advertiser

Saturday, 10 December 2016

1MDB punya pasal, KJ juga pernah menghantar surat letak jawatan.


Khairy Jamaluddin

ALOR SETAR - Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendedahkan bahawa Khairy Jamaluddin Abu Bakar pernah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, peletakan jawatan itu dibuat kerana Ketua Pemuda Umno itu tidak bersetuju dengan penjelasan yang diberikan berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion pada tahun lalu.

"Pada tahun lepas, salah seorang kenalan kita menjemput saya untuk berjumpa dengan KJ secara sulit di rumahnya, kira-kira jam 11.30 malam. Saya pergi sendiri ke rumah dia, berjumpa tiga orang sahaja dan ada saksi.

"Perjumpaan itu kononnya untuk menyatukan kami berdua kerana kami dilihat pemimpin-pemimpin muda dalam Umno yang walaupun nampak sebelum ini bertentangan, tapi dalam hal menyelamatkan Umno ketika itu dia ingat kami berdua mungkin boleh lakukan suatu menggerakkan ahli-ahli di peringkat akar umbi khususnya orang muda untuk menolak kepimpinan Najib," katanya.

Beliau berkata demikian semasa ceramah perdana sempena majlis perasmian ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kedah oleh Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Stargate, di sini, kelmarin.

Menurutnya, pengakuan daripada KJ itu dibuat dengan alasan tidak mempercayai langsung alasan yang diberikan perdana menteri mengenai isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion.

"Dia kata kepada saya, alasan-alasan yang diberikan langsung tak masuk akal dan macam memperbodohkan rakyat. Kemudian mengenai RM2.6 bilion, dia kata pak Arab ini bukan semuanya kaya termasuklah putera-putera raja pun. Jadi pilihlah yang mana tak kaya, bagi RM10 atau RM20 juta, suruh dia mengaku kononnya dia bagi RM2.6 bilion kepada Najib, selesailah.

"Itu kata-kata KJ kepada saya dan dia yakin perkara itu berlaku. Bukan setakat itu sahaja, dinyatakan bahawa dia sudah bersedia untuk letak jawatan kerana sudah tak tahan membela seorang pemimpin yang dia tahu salah guna kuasa. Kami memang sependapat mengenai masalah yang dibawa ke dalam Umno oleh presiden sendiri," katanya.

Mukhriz berkata, maklumat yang beliau terima akhirnya KJ memang sudah menyerahkan surat peletakan jawatan Menteri Belia dan Sukan kepada Najib dan mungkin melibatkan juga jawatan Ketua Pemuda Umno.

"Tetapi saya difahamkan Najib suruh (Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad) Zahid Hamidi pujuk KJ dengan apa-apa tawaran yang saya tak pasti, sehingga akhirnya KJ tarik balik surat peletakan jawatan itu.

"Ini membuktikan bahawa apa yang dia sebut dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini kononnya dia sokong tak berbelah bahagi memang ayat Umno. Kononnya orang sangka dia itu jahat, tengok Mukhriz pun dah tinggal Umno. Hanya dia yang kekal, maka dia lah orang yang baik-baik kononnya," katanya.

Mengulas lanjut mengenai PAU 2016, Mukhriz mengakui berasa janggal dan pelik apabila buat kali pertama tidak menghadirinya pada kali ini.

"Saya nak buat pengakuan memang benar dakwaan mereka bahawa ada musuh dalam selimut, dalam Umno sebab mereka sebenarnya orang-orang Bersatu.  Saya nak sentuh mengenai PAU ini kerana kita nak balas balik apa yang mereka bangkitkan itu," katanya.

Friday, 9 December 2016

Dr M tak rugi, tak hina jemputan ke istana dibatalkan

Zainuddin Maidin

Siapakah yang akan kesipuan jika bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menghadiri istiadat menandatangani sumpah jawatan yang di-pertuan agong di Istana Negara pada 13 Disember ini?

Datuk Seri Najib Razak atau Dr Mahathir?

Kita dapat menjangkakan apa yang akan berlaku sekiranya Dr Mahathir hadir di upacara itu. Pastinya tetamu kehormat yang berperadaban akan menumpukan perhatian kepada beliau untuk berjabat tangan atau mencium tangannya sebelum atau selepas upacara.

Ini akan meletakkan pemimpin BN, terutama perdana menteri dan menteri-menteri berada dalam keadaan serba salah atau kesipuan.

Tentunya pihak keselamatan tidak dapat melarang sesiapapun juga untuk menemui Dr Mahathir di majlis itu.


Dr Mahathir menerima undangan untuk hadir diupacara itu daripada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu pada 10 November lalu, manakala maklumat pembatalan dari pihak yang sama diketahui pada 13 Disember.

Ini mendedahkan kesilapan dilakukan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu kerana tidak memaklumkan lebih dahulu kepada Jabatan Perdana Menteri.

Pembatalan itu dibuat setelah Dr Mahathir menjawab akan hadir dan didakwa bukanlah bertujuan untuk memalukan beliau, tetapi untuk mengelakkan "kesipuan" yang akan dihadapi oleh Datuk Seri Najib Razak jika berlaku pertembungan dengan bekas perdana itu.

