advertiser

Friday, 25 November 2016

‘PAS tangguh bukan sebab BANTAHAN BUKAN ISLAM’

KUALA LUMPUR – Penangguhan huraian pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355 ke sesi sidang Dewan Rakyat akan datang tiada kaitan dengan bantahan orang bukan Islam.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sebaliknya ia bagi memberikan peluang terutama kepada ahli parlimen untuk lebih memahami pindaan itu.

"Kalau kita lihat dalam dewan, tiada ahli parlimen bukan Islam yang menentang. Saya terkejut walaupun digembar-gemburkan kepimpinan parti politik bukan Islam menentang pindaan RUU ini, tetapi hari ini (semalam) Presiden MCA, Presiden Gerakan ada.

"Saya tabik sebab mereka gunakan saluran demokrasi untuk benarkan bentang dulu. Kalau nak bantah, buat masa perbahasan," katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai permohonan Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar huraian pindaan RUU 355 dibuat sesi akan datang.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, Abdul Hadi akan memberi huraian lengkap dalam sidang Mac ini mengenai justifikasi dan asas pindaan tersebut.

"Kalau buat (bahas) hari ini, nanti kita dikatakan tidak beri peluang untuk kaji pula. Ini pindaan pertama dan kita baru masukkan (pindaan) hari ini. Kalau kita dah letakkan pindaan awal-awal mungkin tiada masalah (untuk faham)," katanya.

Ditanya mengenai cadangan agar jawatankuasa pemilihan ditubuhkan, Takiyuddin berkata, ia hanya dibolehkan selepas bacaan pertama.

"Jika kerajaan nak buat jawatankuasa, kita setuju. Tetapi buat masa ini tak boleh buat sebab tarafnya hanya usul persendirian. Jadi kita tunggulah lepas bacaan pertama, kita akan gesa kerajaan untuk buat jawatankuasa," katanya.

Wanita MCA kepada HADI - ‘Bertindak sebagai wakil rakyat, bukan wakil agama’


Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie mengingatkan ahli parlimen bahawa mereka dipilih sebagai wakil rakyat dan bukannya sebagai wakil agama tertentu apabila membuat keputusan mengenai Rang Undang-Undang Persendirian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Semua ahli Parlimen di Parlimen perlu ingat bahawa mereka dipilih oleh rakyat Malaysia sebagai wakil rakyat pelbagai bangsa dan agama.

"Justeru, mereka dipilih sebagai ahli parlimen Malaysia dan bukan sebagai ahli parlimen yang mewakili agama tertentu, bukan ahli parlimen Islam, malah mereka juga bukan dipilih sebagai awakil rakyat Buddha, Kristian atau Hindu.

"Oleh itu, saya menggesa mereka untuk bertindak secara profesional mengikut kehendak rakyat Malaysia, yang selaras dengan semangat sekularisme dan 1 Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Untuk mengatakan bahawa rang undang-undang Hadi hanya menyentuh kepentingan umat Islam sahaja tidak boleh diterima," katanya.

Rang undang-undang Hadi, dibentangkan bagi menghapuskan halangan terakhir persekutuan bagi melaksanakan hukum hudud di Kelantan yang diluluskan di peringkat negeri tahun lalu.

Isu Maria Chin & CIA - Pemantau pilihan raya kecam Annuar, ajak ke Bangkok


Kumpulan pemantau pilihan raya mengutuk dakwaan pemimpin Umno yang mengaitkan Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah dengan Agensi Risikan Pusat (CIA), Amerika Syarikat.

Annuar mendakwa kaitan itu ditemui melalui penglibatan Maria dalam Jaringan Asia untuk Pilihan Raya Bebas (Anfrel) dan Pergerakan Kebangsaan Filipina untuk pilihan raya bebas (Namfrel).

"Ini taktik paling biasa, paling lama dan kotor oleh kuasa pemerintah untuk menekan dan memfitnah penentang mereka...," katanya dalam e-mel kepada Malaysiakini.

Pengarah Anfrel Ichal Supriadi juga mempersoalkan dakwaan "tidak berasas" itu yang datang daripada seorang yang dihormati seperti Annuar.

