pun sudah tentu ada alasan dan ijtihad tersendiri.


9- Tetapi, apabila perkara yang sama berlaku kepada TGHH, tiba-tiba ahli-ahli PAS 'berputar 306 darjah'. Segala dalil-dalil agama yang digunakan untuk menyerang Ust Ghani dahulu tidak dipakai lagi. Secara tetiba mereka ini kata jalan rundingan dengan Syiah adalah jalan terbaik?

Nampak tak betapa tak 'istiqomahnya' hujah yang digunakan ?

-PUTAR BELIT-

10- Selain daripada isu double standard, antara point utama yang dipertikaikan ialah kenyataan berbelit dan menipu yang dikeluarkan oleh ahli PAS dalam mendepani kritikan.

11- Statement yang terdapat penipuan dan putar belit iaitu mengatakan bahawa TGHH pergi ke Tehran dengan restu Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) bukan dibuat oleh orang bawahan yang biasa-biasa, tetapi oleh Ketua Penerangan Pas Pusat sendiri dan juga ditulis di dalam website ulamasedunia.org yang diselia oleh orang yang pejabatnya di ruslia (rujuk gambar).

12- Dan apabila FB rasmi KUIS sendiri mengeluarkan statement mengutuk lawatan TGHH (rujuk gambar), maka terkantoilah segala putar belit yang dihebahkan.

13- Apabila sudah terkantoi, maka ahli PAS terus menggunakan teknik berhujah yang berbentuk ad hominem seperti:

"Kau ni tak faham geopolitik"
"Kau siapa nak pertikai Naib Ketua Ulama Sedunia"

Sedangkan yang mengkritik lawatan itu Ketuanya sendiri (Syeikh Qordowi). Maka secara tetiba pandangan Syeikh Qordowi dan Syeikh Qaradghi yang diagungkan selama ini dibakul samphkan oleh para penyokong PAS dengan hujah tidak arif landskap politik, hanya tahu baca kitab dalam bilik aircond.

KESIMPULAN

Ahli-ahli PAS sentiasa menunggang dalil-dalil agama mengikut selera mereka untuk kepentingan parti dan pengaruh. Siapa yang tidak setuju dengan cara mereka menunggang dalil-dalil agama ini pasti akan dilabel sebagai liberal, tidak faham Islam, lawan ulama, ditanam di jirat dan sebagainya.

Daripada isu ini, harap ahli-ahli PAS sedar bahawa politik Islam merupakan suatu medan yang berbentuk ijtihadi, fleksibal, dan berubah-ubah. Ianya terbuka kepada kritikan dan perbincangan. Jangan bila ada orang tak setuju dengan Presiden kamu, terus dicop lawan ulama dan tak sayang Islam.

Kredit tu -Arshad Ezat-

Tuesday, 20 December 2016

Dr M: Mengapa saya tidak balik jaga cucu...

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad hari ini menjelaskan mengapa beliau tidak berkelakuan seperti apa yang dijangkakan daripada seorang lelaki yang berusia 91 tahun.

Ini susulan bidasan Menteri Pelancongan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz awal hari ini yang berkata zaman Mahathir, bersama-sama dengan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang sudah berlalu dan menasihati mereka supaya supaya 'balik jaga cucu'.

"Ada orang marah oarng tua berumur lebih 90 tahun tidak melakukan perkara yang sepatutnya seperti berehat, bermain dengan cucu dan menyediakan diri sebelum mati.

Apa erti kerjasama HARAPAN dan parti Mahathir?

"Ya, saya tidak melakukannya walaupun pada usia 90 tahun. Ini bukannya pilihan saya.

"Saya menyahut rayuan pelbagai kumpulan rakyat Malaysia bagi saya melakukan sesuatu," kata Mahathir dalam blognya hari ini.

Menurutnya, ketika Najib mula berkuasa, terdapat aduan daripada pelbagai pihak yang tidak berpuas hati dengan sama ada dasar ekonominya, slogan 1Malaysia, dasar luar atau tidak lagi meneruskan Dasar Ekonomi Baru.

