Friday, 4 November 2016

Sembah terbuka Syed Saddiq pada Sultan Johor

Sembah terbuka Syed Saddiq pada Sultan Johor

4 Nov 2016, petang 3:01 (Dikemaskini 4 Nov 2016, petang 3:12)

Ampun Tuanku.

Menjunjung kasih ke bawah DYMM Tuanku Sultan Johor.

Patik memohon ampun limpah perkenan Tuanku untuk bercemar duli membaca warkah ringkas, ikhlas dari hati seorang rakyat.

DYMM Tuanku,
Sebagai salah seorang Bangsa Johor, patik berbangga apabila Tuanku lantang bersuara menentang rasuah, semangat perkauman dan salah guna kuasa.

Ini jelas menunjukkan bahawa Tuanku mengambil perhatian tentang keluh kesah rakyat Malaysia. Patik juga gembira melihat Tuanku banyak menolong mangsa dan keluarga tragedi Hospital Sultanah Aminah.

Berkenaan isu "pengharaman demonstrasi jalanan" yang aman, patik dengan rendah diri ingin merafak sembah bahawa patik melihat isu berkenaan dari sudut yang berbeza.

Tuanku,
Hak untuk berdemonstrasi dengan aman adalah hak setiap warganegara Malaysia mengikut Artikel 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Hak ini diiktiraf dalam undang-undang antarabangsa seperti Artikel 20(1) Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat dan Artikel 21 Waad Antarabangsa Mengenai Hak Awam dan Politik.

Patik faham akan keperluan untuk mengawal selia hak ini seperti apa yang diketengahkan dalam Akta Perhimpunan Aman.

Jika kita mengikut keputusan mahkamah rayuan Malaysia, hak untuk demonstrasi jelas berlandaskan perlembagaan persekutuan Malaysia (kes Nik Nazmi pada 2012 dan kes Yuneswaran pada 2015).

Perbezaannya hanya datang daripada keperluan untuk memberi notis kepada OCPD 10 hari sebelum perhimpunan awam tersebut. However in both cases, the right to peacefully assembly is well guarded.

Tuanku,
Memang patik tak nafikan bahawa rakyat Malaysia boleh mengundi keluar ahli politik yang mengkhianati kehendak rakyat, tetapi demokrasi merupakan sistem yang hidup setiap hari, bukan sahaja bila tibanya pilihan raya setiap lima tahun.

Hak berdemonstrasi merupakan salah satu tiang demokrasi, sama seperti hak untuk mengundi. Kita tak boleh pisahkan tiang-tiang demokrasi yang mencorakkan tanah air tercinta.

Tuanku,
Sejarah Malaya/Malaysia banyak diwarnakan dengan demonstrasi jalanan yang awam. From the rallies against Malayan union to the strikes declared by aggrieved employees.

Selagi keganasan tidak dibudayakan, perhimpunan aman ini sentiasa berjalan dengan lancar.

Malaysia pada hari ini diserang bertubi-tubi dengan skandal rasuah berskala besar dan salah guna kuasa yang menindas suara rakyat. Demonstrasi jalanan merupakan jalan demokrasi untuk kami mengekspresikan pandangan kami, terutamanya apabila tarikh pilihan raya belum ditentukan.

Apabila rakyat diasak oleh pemerintah negara, tolonglah jangan mengharamkan salah satu senjata demokrasi kami.

Rakyat dan raja berpisah tiada. Tolong pertahankan hak kami Tuanku.

Patik yang berdatang sembah,

Syed Saddiq

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan bekas juara debat Asia. Tulisan ini pertama kali disiar di Facebook Syed Saddiq.

Thursday, 3 November 2016

Masalah pembnagkang sekarang ialah Tidur sebantal, mimpi lain-lain

Tidur sebantal, mimpi lain-lain
FMT / Oleh Yunus Tasim


Pilihan raya umum ke-14 (PRU14) tidak lama lagi. Kalau tidak bulan April, besar kemungkinan Disember 2017. Tempoh kerajaan Datuk Seri Najib Razak akan berakhir Mei 2018. Tidak mustahil Najib mempercepatkan tarikh PRU14 berdasarkan beberapa faktor dalaman dan luaran.