Ichal juga mengundang Annuar untuk melawat Anfrel di Bangkok untuk meneliti sendiri bagaimana badan itu beroperasi secara bebas.

"Saya pasti beliau akan terkejut apabila tahu dakwaannya tidak berasas," katanya.

Annuar semalam mendakwa Maria bersama arwah suaminya Yunus Ali, ada kaitan dengan CIA melalui menerusi kerja-kerjanya dalam beberapa NGO pada 1980-an, sepertiInstitut Kebangsaan Integiriti Pilihan Raya (NIEI).

Menurut Annuar, NIEI ditaja oleh Asia Foundation, bawah Namfrel dan Anfrel.

Katanya, bekas pegawai CIA, Philip Agee sebelum itu mendedahkan bahawa Namfrel dan Anfrel adalah 'alat CIA'.

Pengerusi Anfrel Dammy Magbual pula berkata ramai anggota jawatankuasa badan itu, termasuk dirinya, berkhidmat tanpa menerima sebarang upah.

"Annuar patut buktikan kenyataannya. Jika kamu tahu keadaan kewangan Anfrel, kamu akan sedar betapa kejamnya dakwaan ini," katanya kepada Malaysiakini.

Maria sedang ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau Sosma selepas ditangkap bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan berhubung dakwaan terlibat dalam "aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen".

Ia berlaku selepas BERSIH didakwa menerima dana daripada Open Society Foundations yang ada kaitan dengan George Soros.

Pemuda AMANAH desak usir duta Myanmar


Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) mendesak kerajaan membekukan hubungan diplomatik dengan Myanmar dan mengusir duta negara itu dari Malaysia.

Ketua Pemuda AMANAH, Sany Hamzan berkata apa yang dilakukan pemerintah Myanmar ke atas etnik Rohingya selama ini tidak mencerminkan negara itu beradab.

"Sebagai bantahan atas pembunuhan beramai-ramai orang Islam di Myanmar dan menolak sekeras-kerasnya keganasan tentera mereka, kami menggesa kerajaan Malaysia membekukan segera hubungan diplomatik dengan Myanmar dan menghalau duta Myanmar dari sini," katanya.

Selain itu, Sany juga mahu kerajaan memanggil pulang segera duta Malaysia ke Myanmar.

Satu lagi langkah yang wajar diambil, kata Sany, ialah mendesak supaya Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan menghantar tentera ke lokasi bergolak di timur Myanmar.

"Ketiga-tiga tindakan ini hendaklah dibuat secara berterusan sehingga Myanmar menghentikan serangan ke atas etnik minoriti Rohingya bertanggungjawab penuh atas jenayah yang telah mereka lakukan," kata Sany.

Sebelum itu Sany mewakilli Pemuda AMANAH menyerahkan memorandum kepada Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Luar, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi di Wisma Putra, Putrajaya.

Masyarakat Rohingya kini berdepan dengan keganasan yang digambarkan seperti penghapusan etnik oleh tentera Myanmar melalui pelbagai serangan dan penyeksaan.

Media melaporkan tentera Myanmar menggunakan helikopter menyerang perkampungan masyarakat Rohingya di Rakhine pada 12 November mengakibatkan lapan orang maut.

Ia adalah satu daripada keganasan dijalankan ke atas etnik Rohingya yang tidak diiktiraf oleh kerajaan Myanmar sebagai rakyat mereka.


Kezaliman itu berlaku ketika salah seorang pemimpin politik Myanmar, Aung San Suu Kyi, adalah penerima Anugerah Keamanan Nobel.

Menurut Sany, keadaan etnik itu kini jauh lebih parah berbanding 2012 kerana serangan ke atas kampung-kampung Rohingya kali ini dilancarkan bersama tentera yang lengkap bersenjata.

"Puluhan ribu askar Myanmar dikerah ke daerah Maungdaw dan merebak di seluruh Arakan menggambarkan seolah-olah Myanmar kini sedang berada dalam zon peperangan walaupun sebenarnya mereka memerangi kumpulan yang tidak berupaya dan bersenjata," kata Sany.