'Saya minta maaf'

Dalam hal ini tidak ada kerugian pada Dr Mahathir. Beliau tidak akan dipandang hina sekali pun ada sesiapa datang menemuinya, sebaliknya akan menimbulkan simpati lebih tinggi kerana umum melihat penghinaan yang sudah keterlauan dilakukan terhadapnya.

Maka itu sebelum meletusnya suasana "kesipuan" di majlis yang paling berkemuliaan dan berkedaulatan itu, tindakan tegas mesti diambil oleh Jabatan Perdana Menteri walaupun akan timbul anggapan buruk daripada rakyat bahawa "Istana Negara adalah milik Najib dan BN".

Hari ini Dr Mahathir mengesahkan menerima surat pembatalan undangan ke istiadat menandatangani sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di Kuala Lumpur pada 13 Disember depan.

Semalam, surat daripada Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja kepada Dr Mahathir yang membatalkan undangan itu tersebar meluas di Internet.

Ia menjelaskan pembatalan itu bagi "mengelak kesipuan (embarrassment)" kerana tiada kerusi untuk Dr Mahathir disediakan pada acara itu.

Menulis di blognya hari ini, Dr Mahathir mendedahkan beliau menerima undanganuntuk hadir pada 10 November lalu.

Mengulas reaksi terhadap pembatalan undangan itu, Dr Mahathir berkata: "Rupa-rupanya acara negara adalah sebahagian dari politik parti," katanya.

"Saya minta maaf kerana membuat anggapan yang salah. Saya akan ambil ingatan bahawa Istana Negara adalah milik Najib dan parti BN".

TAN SRI ZAINUDDIN MAIDIN  bekas menteri penerangan dan Tokoh Wartawan Negara. Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarang Utusan Melayu. Tulisan ini termuat dalam blognya, Zamkata

Thursday, 8 December 2016

LHDN wajar siasat harta dimiliki Jho Low, ahli keluarganya


Lim Lip Eng

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sewajarnya menyiasat harta berbilion milik Jho Low dan anggota keluarganya serta Riza Aziz yang mereka perloleh daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk membantu Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).

 Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng berkata, sikap kerajaan yang enggan bertindak untuk membantu DOJ individu yang didakwa itu boleh terus menyimpan wang dan harta yang mereka perolehi daripada 1MDB.

"LHDN sewajarnya menyiasat harta berbilion milik Jho Low, anggota keluarganya dan Riza.

"Bila dan bagaimana mereka mengumpul kekayaan berbilion itu? Di negara mana mereka membayar cukai pendapatan kekayaan itu dan adakah mereka telah membayar cukai pendapatan secukupnya ke atas hasil kekayaan tersebut?

"Sangat aneh apabila LHDN terus membisu seribu bahasa selama bertahun-tahun terhadap kekayaan yang demikian besar oleh beberapa individu yang terlibat dengan dana 1MDB yang terpalit skandal," ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas empat daripada ahli keluarga Low Thaek Jho, atau Jho Low dilaporkan sedang merancang memfailkan tindakan mahkamah dalam usaha untuk melengah dan menghalang pihak berkuasa AS daripada merampas aset bernilai US$1 bilion daripada Jho Low yang didakwa telah diseleweng daripada dana 1MDB.

"Ini dana milik rakyat. Kenapa Peguam Negara dan duta kita di Amerika Syarikat tidak masuk campur dalam tindakan mahkamah oleh DOJ untuk membantu pihak berkuasa negara itu mendapatkan semula harta kita yang didakwa telah dicuri tersebut?

Dengan tidak berbuat apa-apa, kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak secara mudahnya memberitahu pihak berkuasa Amerika bahawa Jho Low bersama-sama anak tiri Najib, Riza Aziz boleh terus menyimpan apa sahaja wang dan harta yang mereka perolehi daripada 1MDB walaupun telah melanggar undang-undang.

"Dan jika demikian keadaannya, Putrajaya seharusnya mengemukakan protes diplomatik terhadap saman DOJ berkenaan 1MDB, atau memberi kedua-dua Jho Low dan Riza kekebalan diplomatik supaya mereka langsung tidak boleh disentuh pihak berkuasa mana-mana negara," ujarya.


Jho Low 1MDB

Menurut fail mahkamah Amerika Syarikat yang dilaporkan Reuters menyatakan empat saudara Jho Low merancang memfailkan tindakan mahkamah di New Zealand dan Kepulauan Cayman minggu ini bagi membolehkan hartanah dan aset lain dipindahkan kepada pemegang amanah yang baru, menurut usul Mahkamah Persekutuan di Los Angeles pada Isnin yang lalu yang dilaporkan media antarabangsa Reuters.

Menurut fail, langkah untuk mencuba mahkamah di tempat lain dibuat ekoran bantahan kerajaan AS terhadap usaha oleh saudara-mara Low untuk memindahkan aset kepada pemegang amanah yang baru.

Kerajaan AS mempersoalkan, antara lain, mahkamah di New Zealand dan Kepulauan Cayman adalah lokasi yang sesuai untuk membuat permintaan seperti itu.

Menurut Bloomberg, empat saudara-mara Low itu termasuk bapa dan abangnya.