Salah satu faktor luaran yang mesti dieksploitasi sepenuhnya sekarang ialah perpecahan parti pembangkang di Malaysia. Ini semua orang tahu. Najib tahu, presiden PAS tahu, menteri besar Selangor tahu, ketua menteri Pulau Pinang tahu, Tun Dr Mahathir Mohamad pun tahu.

Sedang parti pembangkang tercungap-cungap mencari jalan penyelesaian, tentunya Najib menggunakan sepenuhnya untuk mengekal pemerintahan Umno dan Barisan Nasional.

Dan kemungkinan besar Najib menggunakan lawatannya ke China dan penganugerahan projek berbilion ringgit kepada China sebagai salah satu jalan keluar membayar hutang 1MDB dan anak syarikatnya.

Sebab itu Najib tak ambil pusing dengan kritikan terhadap dirinya dan 1MDB. Najib tahu dia mempunyai masa untuk memastikan dia menjadi hero untuk menyelesaikan hutang dan kemelut 1MDB dan membersihkan namanya yang busuk bukan sahaja di Malaysia malah di dunia.

Itu apa yang disampaikan bekas timbalannya yang semestinya tahu sedikit sebanyak apa yang berlaku di belakang tabir.

Itu realiti Najib, Umno dan BN! Yang paling pelik bin ajaib, parti pembangkang seolah-olah ketandusan idea mencari jalan penyelesaian membetulkan keadaan dan menyelamatkan negara daripada “angkara” Najib.

Sedang mereka bertempik sorak tentang 1MDB, GST dan sebagainya, satu perkara utama seolah-olah dilupakan. Kalaupun dibuat, tetapi tidak kelihatan perkembangan positifnya.

Selagi pembangkang tidak bersatu, Umno dan BN tidak akan tumbang. Selagi tidak ada satu lawan satu, selagi itu Najib dan BN boleh tersenyum lebar. Ini terbukti di Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Dan jika ini berulang, maka Najib dan Umno akan terus bermaharaja lela.

Pembangkang bukan hanya perlu bersatu. Tetapi semua pembangkang mesti menggunakan satu simbol dalam PRU14. Apakah ini akan berlaku? Apakah pendaftar pertubuhan akan meluluskan? Walaupun lagi 4 hingga 12 bulan, tetapi sebenarnya pembangkang tidak punya masa yang panjang. Mereka harus bertindak cepat.

Parti pembangkang beberapa kali “bergabung” tetapi tidak bertahan lama. Tidak seperti parti dalam BN. Mungkin kerana tidak berkuasa dan tidak ada habuan? Pembangkang banyak kali cuba tidur sebantal, malangnya mimpi mereka berbeza-beza dan akhirnya bukan sahaja tidak sebantal, malah tidak sekatil. Pisah ranjang!

Bermula dengan Angkatan Perpaduan Ummah, Gagasan Rakyat, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan kini Pakatan Harapan. Pakatan mereka tidak bertahan lama. Ada saja karenahnya.

Dan yang sering menjadi punca perpecahan adalah PAS dan DAP. Apa pun, DAP dan PAS harus sedar dengan bersatunya parti pembangkang, walaupun sebentar, mereka dapat memecahkan monopoli Umno/BN, menafikan 2/3 kerusi parlimen dan menawan negeri penting.

Apakah formula untuk bersatu? Apakah perlu mereka memohon untuk tubuhkan parti gabungan induk dan menggunakan satu simbol?

Ini harus dilakukan dengan cepat. Yang tak mahu sertai, tinggalkan sampai parti itu jadi tidak relevan atau kambing yang bersendirian yang mudah dimakan serigala.