Mahathir berkata, beliau menyampaikan aduan berkenaan kepada Najib tetapi tidak berhasil. Ini disusuli pula dengan skandal 1MDB.

"Pada masa itu, saya merasakan bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk menghentikan Najib. Negara ini kehilangan banyak wang.

"Saya maklumkan kepada Najib saya tidak dapat menyokongnya lagi. Kemudian saya memutuskan untuk meletakkan jawatan daripada Umno.

"Sekarang ini bukan lagi tentang orang ramai mahu saya melakukan sesuatu. Sekarang saya merasa perlu untuk menghalang Najib daripada merosakkan terus negara ini," katanya.

Mahathir mendakwa Najib telah membelakangkan undang-undang dan institusi negara tidak berupaya mengekangnya.

Walaupun tuduhan rasuah skandal 1MDB Mahathir berkata Najib adalah tidak terjejas dan merancang untuk mengambil lebih multi-bilion pinjaman ringgit untuk Keretapi Pantai Timur, KL-Singapura Kereta Api Berkelajuan Tinggi dan Pan-Borneo Highway.

Mahathir mendakwa negara tidak mampu menanggung beban hutang ini dan bakal terjerumus menjadi bankrap atau terpaksa menjual lagi aset negara, yang katanya, sudah berlaku seperti penjualan Tun Razak Exchange, Bandar Malaysia dan Edra Energy.

"Dengan keadaan yang berlaku ini, adalah sukar untuk warganegara berusia 90 tahun ini untuk hanya duduk diam dan bermain dengan cucu.

"Ya, saya sedang membuat persediaan untuk akhirat tetapi Alhamdulillah, saya masih ada masa untuk melakukan perkara-perkara lain.

"Dan perkara-perkara lain yang saya boleh lakukan adalah untuk memberikan sedikit idea bagaimana untuk mencegah negara ini terus dimusnahkan oleh Najib," katanya.

Najib telah menafikan sebarang salah laku dan menuduh Mahathir mahu menjadikan anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai perdana menteri.

'BN tetap menang walau ramai tak sokong Najib'






Barisan Nasional (BN) tetap akan memenangi pilihan raya umum (PRU) ke 14 akan datang sekali gus mengekalkan kuasa sebagai pemerintah meskipun ada yang mendakwa negara kini berdepan dengan krisis keyakinan rakyat semakin kronik.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali berkata, ini kerana terlalu banyak faktor yang membantu kemenangan BN.

"Melalui kaji selidik yang dibuat 90 peratus rakyat tolak Najib, semua tolak Najib, budak sekolah pun tolak Najib.

"Tapi dia kata BN tak akan kalah. Pelik tak?

"Sebab pilihan raya ini saya nak bagi tahu bukan semata-mata isu, bila datang pilihan raya ia banyak sebab seperti jentera pilihan raya, cara kempen di mana untungnya BN dia menguasai media dan kerajaan, polis dan tentera ikut dia (BN) dan pengundi di Malaysia ini pula berterabur dengan macam-macam latar belakang geografi," kata Ibrahim dalam wawancara eksklusif bersama Malaysiakinidan sebuah lagi portal berita di ibu pejabat PERKASA, Kuala Lumpur.

Ibrahim berkata demikian mengulas apakah BN mampu bertahan dan terus kekal berkuasa pada PRU akan datang dengan krisis keyakinan rakyat yang semakin kronik hari ini.

Bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin kelmarin dilapor sebagai berkata kerajaan perlu segera menangani ketidak yakinan rakyat kerana ia sudah berada pada tahap kronik.

Kata Tun Daim, krisis tersebut perlu diatasi segera kerana tanpa keyakinan dan sokongan rakyat, amat sukar bagi kerajaan menyelesaikan masalah lain terutama yang memberi kesan langsung kepada rakyat.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata apa yang dinyatakan itu benar tapi untuk rakyat tidak memilih BN dan mengundi pembangkang tidak akan berlaku.

"Memang ada krisis, krisis keyakinan rakyat yang Tun Daim cakap ini menyebabkan rakyat betul-betul menolak BN.