Usul berkenaan bertujuan menangguhkan perbicaraan kes berkenaan kepada tarikh lain dengan penyataan bahawa terdapat usaha membawa kes itu ke mahkamah di New Zealand dan Kepulauan Cayman.

Wednesday, 7 December 2016

DATO’ SERI NAJIB PERLU SAHKAN LAPORAN FINANCIAL TIMES DAN URA-URA GLC BESAR DISENARAIKAN DI BURSA SINGAPURA

Saya merujuk kepada satu laporan terkini bertarikh hari ini oleh Financial Times bertajuk"China to help 1MDB settle multibillion-dollar legal dispute" yang menyentuh perkara-perkara berikut:

1. 1MDB akan mula membayar hutang berjumlah USD6.5 bilion (bersamaan RM30 bilion) yang dituntut oleh syarikat pelaburan milik Abu Dhabi iaitu International Petroleum Investment Company (IPIC) dengan bantuan kewangan dari Kerajaan China;

2. Sumber yang dipetik oleh Financial Times juga menyebut bahawa bantuan kewangan dari Kerajaan China itu adalah sebagai pertukaran kepada aset ("asset swap") yang akan diurusniagakan oleh Kerajaan Malaysia.

Dalam sesi Parlimen yang lepas, saya secara khusus telah menanyakan Menteri Kewangan II, Dato' Johari Abdul Ghani bagaimanakah pentadbiran Dato' Seri Najib bercadang membayar kembali hutang yang dituntut oleh IPIC itu (walaupun saya hanya menyebut jumlah yang didakwa diselewengkan ke akaun Jho Low berjumlah RM3.5 bilion atau RM15 bilion).

Sehingga ke akhir ucapan penggulungan beliau, Dato' Johari Abdul Ghani tidak menjawab langsung.

Saya merasakan seolah-olah ia ulangan kepada amaran saya lebih setahun lalu supaya 1MDB tidak menggunakan dana Tabung Haji dan amaran saya itu (dalam bulan Mac 2015) telah dicerca dengan jeritan tidak bersopan di dalam Dewan Rakyat oleh Dato' Seri Azeez Abdul Rahim. Sebulan kemudian, berita bahawa Tabung Haji telah membeli tanah dari 1MDB pada harga yang berlipat kali ganda lebih tinggi bocor kepada orang ramai.

Dalam sidang yang lepas, perkara yang hampir sama berlaku. Saya telah bertanya soalan mengenai perancangan Dato' Seri Najib untuk membayar hutang itu dan telah disambut dengan cerca dan jeritan dari Ahli Parlimen Baling itu yang diketahui sangat rapat dengan Dato' Seri Najib dan Datin Seri Rosmah, sehingga soalan saya itu tidak dijawab langsung.

(Rakaman perbahasan itu boleh ditonton di https://www.youtube.com/watch?v=7P3VYrJjtcg )

Berita yang disiarkan oleh Financial Times hari ini benar-benar merunsingkan saya kerana ia seolah-olah mengesahkan satu maklumat yang telah saya perolehi beberapa bulan lepas mengenai kemungkinan salah satu konglomerat berkaitan kerajaan (GLC) akan disenaraikan di Singapura dalam tahun 2017 bagi memberi ruang kepada syarikat yang dikawal Kerajaan China (secara langsung atau tidak langsung) menguasai sebahagian besar dari sahamnya.

Sebelum ini, saya tidak menimbulkan perkara ini kerana menunggu lebih banyak bukti dan perkembangan yang boleh mengesahkan ada kebarangkalian dakwaan itu ada kebenaran. Berita pada hari ini yang turut menyebut mengenai urusniaga melibatkan aset milik Kerajaan Malaysia.

Soalan saya ialah GLC manakah yang mempunyai pengaruh yang sebegitu besar untuk dijadikan pertukaran bagi bantuan kewangan mengejut sebanyak RM30 bilion seperti yang dilaporkan Financial Times hari ini?

Pada pemahaman saya, hanya ada beberapa GLC yang mempunyai saiz aset sebesar itu iaitu PETRONAS (atau anak syarikat kumpulannya), Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia atau Sime Darby Berhad?

Saya mendesak Dato' Seri Najib memberi penjelasan sama ada bantuan kewangan dari Kerajaan China akan menyebabkan salah satu aset utama seperti GLC di atas dilibatkan di dalam urusniaga baru melibatkan Kerajaan China?

Jika beliau berdiam diri, desas desus ini tidak akan berhenti dan saya akan terus menyiasat sehingga butiran aset yang ingin diurusniagakan diketahui umum.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Najib yang menyusukan China, yang jahanam bukan Melayu sahaja tapi Malaysia

Hasmi Hashim

ULASAN Tidak ada satu pun kaum di negara ini akan selamat, kalau Malaysia itu sendiri tidak diselamatkan!

Masalah hari ini bukan masalah orang Melayu yang kononnya terancam, tetapi masalah sebenar adalah Malaysia yang kini sedang terseret ke dalam pelbagai kemelut pentadbiran, politik dan ekonomi.