Untuk bersatu, parti berideologi tidak boleh terlalu jumud dengan interpretasi ideologi dan pegangannya. Sebab itu pemikir terkenal dan pemimpin Ennahda Tunisia, Rached Ganouchi menyatakan partinya memutuskan untuk memisahkan aktiviti keagamaan dengan politik. Tentunya kenyataan Ganouchi ini tidak ngam dengan parti berasaskan Islam di Malaysia.

Mereka akan hanya dapat bersatu jika mereka bersatu dari segi tujuan. Tujuannya terpampang luas, amat terang, tidak lagi perlu bersuluh. Apa lagi kalau tidak kemungkaran Umno dan BN, salah guna kuasa, urus tadbir pincang, GST dan harga barang yang membebankan rakyat. Dan bermacam lagi kalau mahu diperincikan.

Apakah ini tidak cukup untuk parti pembangkang mengenepikan perbezaan, melihat semula interpretasi ideologi masing-masing, mengenepikan ego ketua dan struktur parti?

Tidak banyak lagi negara yang memiliki parti dominan yang menang pilihan raya. Akhirnya parti yang menang terpaksa membentuk pakatan untuk memerintah. Ini yang dikatakan “rainbow coalition” atau koalisi pelangi. Dan tentunya koalisi ini tidak berideologi selain daripada ingin membangunkan negara mereka dengan yang lebih baik.

Dengan tertubuhnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Dr Mahathir boleh merintis persepakatan koalisi pelangi ini dan membina struktur permuafakatan yang lebih teratur dan berdisiplin agar tiada lagi presiden yang pandai-pandai veto mengingkari keputusan majlis presiden.

Yang penting, buangkan ego masing-masing, kurangkan tamak kerusi walaupun tahu tak boleh menang dan fokuskan kepada satu tujuan untuk menumbangkan pemimpin Umno dan BN.

Ini berlaku ke atas Golkar di Indonesia, LDP di Jepun dan banyak lagi parti yang pernah memerintah di dunia. Dan tidak salah setelah ego dan keangkuhan mereka runtuh, rakyat memilih mereka memerintah kembali dengan lebih baik, mendahulukan kebajikan rakyat dan mementingkan negara. Itupun jika mereka sedar!

Kepada pembangkang, selamat maju jaya dan selamatkan Malaysia tercinta.

* Yunus Tasim seorang pembaca FMT.

Bekas TPM dan 2 bekas menteri kabinet punyai kuasa "kekebalan parlimen", Kerajaan BN jangan cuba menyalahgunakan kuasa

Muhyiddin Yassin – Husni Hanadzlah – Shafie Apdal


Reaksi rasmi terhadap ucapan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Shafie Apdal dan bekas Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah di Parlimen bertanyakan soalan tentang skandal mega 1MDB bukanlah sebab untuk kita mempercayai bahawa kerajaan UMNO/BN bersedia untuk membiarkan Parlimen menyiasat skandal 1MDB.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa teleh menolak mentah-mentah ucapan Husni dan berkata bahawa bekas Menteri Kewangan II itu langsung tidak mengatakan apa-apa perkara baharu dalam siri soalannya berkaitan skandal 1MDB.

Saya amat terkejut dengan komen Annuar kerana saya telah mengikuti kisah menyayat hati skandal 1MDB sejak sepanjang tujuh tahun lalu, dan setakat yang saya tahu, inilah kali pertama Husni telah meluahkan kebimbangannya tentang skandal kewangan mega global 1MDB di khalayak umum.

Amaran Husni bahawa Malaysia mungkin akan terus dihantui skandal 1MDB dan soalannya berkaitan masalah 1MDB yang berpunca daripada kehilangan US$ 4 bilion dalam Aabar (BVI), saman arbitrasi US$6.5 bilion dengan syarikat International Petroleum Investment Co (IPIC) yang berpangkalan di Abu Dhabi serta pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) kepada SRC bukanlah rahsia, walaupun baru pertama kali dibangkitkan oleh Husni dalam forum awam sebegini.