"Kalau orang tak sokong BN sebab harga barang naik, 1MDB atau krisislah, ia betul. Tetapi pada masa yang sama walaupun ada yang tak puas hati semua ini (krisis) dia tidak sanggup lagi undi pembangkang kerana mereka pun berkecamuk," kata Ibrahim.

Tambah, Ibrahim yang juga bekas anggota Parlimen Pasir Mas itu kemenangan BN juga turut dibantu pengundi luar bandar yang merupakan deposit tetap BN.

"Pengundi di Kelantan dan Johor lain, daripada 122 kerusi BN sekarang ini yang pasti BN menang 122 dan masih kerajaan lagi.

"Sebab macam kerusi-kerusi Felda, luar bandar yang ada kerusi Melayu yang masih berharap kepada kerajaan. Ini Najib pandai, RM200, RM300, RM500 untuk pekebun getah, untuk nelayan.

"Sebab itu pada pilihan raya undi boleh lari lagi 5 peratus," tambah Ibrahim.

Monday, 19 December 2016

Pemimpin kini tamak, kejar duit


NAMA Tengku Razaleigh Hamzah, tidak dinafikan, cukup sinonim dengan dunia politik tanah air. Aura tokoh veteran politik ini masih kuat. Pandangan yang diberikan beliau dalam aspek politik, pembangunan, ekonomi dan lain-lain sentiasa diikuti dengan teliti. Malah karakter dan prinsipnya membuatkan beliau terus dihormati pihak kerajaan atau pembangkang. Ketua Biro Sinar Harian Kelantan, MOHD ZAILANI ABD RAHMAN dan wartawan, NOR AKMALIAH RAZAK berpeluang mendapatkan pandangan beliau, khususnya dalam konteks politik semasa. Ikuti wawancara yang diadakan di kediaman beliau di Gua Musang, Kelantan, baru-baru ini. 

 

Apa pandangan Tengku terhadap senario politik di Kelantan khususnya selepas lebih 20 tahun diperintah Pas.

Orang Kelantan sudah nampak selesa dengan Pas, terutama sekali dengan pimpinan yang tidak memaksa dia buat sesuatu. Orang Kelantan amat bebas, amat berdikari pemikirannya. Amat selesa dalam Pas tetapi dia cepat jemu dengan Pas kerana sudah lama dalam keadaan begini tidak ada perubahan, tidak ada sesuatu perubahan.

Orang Kelantan juga memikirkan mengenai masa depan, terutama sekali pendidikan anak-anak mereka. Orang Kelantan ini mahu tengok kita lebih daripada orang lain. Jadi kalau dia tengok masa depan anak-anak dia, negeri dia, tidak sebagaimana yang diharapkan, dia akan berubah. Walaupun keadaan itu selesa dengan masa ini, kalau tidak meyakinkan, dia boleh berubah.

Sebab itu pada tahun 1977, apabila bergolak sedikit politik di Kelantan disebabkan krisis pemimpin Pas, orang Kelantan  mengambil kesempatan kerana sudah lama duduk dalam keadaan yang tidak menyenangkan dia.

(Akibatnya) dia bertindak mengubah keadaan. Apabila mereka rasa pihak pimpinan Pas ketika itu bermaharajalela, gadai kawasan balak dengan luasnya - 300,000 ekar lebih - kepada orang luar. Orang Kelantan marah.

Sebab itu orang Kelantan, walaupun dia tahu dia rugi dengan enakmen 'reservation'. Menyebabkan nilai tanah dalam kawasan rizab Melayu rendah daripada tidak dalam rizab Melayu, dia rasa selamat. Oleh kerana orang luar tidak boleh miliki tanah, orang Kelantan tahu jika dia tidak akan untung banyak, tetapi dia mahu kekal dalam keadaan ini. Tetapi kalaulah situasi itu memaksa dia ubah kerana kedudukan terancang, ia akan ubah. Dia tidak takut hendak hadapi risiko.

 

Bagaimana Tengku melihat perbezaan politik hari ini dengan zaman Tengku?