Tidak sampai sebulan sebelum perhimpunan agung Umno minggu lalu, Perdana Menteri Najib Razak mengadakan lawatan rasmi ke republik komunis China dan bertemu dengan presiden Xi Jinpin. Di sana, beberapa perjanjian persefahaman dimeterai yang dilaporkan melibatkan kira-kira RM143 bilion nilai pelaburan. Jumlah itu mungkin besar bagi Putrajaya, tetapi bukanlah terlalu besar untuk sebuah negara sebesar republik komunis China.

Di sebalik perjanjian dan hubungan akrab Najib-China, republik komunis berkenaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini sedang galak mahu menguasai Laut China Selatan. Salah satunya apabila China secara senyap-senyap menambak laut dan membina pangkalan tentera di kepulauan Paracel.

Tuntutan China terhadap atas kepulauan Spratly juga masih berterusan. Kedua kepulauan tersebut terletak di kawasan strategik di tengah-tengah Laut China Selatan yang bukan sahaja menjadi sumber tangkapan laut, minyak dan gas, tetapi sudah tentu sebagai kawasan strategik mengawal hubungan laut dengan kuasa ketenteraan.

Nelayan sama ada dari Filipina, Vietnem, Malaysia atau mana-mana negara terdekat akan diberkas sekiranya menangkap ikan di kawasan kepulauan berkenaan tanpa kebenaran China. Begitulah kerasnya pemaksaan kuasa yang mula dilaksanakan China di kedua pulau berkenaan yang kedudukannya beribu batu daripada sempadan pantai China.

Sebelum pertemuan Najib dengan Xi Jinpin, keadaan agak sukar bagi China menerobos dan menuntut sepenuhnya hak ke atas dua kepulauan berkenaan. Sehingga sebelum lawatan Najib, tidak ada seorang pun pemimpin negara ASEAN yang nampaknya boleh 'dibeli' oleh republik komunis China.

Ikatan dan semangat negara-negara ASEAN sebelum ini sangat kuat. Walau tidak ada sebuah pun negara ASEAN sekuat China, namun kesatuan ASEAN jualah yang membuatkan suara ASEAN kekal terhormat. Banyak urusan dalaman ASEAN diselesaikan dengan semangat dan cara ASEAN sendiri seperti konflik di Selatan Thailand, isu pengganas di utara Sabah dan Mindanao serta konflik puak pemisah Aceh di Indonesia dalam tahun 1980 dan 90-an dahulu.

'Orang dalam'

Hanya dengan bantahan secara bersama atas nama ASEAN, maka suara negara-negara ASEAN lebih terdengar dan tidak mudah untuk diketepikan begitu sahaja oleh mana-mana kuasa luar, termasuklah China. Oleh itu sebagai strategi politik, China memang perlu mencari jalan memecah-belahkan perpaduan ASEAN yang wujud puluhan tahun.

Berusaha ke arah itu, China perlulah mencari-cari dan mempunyai "orang dalamnya" untuk melemahkan ASEAN dari dalam ASEAN. ASEAN tidak boleh dilemahkan dari luar.

Maka tidak hairan bagaimana China melihat bahawa lawatan dan keterdesakan Najib untuk mendapat wang dari China sebagai peluang terbaik. Ini strategi serampang dua mata apabila mereka sedar bahawa Najib dalam waktu sama sangat terdesak memperoleh pelabur luar terutama selepas Najib tercalit skandal besar 1MDB. Selain itu, Putrajaya juga semakin kekeringan dana yang boleh dilihat di dalam Bajet 2017 di samping kejatuhan harga minyak dan nilai ringgit.

Tidak sampai sebulan sejurus pulang daripada lawatan ke China, Najib segera pula menggunakan pentas perhimpunan Agung Umno untuk melancarkan serangan terhadap sebuah parti yang berasaskan kaum Cina dalam negara, iaitu DAP. Maknanya, Najib tahu yang dalam waktu sama beliau harus menghidupkan api dan sentimen perkauman menutup mata khususnya orang Melayu setelah beliau menjalin hubungan akrab dengan Republik Komunis China. Najib juga cuba menuding bahawa parti-parti oposisi menjadi alat George Soros sedangkan yang jelas nyata Putrajaya yang mendakap Beijing.

Menyerang kaum Cina di Malaysia yang merupakan rakyatnya sendiri bagaimana tidak dapat menutup fakta bagaimana sejumlah lebih RM55 bilion dipinjam dari China untuk menjalan projek landasan kereta api Pantai Timur (ECRL). Bentuk pinjaman dan projek inilah yang lebih bersifat menjual maruah negara berbanding menyerang kaum Cina di Malaysia yang merupakan warganegara Malaysia yang sah.

Langkah politik yang lebih kelam kabut oleh Najib menyusul sehari selepas perhimpunan agung Umno apabila beliau menggerakkan dan hadir pula satu perhimpunan yang dikatakan untuk membela nasib orang Rohingya. Di pentas ucapan yang turut dihadiri presiden PAS, Najib dengan nada keras melontarkan peringatan kepada pemerintah Myanmar berhubung layanan dan nasib etnik Rohingya di sana.