Adakah Annuar mencadangkan bahawa Husni telah memberi amaran sedemikian dan telah membangkitkan persoalan mengenai skandal 1MDB ketika berada dalam kerajaan atau UMNO sebelum meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan II?

Apa yang lebih mengejutkan ialah pendedahan Husni dalam ucapannya di Parlimen bahawa walaupun beliau merupakan menteri yang paling setia dan profesional, dengan KPI yang paling baik dalam kalangan menteri, beliau telah difitnah dan diserang oleh cybertrooper UMNO di media sosial, selepas beliau meninggalkan Kabinet.

Nasib yang sama turut menimpa bekas Timbalan Perdana Menteri serta bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Pandikar Amin Mulia – Speaker

Saya juga amat terperanjat apabila Speaker, Tan Seri Pandikar Amin Mulia menyebut pada Khamis lalu bahawa bekas menteri Muhyiddin, Shafie dan Husni mungkin telah memungkiri sumpah simpan rahsia Kabinet ketika membahaskan Belanjawan 2017 di Parlimen.

Saya tidak tahu bagaimana untuk menanggapi komen Pandikar ini kerana ia merendahkan persepsi umum dan imej integriti serta kebebasan Speaker daripada cabang Eksekutif apabila beliau mencadangkan bahawa tiga bekas menteri kabinet ini telah memungkiri ikrar simpan rahsia mereka dalam ucapan di Parlimen, dan lagi, beliau nampaknya turut mencadangkan kepada pihak Eksekutif dan juga terutamanya kepada Peguam Negara dan Ketua Polis Negara untuk mengambil tindakan terhadap tiga bekas menteri kabinet ini di bawah Akta Rahsia Rasmi atau apa-apa undang-undang laim untuk apa yang diandaikan sebagai kesalahan yang telah dilakukkan oleh bekas-bekas menteri ini dalam ucapan mereka di Parlimen.

Pandikar sebagai Speaker seharusnya sedar tentang kepentingan doktrin pengasingan kuasa antara Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman, serta tanggungjawab khasnya sebagai Speaker Parlimen untuk membela kebebasan dan integriti Parlimen daripada diserap atau dilanggar oleh pihak Eksekutif.

Mana ada di dunia ini boleh kita temukan Speaker Parlimen yang mencadangkan kepada Eksekutif untuk mendakwa Ahli-ahli Parlimen yang merupakan bekas menteri kabinet lantaran ucapan mereka di Parlimen kerana melanggar sumpah rahsia Kabinet?

Muhyiddin, Shafie dan Husni semuanya dilindungi keistimewaan Parlimen untuk apa yang mereka sebutkan di Parlimen, kecuali dalam kes-kes spesifik membabitkan pelanggaran Akta Hasutan yang melibatkan empat isu sensitif seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan – yang langsung tidak dilakukan oleh ketiga-tiga orang itu.

Malah sebenarnya Speaker sepatutnya membela tiga bekas menteri ini atas apa yang mereka ucapkan di Parlimen sekiranya pihak Eksekutif mahu memulakan prosiding jenayah ke atas mereka, seperti yang pastinya akan secara tradisinya dilakukan oleh mana-mana Speaker di lain-lain Parlimen.

Kenapa Pandikar melanggar tradisi Parlimen dengan terus mencadangkan supaya Peguam Negara dan Ketua Polis Negara bertindak ke atas tiga bekas menteri kabinet ini? Malah sekiranya salah seorang mereka melanggar hak istimewa Parlimen, adalah menjadi tugas Speaker atau Timbalan Speaker untuk menghalang Ahli Parlimen tersebut daripada berbuat demikian. Jika tidak, kerusi Speaker lah yang akan bersalah kerana pengabaian tanggungjawab sekiranya tidak menghentikan seorang Ahli Parlimen daripada menyalahgunakan keistimewaan Parlimen.

Tidak sekali pun dalam tiga keadaan ini, Pengerusi memberhentikan mana-mana seorang bekas menteri daripada bercakap ekoran risiko melanggar keistimewaan Parlimen. Dan adalah memeranjatkan apabila Speaker pula yang beriya-iya mendakwa tiga bekas menteri ini mungkin telah melanggar undang-undang dalam ucapan mereka di Parlimen.