Orang mungkin tidak bersetuju dengan pandangan saya. Tengok sekarang ini banyak orang memikir kepada kepentingan diri lebih daripada kepentingan rakyat. Kita tengok pemimpin dulu semuanya mati tidak ada duit, tiada ada harta, Tengku (Abdul Rahman), begitu juga Tun Razak dan Tun Hussein Onn, selain pemimpin pembangkang, contohnya Datuk Asri Muda dan Ustaz Fadzil Noor. 

Tetapi orang sekarang bertujuan lain sedikit. Biarlah, keadaan negara kita sudah berubah. Kita sudah maju sedikit dan sudah tentu hendak merasa juga kemewahan yang ada. Tetapi janganlah itu menjadi perkara utama mereka.  Menyertai parti politik (tujuannya) untuk teruskan perjuangan.

Tetapi nampaknya (ada yang) lebih materialistik daripada dulu-dulu. Macam saya dulu, saya masuk bukan niat nak jadi menteri. Kita masuk kerana hendak menyumbang  tenaga. Saya pilih Gua Musang, dulu  (dipanggil) Hulu Kelantan. Saya boleh pilih Kota Bharu (kerana ketika itu) saya jadi Setiausaha Perhubungan Umno Kelantan, Tunku Abdul Rahman menjadi pengerusi.

Saya boleh pilih hendak jadi ketua di mana-mana sahaja pun. Di Gua Musang saya terpaksa berjalan kaki berbatu-batu hendak pergi melawat kampung-kampung. Kenapa saya hendak pilih di sini? Kerana saya hendak berkhidmat. Malah rumah yang diduduki sekarang pun saya beli tanah, bukan saya ambil daripada kerajaan. Saya boleh ambil tanah daripada kerajaan, tidak ada siapa tahu pun. Tapi saya tidak ambil.  Ini soal prinsip. Kita buat bukan untuk kepentingan diri. Setakat yang termampu itulah kita lakukan.

Sekarang ini nampak orang yang hendak kepada harta pun bukan hendak satu bilion dua bilion, nak lebih daripada itu. Bukan ratus juta lagi. Mengapa jadi begitu? Kita utamakan lebih soal fizikal daripada soal utama yang kita patut berjuang. Islam tidak ajar kita begitu. Ibu bapa kita tidak ajar kita begitu. Jadi apabila kita sudah masuk dalam arena ini kita rasa tamak. Bagaimana kita hendak berjuang untuk orang kalau kita sudah tamak. Kita sudah tidak amanah ataupun kita sudah rasa tamak.

 

Pas Kelantan tidak lagi dalam keadaan terbaik selepas pemergian Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat?

Ya, saya tengok pimpinan Pas di Kelantan begitu lemah. Oleh sebab itu perpecahan berlaku di dalam Pas. Bukan sahaja pimpinan Pas di Kelantan lemah tetapi, tetapi nampaknya pimpinan Pas sebagai sebuah parti tidak memberi arah tuju yang tetap.

Walaupun ada cadangan nak pinda undang-undang mahkamah syariah, hudud dan sebagainya, nampak orang Pas, walaupun (pemimpin) bersemangat, (ahli) tidak begitu tertarik dengan apa yang dilakukan. Perjuangan ini untuk tegakkan islah, bukan hendak tegakkan hukum. Kalau dahulu tidak dilakukan kenapa dibuat sekarang? Mengapa sekarang ini menjadi lebih menonjol dari dahulu. Jadi ahli persoal itu juga.

Jadi kita pun bertanya diri kita. Mengapa begitu ramai pemimpin Pas meninggalkan Pas, tubuhkan Amanah. Apakah masa depan Amanah lebih baik daripada Pas? Mereka mesti ada perhitungan politik, masa depan mereka dan  rakyat.

Takkan mereka buat keputusan dengan tidak berfikir lebih lanjut! Umpamanya pemimpin-pemimpin yang keluar Pas, orang yang handal-handal dan golongan intelek. (Mereka) pernah jadi pensyarah di universiti dan sebagainya. Ini bukan orang yang ambil kesempatan untuk hendak pegang jawatan sebagai pemimpin, bertanding dalam pilihan raya. Tidak, dia orang ini ideologis, dia orang tinggal Pas, bukan seorang dua, ramai sehingga dapat menubuhkan Amanah.