Ucapan Najib itu sangatlah bersifat tidak diplomatik. Sebagai ketua negara beliau boleh menggunakan saluran antara kedua kerajaan untuk menyelesaikan masalah kaum Rohingya. Najib tidak menggunakan saluran itu dan memilih jalan berhimpun untuk menunjukkan kekuatan.

Curiga ASEAN

Ketua cawangan parti apapun boleh membaca dan takkan mudah terperangkap dengan taktik politik Najib yang sebenarnya tidak lebih hanya untuk memainkan sentimen kalangan Melayu-Islam dan bukanlah serius mahu menuntaskan masalah penindasan terhadap kaum Rohingya di Myanmar.

Di ketika ASEAN diasak oleh kuasa besar seperti China, agak menghairankan apabila Najib memilih jalan untuk menimbulkan masalah di dalam negara ASEAN. Tindakan sebegitu tentu akan menimbulkan keraguan apakah beliau kini telah benar-benar diperbudakkan oleh China hanya semata-mata untuk membereskan beban yang melingkari dirinya, termasuklah hutang dan skandal 1MDB?

Pandangan sedemikian bukan sahaja boleh wujud dalam negara, tetapi juga di kalangan pemimpin negara-negara ASEAN kala mana isu etnik Rohingya tidak pula dibangkit secara serius oleh Najib ketika Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-27, November tahun lalu. Tindak-tanduk PM Najib sebagai pemimpin nombor satu Malaysia sesungguhnya semakin meletakkan Malaysia dalam keadaan dicurigai oleh semua jiran-jiran se-ASEAN kita sendiri.

Pada tingkat inilah, Najib nampaknya bukan sahaja tergamak menjual kedaulatan dan maruah Malaysia kepada kuasa luar seperti China, tetapi lebih jauh daripada itu dia tergamak pula memperjudikan kestabilan ASEAN, yakni sebuah kesatuan negara-negara Asia Tenggara yang diusahakan dan turut ditubuhkan oleh allahyarham bapanya sendiri.

Politik perkauman sempit ala-Najib yang ditunjukkan menjelang pilihan raya umum sesungguhnya takkan menyelesaikan semua masalah di atas. Jalan terakhir tidak lain tidak bukan adalah sekali lagi kembali kepada laungan perpaduan Melayu, sedangkan yang lebih penting untuk diselamatkan adalah Malaysia. Tanpa Malaysia yang dapat diselamatkan, Melayu juga tidak akan selamat. Titik.

Tuesday, 6 December 2016

Hentam Dr M, DAP tak selesai masalah Melayu, kata Anwar

FMT Reporters

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Perhimpunan Agung Umno yang berakhir Sabtu lalu hanya menjadi medan menghentam DAP dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, tanpa menyentuh isu melibatkan masyarakat Melayu.

"Menghentam Tun Mahathir, menghentam DAP, itu bukan jawapannya," kata Anwar yang hadir di Mahkamah Rayuan Syariah semalam bagi mendengar rayuannya mengenai prosiding qazaf terhadap bekas pembantu pejabat PKR, Mohd Saiful Bukhari yang mendakwa diliwat.

Perhimpunan Umno kali ini menyaksikan tumpuan ucapan perwakilan terhadap Dr Mahathir kerana tindakan menjalinkan kerjasama dengan DAP.

Sayap Pemuda dan Wanita Umno turut berulang kali menyatakan kesetiaan kepada presiden parti, Datuk Seri Najib Razak, dalam apa yang dilihat pemerhati sebagai usaha memperkasakan kedudukannya ekoran tentangan daripada beberapa pemimpin veteran yang meninggalkan parti itu.

Anwar berkata beliau tidak menolak kedudukan Najib semakin kuat, tetapi ia hanya dalam lingkungan Umno.

"Dalam Umno, itu tidak menjadi isu.

"Di kalangan rakyat, isu utama adalah kenaikan harga barang dan inflasi," kata Anwar.

Anwar berkata DAP seperti parti Pakatan Harapan lain sentiasa mempertahankan peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia.

"Anda kerajaan. Kehilangan saham Melayu, tanah rizab Melayu, itu tanggungjawab anda."

Monday, 5 December 2016

KALAU UMNO KALAH, TIADA APA2 YANG BERUBAH, KECUALI NAJIB YANG GELABAH

Oleh Shahbudin Husain

Momokan Najib Razak tentang DAP akan menguasai kerajaan semakin disedari bahawa ia semata-mata untuk menakut-nakutkan pengundi Melayu agar terus mengekalkan kuasa UMNO yang selanjutnya memastikan beliau kekal lagi sebagai Perdana Menteri.

Hakikatnya, Najib sedar penolakan rakyat semakin membuak-buak dan mereka hanya menunggu masa saja untuk merealisasikannya di peti-peti undi.

Untuk itu, beliau terpaksa bermain dengan sentimen perkauman yang melampau dengan harapan pengundi Melayu akan takut tentang ancaman kepada masa depan mereka.

Bagi yang celik hati dan akalnya, mereka dengan mudah menolak momokan Najib itu kerana DAP hanya bertanding 51 kerusi Parlimen saja dan lawan mereka dalam pilihanraya pula adalah MCA, MIC atau Gerakan yang juga merupakan parti bukan Melayu.