Ini adalah sesuatu yang sangat tidak patut dan suatu perilaku yang langsung tidak sesuai untuk Speaker Malaysia!

Telah dilaporkan bahawa Husni telah dipanggil oleh pihak polis lewat hari ini ekoran ucapan Parlimennya berkenaan skandal 1MDB, yang menjadi tajuk komen Speaker bahawa Husni telah melanggar undang-undang, yang kemudiannya membuatkan para juak-juak UMNO untuk membuat laporan polis terhadap Husni.

Husni wajar menarik perhatian pihak polis yang ditugaskan menyiasatnya kepada Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952, dan memberi amaran kepada pegawai polis itu bahawa ia mungkin bersalah menghina Parlimen dan boleh dihukum mengikut Klausa 9(e) Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 yang melindungi Ahli-ahli Parlimen daripada halangan melibatkan tindakannya di dalam Dewan Rakyat, termasuk ucapannya ketika perbahasan Belanjawan, kecuali jika ia telah kehilangan keistimewaan itu di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan berkaitan Akta Hasutan kerana mempersoalkan satu daripada empat isu sensitif, yang tidak terpakai dalam keadaan ini.

Polis Diraja Malaysia

Pihak polis pernah melancarkan siasatan ke atas saya ekoran apa yang saya ucapkan di Parlimen, yang tidak ada kaitan dengan mana-mana empat perkara sensitif yang menghilang keistimewaan Ahli Parlimen. Tetapi apabila saya maklumkan kepada pegawai polis yang datang berjumla dengan saya bahawa beliau sedang menghina Parlimen dengan menghalang seoran Ahli Parlimen daripada menjalankan tanggungjawbanya dan menarik perhatian beliau kepada Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 dan memintanya supaya kembali meminta nasihat pegawai atasan dan Jabatan Peguam Negara, pegawai tersebut berundur dan tidak kembali lagi.

Sekiranya pihak polis menyiasat Husni untuk ucapannya di Parlimen disebabkan laporan polis ke atas tuduhan melanggar Akta Rahsia Rasmi, Parlimen harus bersidang menentang tindakan penghinaan oleh pihak polis demi memelihara hak dan keistimewaan Ahli Parlimen.

Dalam pertembungan antara Parlimen dan Polis dalam hal keistimewaan dan penghinaan terhadap Parlimen, Speaker mesti melepaskan haknya untuk duduk di kerusi Pengrusi dalam mana-mana prosiding Parlimen yang berlanjutan dariinya, kerana Speaker mungkin menjadi berat sebelah ekoran kenyataannya dalam sidang media Khamis lalu.

Adakah kita mempunyai Ahli-ahli Parlimen BN yang cukup patriotik untuk maju ke depan dan berganding tangan bersama Ahli-ahli Parlimen Pembangkang yang patriotik untuk menyelamatkan Malaysia daripada penghinaan sebagai sebuah kleptokrasi global?

LIM KIT SIANG

Wednesday, 2 November 2016

Lawatan PM ke China: 14 perjanjian bernilai RM144b dimaterai


Lawatan rasmi ketiga Datuk Seri Najib Tun Razak ke China bukan hanya bersejarah berdasarkan perspektif perniagaan disebabkan ia menyatukan hubungan dua hala tetapi turut mencapai keputusan bersejarah dalam bidang pertahanan.

Perdana menteri berkata dari segi kejayaan perjanjian perdagangan, Malaysia dan syarikat dari China melakar pencapaian bersejarah menerusi pemeteraian 14 perjanjian bernilai RM144 bilion.

Kerajaan Malaysia turut mencapai keputusan bersejarah untuk membeli empat buah Kapal Misi Litoral (LMS) daripada China, dua daripadanya akan dibina di China dan dua buah lagi di Malaysia, kata Najib pada sidang media bersama media Malaysia di sini pada Selasa.