 

Adakah ini bermakna peluang Umno Kelantan kembali berkuasa lebih terbuka?

Saya sendiri pun tidak faham Umno Kelantan ini. Kita tengok baru-baru ini, Pas lawan kita di Sungai Besar, Pas juga lawan kita di Kuala Kangsar. Tetapi apabila kita tanya apakah dia menjadi seteru kita, lawan kita dalam PRU nanti, dia (Umno) tidak dapat memberikan jawapan tegas. Tetapi saya rasa kita tetap lawan Pas pada pilihan raya akan datang kerana orang bawahan tidak mahu kita bersatu dengan Pas. Dan, orang Pas juga sama, tidak mahu bersatu dengan Umno.

 

Adakah Tengku melihat Umno dan Pas perlu berada sepentas?

Dia (Pas) nak perpaduan Islam. Dia kata kita ini tidak ikut kehendak dia. Setakat perpaduan dari segi bangsa sahaja tidak memenuhi syarat yang diperjuangkan oleh Pas.

 

Maksudnya Tengku tidak bersetuju dengan penyatuan Umno-Pas?

Tidak, saya bukan tidak setuju, cuma  saya tidak tahu apa arah tuju kita ini terutama yang berada di Kelantan. Saya tahu orang Umno di Gua Musang, umpamanya, mereka tetap mahu lawan Pas kerana tidak menerima Pas.

 

Ramai tak puas hati dengan Umno dan Pas. Dikatakan sekarang ini bangsa Melayu ini tidak berada di tempat yang sepatutnya dan usaha menyatukan dua parti Melayu perlu dilakukan?

Rasa tidak puas hati tu memang ada dalam kalangan sesetengah orang yang jadi ahli fikir atau yang fikir keadaan masa depan orang Melayu dan Islam. Banyak tidak puas hati dengan cara Pas memimpin sekarang ini. Banyak tidak puas hati dengan cara Umno dipimpin sekarang. Itu memang jelas. Itu sebabnya wujud pelbagai puak parti serpihan, kata orang, daripada Umno ataupun Pas.

Hakikatnya, orang Melayu dan Islam tidak berpuas hati dengan kedua-dua parti besar itu. Kalau tidak, mesti dia orang tidak berpecah belah. Sekarang ini kita ada lima parti Melayu, jadi orang Melayu berpecah. Tidakkah ini akan beri peluang kepada DAP bermaharajalela apabila Melayu berpecah, orang Cina bersatu di bawah panji-panji DAP? Tidakkah mudah bagi DAP kuasai kita semua, menakluki kita pada PRU akan datang? Saya tidak fikir semudah itu. Tetapi saya rasa logik juga ada sesetengah berfikir begitu.

 

Apakah pandangan Tengku mengenai kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga wujud parti Bersatu di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir?

Ramai tidak berpuas hati dengan pimpinan yang ada dan arah tuju parti-parti besar yang ada sekarang ini. Baik Umno, baik Pas. Itu sebab berlakunya perpecahan yang menyebabkan lahirnya parti-parti baharu. Kerana tidak berpuas hati, bukannya dengan perjuangan parti yang pertama kali dengan arah tuju parti, demikian dengan pimpinannya.

 

Apa pandangan Tengku mengenai 1MDB?Isunya berlarutan hingga ke hari ini dan masyarakat masih tertanya-tanya apa kesudahannya?

Sepatutnya isu ini berjalan ikut proses undang-undang. Sepatutnya apa yang dituduh sehingga ke hari ini mesti mendapat penyelesaian juga menerusi undang-undang. Jadi kalau tidak ada penyelesaian di peringkat mahkamah menerusi undang-undang, maka kita tidak bolehlah buat keputusan.

Saya setuju supaya tengok semua yang terlibat dalam kes 1MDB, dibawa ke muka pengadilan, tetapi selagi tidak ada tindakan baik di Malaysia ataupun di lain-lain tempat, bagaimana hendak mengharapkan kepada penyelesaian? Jadi yang dibuat di Amerika itu dibuat mengikut prosesnya. Prosesnya makan masa. Kita tidak boleh menghukum apa yang diramalkan oleh sesetengah orang.