Selain di mana logiknya 51 kerusi mampu menguasai 222 kerusi, tentulah lebih tidak masuk akal jika orang Melayu harus berasa bimbang tentang siapa kalah atau menang di kerusi-kerusi tersebut.

DAP tidak bertanding di kawasan Melayu seperti Pekan, Bagan Datoh, Pagoh dan sebagainya. Di kerusi-kerusi Melayu di mana UMNO bertanding, lawannya tetap Melayu juga sama ada daripada PPBM, PKR, Amanah atau Pas.

Jadi, tiada jalan untuk DAP mengambil hak orang-orang Melayu. Di mana calon Melayu UMNO yang kalah, pemenangnya tetap Melayu juga.

Maka, sesuai dengan kedudukan Melayu sebagai bangsa majoriti, bukan saja Melayu akan terus menguasai kerajaan jika UMNO dan BN dapat dikalahkan, malah calon Perdana Menteri juga tetap Melayu.

Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin telah mendapatkan perakuan hasil pertemuannya dengan DAP bahawa parti itu bersetuju calon Perdana Menteri Pakatan Harapan kiranya memenangi pilihnaraya adalah Melayu dan bukan daripada DAP.

Justeru, tambah Muhyiddin, tiada sebab untuk orang Melayu berasa bimbang atau terancam jika UMNO kalah dalam pilihanraya akan datang.

Lim Guan Eng turut mengesahkan bahawa DAP tidak pernah meminta seorang Cina untuk menjadi Perdana Menteri dan tidak juga berhasrat untuk menguasai kerajaan.

Kami tidak akan menguasai kerajaan jika BN dapat dikalahkan, tetapi akan menjadi rakan kongsi yang adil dan bertanggungjawab, jelas Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Pendirian DAP itu tentunya atas kesedaran sebenar tentang negara ini dan komposisi kaum yang meletakkan Melayu sebagai majoriti.

Yang tersingkir jika UMNO kalah hanyalah Najib dan barisan kabinetnya saja. Yang lain-lain semuanya akan kekal seperti biasa.

Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak istimewa orang-orang Melayu akan kekal sebagaimana yang telah termaktub dalam Perlembagaan.

Kedudukan Raja-Raja Melayu juga kekal di takhta yang sama dengan penggiliran Yang Dipertuan Agong setiap lima tahun tidak berubah seperti sedia ada.

Masjid Negara, Masjid Putrajaya dan seluruh masjid di negeri-negeri akan turut kekal dengan laungan azan sebagaimana biasa.

Jawatan Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha kementerian dan Setiausaha Kerajaan Negeri dan lain-lain jawatan utama, semuanya akan kekal sama.

Malah, jika mahu dihitung satu persatu, semua yang ada sekarang bukan saja akan terus ada, ia mungkin juga ditambah baik lagi oleh kerajaan baru nanti.

Sekali lagi, yang ingin ditukar dan dibuang setelah UMNO dikalahkan hanyalah Najib sebagai Perdana Menteri yang sebab-sebabnya sudah pun difahami oleh kita semua serta barisan kabinet yang majoritinya jelas tidak berguna, jauh sekali untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat dan negara.

Yang mahu diganti ialah Perdana Menteri yang tidak baik kepada Perdana Menteri Melayu lain yang lebih baik. Tidak mungkin penggantinya nanti begitu mudah mahu melakukan sesuatu yang tidak baik dan melampau kerana sedar kuasa rakyat lebih mudah menurunkannya selepas itu.

Maka, orang Melayu jangan takut apa-apa dengan kalahnya UMNO dalam pilihanraya, bahkan seharusnya menjadi lebih gembira.

Biarkan saja Najib dengan gelabahnya, lagi pun dalam akaun banknya sudah ada wang ribu-ribu juta banyaknya. (SH 05/12/2016).

Zunar jawab Khalid dengan lukisan Donald Duck dan Mickey Mause

MALAYSIA DATELINE


Karikatur terkinia Zunar bagi membalas cabaran Khalid yang disiarkan di facebook dan twitternya hari ini.

Tiga hari lalu Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menasihatkan kartunis politik Zunar menghasilkan karya-karya yang baik jika mahu mempamerkannya.

Secara berseloroh, Khalid berkata Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque boleh melukis kartun-kartun seperti "Mc Donalds dan Donald Duck".

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada Zunar dibenarkan mempamerkan kartun-kartun kepada awam.

Hari ini Zunar di facebooknya memaparkan ide Khalid itu menerusi karikatur Donald Duck dan Mickey Mause.

Kali ini Mickey Mouse itu disebut sebagai "Mickey Mah"

"Saya sedang duduk di meja lukisan saya Jumaat lalu, menggaru kepala saya untuk idea-idea, dan seseorang mencadangkan saya melukis Donald Duck," Zunar memberitahu Malaysiakini seperti dipetik, apabila ditany inspirasi di sebalik karya seni terbarunya itu.

Di FMT Zunar juga memberikan komennya menasihatkan Khalid jangan mengulas mengenai kartun politik, jika tidak tahu atau memahami seni itu.

Beliau berkata, Khalid sepatutnya belajar mengenai kartun sebelum layak menasihatkan kartunis dan beliau sedia mengadakan kelas kartun untuk mengajarnya.