- Bernama

Najib berhutang RM55BIL dengan bank negara China tanpa kelulusan parlimen


Najib berhutang RM55BIL dengan bank negara China tanpa kelulusan parlimen
Stesen janakuasa sudah diberi kepada syarikat Kerajaan China. Tanah yang dulunya pengkalan TUDM Sungai Besi juga telah diserahkan kepada syarikat Kerajaan China. Sekarang Najib Razak mahu berhutang RM55 bilion dari bank milik Kerajaan China dan kemudian diberikan kontrak pembinaan kepada syarikat Kerajaan China juga.

Mohon sebarkan kenyataan media ahli-ahli parlimen PH tadi.

2 NOVEMBER 2016

PERDANA MENTERI PERLU BENTANGKAN “PRE-FEASIBILITY STUDY” (PFS), “FEASIBILITY STUDY” (FS) DAN “FINAL INVESTMENT DECISION” (FID) PROJEK KERETAPI PANTAI TIMUR

Kami, ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan ingin melahirkan kebimbangan di atas perkembangan terkini berkaitan projek keretapi landasan Pantai Timur atau East Coast Double-Tracking Railway (ECDR) yang dilaporkan akan menelan belanja RM55 bilion.

Laporan menyebut bahawa Kerajaan Malaysia akan menandatangani perjanjian pembinaan dengan Kerajaan China melalui syarikat-syarikat milik Kerajaan China untuk membina ECDR dengan dibiayai oleh pinjaman dari Kerajaan China.

Umum mengetahui bahawa model pembiayaan dan pembinaan projek infrastruktur yang digunapakai oleh Kerajaan China (melalui anak syarikat miliknya) ialah:

1. Melibatkan pengunaan tenaga kerja dan kontraktor sepenuhnya dari China
2. Melibatkan penggunaan material sebanyak mungkin dari China
3. Melibatkan teknologi dan khidmat sokongan di masa hadapan yang sepenuhnya dari China

Selain dari kesan ekonomi berganda yang tidak dapat dirasai oleh syarikat-syarikat dan pekerja-pekerja Malaysia, lebih membimbangkan ialah pergantungan dalam jangka masa yang lama kepada Kerajaan China sekiranya perjanjian itu mengikut model yang telah digunakan oleh Kerajaan China di negara-negara lain.

Paling membimbangkan ialah kos sebanyak RM55 bilion yang disebut itu adalah terlalu tinggi, apatah lagi berikutan dakwaan bahawa kos projek ini dinaikkan untuk menutup hutang 1MDB (seperti yang didakwa Sarawak Report).

Amalan biasa bagi projek-projek bernilai tinggi seperti ini melibatkan beberapa proses kelulusan iaitu kajian pra-kebolehupayaan atau “pre-feasibility study” (PFS), kajian kebolehupayaan atau “feasibility study” (FS) dan kajian keputusan pelaburan akhir atau “final investment decision” (FID).

Kajian-kajian ini melibatkan anggaran jumlah penumpang, anggaran tiket, anggaran kos dan pertimbangan lain yang boleh menunjukkan sama ada projek ini boleh dibiayai tanpa membebankan rakyat. Soalan-soalan seperti berapa harga tiket yang dicadangkan, berapa kenaikan tiket dalam tempoh 20 tahun akan datang adalah soalan-soalan yang perlu diputuskan terlebih dahulu sebelum kerajaan menandatangani kontrak dengan Kerajaan China.

Oleh yang demikian, kami mendesak supaya Dato’ Seri Najib Tun Razak membentangkan di Parlimen 3 kajian ini iaitu PFS, FS dan FID sebelum sebarang komitmen diberikan kepada Kerajaan China kerana jumlah RM55 bilion adalah jumlah yang besar dan perlu diluluskan Parlimen.