 

Beberapa tindakan Perdana Menteri dalam isu 1MDB dipersoalkan, termasuk memecat pemimpin tidak sehaluan. Ini dikecam pelbagai pihak termasuk daripada pihak Umno sendiri.

Saya tidak boleh cakap betul atau tidak sebab itu adalah kebijaksanaan beliau. Barangkali apa yang beliau rasakan dilakukannya adalah tindakan yang wajar diambil.

 

Tengku banyak pengalaman politik dengan Dr Mahathir. Apa komen Tengku dengan tindakannya tubuh parti baru?

Saya kawan baik dia, cuma tidak sependapat dengan dia. Dia fikir orang Melayu tidak boleh terima pakatan Melayu dan bukan Melayu pada ketika ini. Orang Melayu mesti berjuang untuk orang Melayu dan perjuangan mesti mendahului kepentingan Melayu. Itulah nampak perjuangan  Tun Dr Mahathir.

Tun Dr Mahathir memikirkan sekarang ini Umno tidak boleh buat begitu. Segelintir manusia sahaja yang mendapat faedah daripada perjuangan Umno sekarang  sebagaimana yang dibawa oleh kepimpinan yang ada. Dia rasa parti yang dia baharu tubuh ini memperjuangkan kepentingan Melayu lebih daripada parti yang ada.

 

Tun Mahathir bertemu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Apa pandangan Tengku?

Dia akan lakukan apa sahaja, tetapi dia tidak minta maaf terhadap apa yang dilakukan  beliau terhadap Anwar. Cuma dia pergi jumpa Anwar untuk zahirkan sokongan dia terhadap apa yang dilakukan oleh Anwar kerana tidak setuju dengan undang-undang baharu yang kerajaan buat (berkaitan) Akta Majlis Keselamatan Negara. Dia menentang dan dia bagi sokongan kepada Anwar, kerana nak tahan dari undang-undang itu dilaksanakan.

 

Dari kaca mata politik seakan dia boleh memaafkan?

Itu saya tidak pasti. Saya tidak fikir sampai ke situ. Bukan sebab saya mengenali Tun Mahathir. Dia menyokong Anwar kerana tindakan (Anwar) yang bersama dengan pandangan dia. Dia tidak boleh menerima apa yang dilakukan oleh pimpinan (kerajaan pusat) yang ada sekarang.

Ekonomi negara kita sekarang dilihat menuju ke arah kemerosotan. Sebagai seorang berpengalaman, pernah menjadi menteri kewangan, apa pendapat Tengku?

Ekonomi dunia sekarang ini sedang menghadapi masalah kerana pelbagai masalah yang timbul. Salah satunya dikejutkan dengan kejatuhan harga minyak yang mendadak. Dulu kita nak harga minyak jatuh kerana terlampau tinggi, tetapi apabila harga tinggi mereka menyesuaikan segala kos perbelanjaan untuk mengeluarkan segala barang-barang sesuai dengan harga minyak yang tinggi.

Tetapi tiba-tiba harga minyak turun mendadak. Pihak yang keluarkan minyak dengan banyak seperti Arab Saudi ambil beberapa pendekatan termasuk menurunkan harga. Itu adalah tindakan wajar dilakukannya, kalau mereka hendak jamin bahagian pasaran yang mereka kuasai kekal di tangan mereka.

Kita ini pengeluar minyak yang kecil...100,000 ribu barel lebih sehari. Kita tidak boleh keluarkan lebih daripada itu. Kita ada had untuk keluarkan. Apabila harga minyak jatuh, harga minyak kita pun jatuh juga. Kalau kita terus menerus keluarkan minyak yang banyak kita akan alami kerugian. 

Tetapi hakikatnya apabila harga minyak jatuh, walaupun kita keluarkan banyak atau sedikit pendapatan kita akan terjejas. Itu sebab kita mengalami kekurangan dari segi pendapatan. Selama ini kita mendapat minyak yang menyumbang terhadap khazanah kita sebanyak RM70 bilion setiap tahun, tiba-tiba turun kepada RM30 bilion.