"Saya harap IGP (ketua polis negara) belajarlah sikit, saya nasihatkan dia belajar sikit-sikit pasal kartun, barulah dia faham kartun, barulah dia boleh menasihatkan kartunis.

"Saya boleh ajar IGP lukis kartun, memahami kartun. Saya juga boleh buat kelas kartun kalau dia sedia," katanya kepada FMT hari ini.

Zunar berkata, tanggungjawab kartunis politik di dunia, termasuk Malaysia ialah mengkritik kerajaan yang memerintah secara zalim dan mengamalkan rasuah seperti dipetik.

Karikatur Zunar kali ini mengundang komentar di facebooknya ada yang menyokong dan ada yang menentang.

Kassim Muhammad berkata: Mereka masih fikir penjarakan roh, semangat dan kreativiti? Dasar otak tersumbat dedak!

Manakala Ann Shaah Ariffin pula berkata: Dah disuruh lukis Donald Duck... jangan pula nak tangkap2 lepas ni.

Tak kurang juga yang memuji mengatakan lukisan dan mesej Donald Duck Zunar itu sesuatu yang "Fantastic".

Mengapa hanya saya dilabel pengkhianat, soal Dr Mahathir


PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad malam tadi mempersoalkan mengapa hanya beliau dilabe sebagai pengkhianat kerana bekerjasama dengan pembangkang bagi mendapatkan kuasa sedangkan terdapat pemimpin Umno melakukan perkara sama.

Bercakap pada ceramah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Pasir Gudang, Johor, malam tadi, Dr Mahathir berkata pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar, dan bekas perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman, juga pernah bekerja dengan pembangkang untuk memenangi kuasa.

"Saya tidak ingat Tunku dipanggil pengkhianat, tetapi Najib menuduh saya itu," kata Dr Mahathir, presiden Umno yang paling lama berkhidmat, kepada hadirin.

Ucapan beliau malam tadi dimuat naik di Facebook Kelab Che Det.

Pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, Najib berulang kali memanggil Dr Mahathir, kini pengerusi PPBM, pengkhianat kerana bekerjasama dengan DAP, parti dominan Cina.

Beliau berkata Onn Jaafar meninggalkan Umno dan menubuhkan Parti Negara dan Parti Kemerdekaan Malaya untuk mencabar gabungan Perikatan, manakala Tunku, juga bekas presiden Umno, bekerja dengan pembangkang pada pilihan raya umum 1990.

"Beliau juga bekerja dengan DAP tetapi saya tidak melabelkan beliau pengkhianat," kata Dr Mahathir sambil menunjukkan keratan akhbar dan gambar mendiang Karpal Singh, Lim Kit Siang bersama Tunku.

Beliau berkata, bekas presiden Semangat 46 Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah bekerjasama dengan DAP dan PAS selepas Umno lama diharamkan dan parti baru ditubuhkan pada 1988.

Dr Mahathir berkata, malah bekas timbalan perdana menteri dan timbalan presiden partinya Tun Musa Hitam menolak menyertai Umno baru.

"Saya terpaksa memberikan jawatan menteri dan menghantar beliau ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai wakil khas kami," kata beliau sambil memberitahu bagaimana beliau melayan "pengkhianat".

Dr Mahathir berkata tanggapan orang Melayu akan kehilangan kuasa jika Barisan Nasional yang diterajui Umno dikalahkan dalam pilihan raya umum dan Cina akan menjadi perdana menteri adalah salah.

"Orang Cina adalah minoriti melainkan jika Umno mahu memberikan kedudukan itu," katanya.

Katanya PPBM juga ada untuk membela nasib orang Melayu walaupun ia membenarkan bukan Melayu menyertai sebagai ahli pakatan.

"Ia adalah Najib dan Umno yang mengkhianati orang Melayu," katanya, sambil menambah PPBM mampu menjadi pengganti kepada Umno.

Sunday, 4 December 2016

PRU14: Antara Najib 1% dan rakyat M'sia 99%


ULASAN Pilihan raya umum yang akan datang bakal menyaksikan pertarungan sengit antara Umno dan pembangkang.

Umno yang akan menggunakan senjata perkauman bagi mewujudkan ketakutan di kalangan pengundi manakala pembangkang dengan tema ‘harapan baru’ untuk masa hadapan negara, mewakili aspirasi 99 peratus rakyat terbanyak di Malaysia.

Mencermati intipati ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2016, terdapat 3 tema yang diketengahkan:

• Pertama, wala’ (kesetiaan) kepada presiden Umno dan perdana menteri adalah perkara terpenting mengatasi segalanya. Dengan erti kata lain, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal adalah pengkhianat parti.

• Kedua, pilihan raya umum akan datang adalah tentang membuat pilihan antara kerajaan yang bakal diterajui oleh Umno atau DAP. Dalam hal ini, Umno akan bermati-matian menentang DAP bagi mempertahankan orang Melayu.

• Ketiga, PAS adalah rakan Umno.