Pun begitu, kami khuatir Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak akan menghormati Parlimen dan tidak mengendahkan desakan ini. Oleh itu, kami akan menubuhkan satu pasukan yang terdiri dari pakar-pakar dari kalangan orang ramai untuk menjalankan sendiri satu PFS untuk dibentangkan kepada rakyat dalam tempoh 30 hari dari sekarang.

RAFIZI RAMLI, AHLI PARLIMEN PANDAN
DR HATTA RAMLI, AHLI PARLIMEN KUALA KRAI
WONG CHEN, AHLI PARLIMEN KELANA JAYA
DR ONG KIAN MING, AHLI PARLIMAN SERDANG

Tuesday, 1 November 2016

Kenapa NAJIB suka berurusan dengan syarikat dari CHINA?

Ahmad Jailani Abd Ghani

KENAPA CCCC?

Saya tidak faham kenapa Kerajaan Malaysia berminat dgn China Communications Construction Company untuk projek ECRL sejauh 620km (Port Klang - Tumpat) dgn kos anggaran RM55 Billion.

World Bank telah senarai hitamkan (debarment) CCCC selama 8 tahun (12 Januari 2009 hingga 12 Januari 2017) atas dakwaan fraudulent practices. Ini kerana CCCC adalah designated successor entity kepada China Road and Bridge Corporation (CRBC)

CCCC juga disenaraihitamkan oleh African Development Bank, Asian Development Bank, Inter-American Development Bank, European Bank for Reconstruction and Development, dan dimasukkan dalam 2 senarai hitam di Amerika Syarikat berkaitan projek landasan keretapi Iran-Armenia.

Agensi berita Bloomberg melaporkan China, sejak 2007 hingga 2012, telah mengalami sekurang2nya 18 jambatan runtuh yang mengakibatkan 135 kematian. Salah satu jambatan terpanjang di Utara China runtuh selepas hanya 9 bulan ia siap dibina.

Suatu rahsia umum yang pahit untuk diterima adalah kelebihan syarikat-syarikat China berbanding syarikat-syarikat Barat, mereka lebih mahir dalam merasuah pegawai-pegawai kerajaan.

KPDNKK mula beretorik.

KPDNKK akan ambil tindakan ke atas peniaga naikkan harga makanan
Rahimah Abdullah, Astro Awani | Diterbitkan pada November 01, 2016 15:33 MYT


KPDNKK akan ambil tindakan ke atas peniaga naikkan harga makanan
HAMZAH: Pihak kementerian berjaya mengesan 14 kes melibatkan kesalahan menyorok minyak masak.
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan sentiasa memantau harga barangan dan makanan yang dikhuatiri berlaku kesan daripada langkah rasionalisasi harga minyak masak.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin menjelaskan, langkah itu bagi melindungi kepentingan pengguna daripada menjadi mangsa penipuan peniaga yang mengenakan harga makanan tidak munasabah.

Jelasnya, peniaga yang menaikkan harga makanan akan diambil tindakan melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan.

"Sebelum ini dalam dua minggu, pegawai penguatkuasa turun ke restoran-restoran dan ambil harga-harga menu yang dah ada ni kita dah ambil dan kita nak perhatikan dan nak tengok.

"Bila harga minyak masak naik ini, saya nak beri contoh, lima orang makan kedai berapakah minyak masak digunakan? Baru berapa kilogram. Hanya 20 sen saja untuk satu makanan, kalau lebih itu pencatutatan," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Sehingga semalam, kementerian itu berjaya mengesan 14 kes melibatkan kesalahan menyorok minyak masak.

"Kita juga telah memastikan bahawa semua mereka ini tidak menggunakan kesempatan dan menjual di luar negara. Sebab itu, apa yang kita lakukan ialah nak pastikan kurangnya ketirisan dan memberikan keselesaan kepada rakyat yang memerlukan minyak masak dalam 1kg polibag yang telah saya umum," tambahnya.