Sudah tentu itu memberi kesan tidak baik kepada pemerintah. Jadi ia terpaksa buat penyesuaian. Oleh kerana itu kita berhadapan dengan masalah,  kerana biasa kita alami pendapatan yang baik daripadanya, tiba-tiba merudum dan akhir-akhir RM15 bilion, sedangkan perbelanjaan yang besar terpaksa ditanggung dengan pendapatan daripada minyak selain daripada eksport lain-lain. Tetapi kita sudah mengalami pengurangan kerana kelapa sawit yang kita biasa dapat faedah yang baik daripada eksport pada masa itu juga jatuh harga. Oleh sebab kejatuhan harga bukan saja kelapa sawit, getah asli kita semuanya menyebabkan kita terpaksa menyesuaikan perbelanjaan dalam negara dengan apa kita dapat.

 

Bagaimanapun faktor kepimpinan dalam mempengaruhi ekonomi negara?

Faktor kepimpinan ada la (sedikit), soal pendapatan negara ini tidak ada kena mengena dengan kepimpinan, melalui perhitungan dia sama ada banyak, kurang dia belanja. Banyak kurang, dia potong perbelanjaan. Itu bergantung kepada kepimpinan. Atas pemikiran dia sama ada apa yang dilakukannya tepat atau tidak, dengan apa jangka berlaku dengan satu-satu masa.

 

Isu Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) digubal, ada yang berpendapat mengatakan ia tidak perlu diluluskan kerana memberi kuasa sepenuhnya kepada Perdana Menteri selaku orang politik. Apa pandangan Tengku?

Ini soal keselamatan, siapa boleh menentu sama ada negara dalam bahaya. Atau tidak dalam bahaya. Hanya pihak yang ada kuasa keselamatan sahaja yang boleh menentu, sama ada suatu tindakan yang dilakukannya, baik atau tidak untuk negara.

Sebab kita semua tidak tahu, kita hanya dengar sana sini, mungkin kita dalam bahaya atau tidak. Tetapi, dia orang tu yang dapat maklum balas daripada tentera, perisik, polis lebih mengetahui daripada kita.

Selain daripada itu, dia dapat maklumat dari luar negara, sebab kalau kita tidak berjaga-jaga mungkin kita akan diancam. Di Laut China Selatan kita diancam pihak China kerana tuntutan terhadap Laut China Selatan, termasuk di kawasan kita di perairan Malaysia ini. Di sebelah sana banyak kemasukan subversif dan elemen yang ekstrem kerana pengaruh agama dan sebagainya. Itu pun mengancam keselamatan kita.

Jadi kita mesti mengawal semuanya ini. Sama ada tindakan kerajaan tepat atau tidak itu perkara yang susah kita nak jawab. Kerana kalau kita kata tidak tepat berdasarkan kepada apa? Kalau kita kata kerajaan tidak patut buat, bila berlaku sesuatu adakah kita perlu salahkan kerajaan?  Mungkin dah terlewat kalau benda itu berlaku, meletup bom di sana, di sini, orang bunuh sana, bunuh sini.

Dia pun mesti buat persiapan juga, supaya dapat mencegah ancaman yang mungkin berlaku terhadap rakyat. Tetapi di sebalik itu pula kita kena berfikir apakah kerajaan perlu memiliki kuasa sebanyak yang dibekalkan kuasa undang-undang MKN ini.

Sehingga diberi kuasa diktator, boleh tangkap, boleh isytihar sesuatu kawasan keselamatan dan sebagainya. Jadi susah kita nak cakap. Tinggal lagi kalau hidup dalam keadaan aman, mungkin kita rasa tidak patut kerajaan bertindak demikian. Dipersoalkan juga oleh sesetengah pihak sama ada patut atau tidak kerajaan lakukan ini dengan tidak merujuk kepada Majlis Raja-Raja, kerana ambil kuasa Raja-Raja dan sebagainya.

Kalaulah terpaksa berbuat demikian, kerajaan patut rujuk kepada Majlis Raja-Raja, dapat pertimbangan Majlis Raja-Raja dan persetujuan mereka sebelum dilaksanakan undang ini. Itu dipersoalkan banyak pihak.