Skrip ini tidaklah terlalu sukar difahami. Najib menyemai rasa takut di kalangan rakyat terhadap DAP dan bukan Melayu untuk menyeru ahli-ahli Umno berjuang bersama beliau sepertimana ungkapan yang dilaungkan dalam PAU; “Kami berjanji akan berjuang bermati-matian hingga ke titisan darah yang terakhir, biarpun nyawa kami ditukar ganti!”

4 ISU KRITIKAL

Namun, Najib terus mengelak dari menyentuh empat isu kritikal sedang melanda negara dan menjerut rakyat: GST, 1MDB, kejatuhan nilai matawang ringgit dan peningkatan kos sara hidup.

Apabila pendapatan rakyat tidak meningkat, GST akan memberi kesan terhadap pendapatan bolehguna mereka. Skandal 1MDB pula menghakis keyakinan luar terhadap ekonomi Malaysia dan institusi-institusinya, bahkan turut memberi kesan terhadap nilai tukaran matawang. Peningkatan kos sara hidup pula antaranya berpunca dari penarikan subsidi, kejatuhan ringgit dan perlaksanaan cukai GST.

Apabila pendapatan bolehguna rakyat menguncup, keyakinan mereka untuk berbelanja turut sama menguncup. Ini memberi kesan negatif kepada perniagaan/bisnes. Sekiranya keadaan ini berlarutan, tidak mustahil Malaysia bakal berhadapan krisis lebih parah yang sukar dipulihkan lagi.

Rakyat Malaysia terbanyak - iaitu kelompok 99 peratus - adalah kelompok yang bakal menerima kesan langsung dari kelemahan urustadbir ekonomi dan pentadbiran negara pimpinan Perdana Menteri Najib. Pun begitu, beliau hingga kini masih terus membisu. Lebih dari itu, beliau memainkan sentimen perkauman sempit sebagai senjata bagi mengekalkan survival kuasanya.

Kita tidak perlu terkejut, bahkan kita mesti bersiap sedia dengan kemungkinan lebih buruk lagi. Agenda perkauman sempit ini bakal dimainkan oleh kerajaan Najib menuju hari-hari mendatang menjelang pilihan raya.

Kepada seluruh rakyat yang tidak mahu Malaysia terus dicengkam oleh kleptokrat Najib, termasuklah ahli-ahli Umno yang tidak bersetuju dengan Najib, kita perlu bergerak dari sekarang untuk memastikan pilihan raya yang akan datang adalah bebas dari muslihat agenda perkauman sempit ini.

Pilihan raya umum ke-14 bukan perlawanan untuk memilih kerajaan yang bakal diterajui Umno atau DAP, jauh sekali perlawanan antara Melayu dan Cina tetapi perlawanan sebenar adalah antara minoriti 1 peratus Najib dan kroninya dengan 99 peratus rakyat Malaysia yang mengimpikan masa hadapan negara yang lebih cerah.

Demi menyelamatkan negara, demi generasi masa hadapan, demi melawan ketakutan untuk Malaysia yang lebih gagah, tiada pilihan lain melainkan kita - kelompok 99 peratus - perlu bangkit segera!

LIEW CHIN TONG adalah Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan merangkap Ahli Parlimen Kluang.

Perwakilan Umno sindir Najib bab derma pak arab


PAU 2016 Perwakilan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rizuan Abd Hamid mendakwa kehebatan Malaysia di mata dunia luar adalah kerana adanya pemimpin hebat bernama Datuk Seri Najib Razak.

Rizuan berkata kehebatan perdana menteri itu juga telah membuka hati putera Arab Saudi untuk mendermakan kekayaannya kepada Malaysia.

"Pasaran halal dunia sekarang bernilai USD2.3 trilion. Produk Malaysia tahun ini juga dijangka USD41 bilion, betapa hebatnya Malaysia di kaca mata dunia.

"Kenapa? Kerana dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Orang Islam di serata dunia hormat perdana menteri kita sebab itu putera Arab Saudi bagi (Malaysia) duit, bagi duit kepada perdana menteri untuk kegunaan bertanding pilihan raya.

"Bukan untuk dipakai diri sendiri," kata Rizuan ketika membahaskan usul agama dan pendidikan di perhimpunan agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Mengulas lanjut, Rizuan menyeru semua pihak khususnya pembangkang agar tidak lagi terus menerus melemparkan fitnah kepada pemimpin negara itu.

"Ini terbukti, jadi janganlah kamu wahai pembangkang melemparkan berbagai fitnah kepada presiden," kata Rizuan.

Najib sebelum ini mendakwa dana itu sumbangan dari ahli keluarga diraja Arab.

Bagaimanapun, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) pada Julai mengumumkan saman sivil untuk mendapatkan lebih AS$ 1 bilion aset yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Najib menerima kritikan pembangkang berhubung dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan 1MDB yang dibebani hutang dan deposit wang ke akaun peribadinya kira-kira AS$680 juta.

Perdana Menteri bagaimanapun secara konsisten menafikan sebarang salah laku dan menyatakan sumber wang itu bukan daripada 1MDB.

Beliau juga berkata dana itu tidak digunakan untuk kepentingan peribadi.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, wang itu adalah hadiah daripada keluarga diraja Saudi, dan mendakwa kebanyakannya telah dikembalikan.