Dalam pada itu, Hamzah menegaskan bekalan minyak masak di pasaran adalah mencukupi.
"Terpulang kalau mereka mampu nak beli 5kg. Kalau nak juga dalam polibag mencukupi. Sepatutnya 1.5 kg seorang kali 30 juta sepatutnya 45 ribu minyak masak dikeluar dalam negara. Namun kita beri kuota lebih dari angka itu. Sudah pasti ia mencukupi," jelas beliau lagi.

Harga minyak masak paket 1 kilogram kekal RM2.50 tetapi minyak masak dalam botol akan dijual mengikut harga pasaran berkuat kuasa 1 November 2016.

KALAU TIDAK BERSALAH, KENAPA NAJIB SENDIRI PADAM GAMBAR ANAK TIRINYA?

KALAU TIDAK BERSALAH, KENAPA NAJIB SENDIRI PADAM GAMBAR ANAK TIRINYA?


Menurut kata Rizal Mansor, pembantu kepada Rosmah Mansor, penyertaan ahli keluarga Najib Razak dalam lawatan rasmi Perdana Menteri ke China adalah bersesuaian dengan amalan kebiasaan budaya masyarakat Cina dan keinginan negara itu menjalinkan keakraban melalui hubungan peribadi dan kekeluargaan.


Kata beliau, jarang untuk Najib membawa ahli keluarganya menyertai lawatan rasmi ke sesebuah negara, tetapi kali ini mahukan anak-anaknya ada bersama kerana lawatan panjang selama seminggu ke China.


Apatah lagi, katanya,  penyertaan dalam lawatan rasmi itu setelah mendapat jemputan khas untuk membawa keluarganya.


Rizal juga menambah, budaya menjalin hubungan melalui kekeluargaan itu dikuatkan lagi dengan peribahasa lama Cina yang menyebut apabila minum air, fikirkanlah punca air tersebut.


Sejak malam semalam, heboh di media sosial mengenai penyertaan Riza Aziz, anak tiri Najib yang sedang disaman oleh Jabatan Kehakiman AS, yang didapati turut serta dalam lawatan rasminya kali ini.


Gambarnya turun dari tangga kapal terbang sedang berjalan di belakang Rosmah mengundang rasa jengkel banyak pihak seolah-olah beliau individu penting dalam kerajaan Malaysia sehingga wang pembayar cukai digunakan untuk membiayainya.


Dilaporkan bahawa seorang lagi anak Najib, Norashman juga turut serta dalam lawatan rasminya ke China itu.


Di laman Facebook dan Twitter Najib pada awalnya ada disertakan tulisan mengenai ketibaannya ke China beserta gambar yang turut memaparkan wajah anak tirinya itu.


Namun demikian, setelah banyak kritikan serta cemuhan kedengaran, termasuk Rafizi Ramli yang membangkitkannya dalam ucapan di Parlimen hari ini, gambar Riza di laman Facebook Najib didapati sudah dicrop atau dipotong, manakala tulisan di Twitter pula dipadam terus.


Tindakan memotong gambar Riza di Facebook Najib itu menjadi berita dalam portal Malaysian Mirror, manakala pemadaman tulisan di Twitter pula dikesan oleh Ketua Angkatan Muda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam tulisannya di laman tersebut.


Jika benar penyertaan anak-anaknya adalah atas jemputan kerajaan China dan kerana menghormati budaya mereka, mengapa Najib memotong gambar anak tirinya dan memadam tulisan di media sosial miliknya?


Tidakkah dengan berbuat demikian, ia menunjukkan Najib sendiri rasa bersalah kerana membawa anak-anaknya itu, terutamanya Riza Aziz dan kemudian memadamnya kerana tidak mahu gambar mereka dilihat oleh sesiapa?


Dalam hal ini, Rizal yang memberikan penjelasan yang direka-reka atau Najib yang akhirnya didapati tidak menghormati budaya masyarakat Cina kerana bertindak mengenepikan ahli keluarganya sendiri yang dijemput secara rasmi oleh negara China?  (SH 01/11/2016).

Monday, 31 October 2016

Harga Minyak Petrol Dalam Negara Tetap Naik Walaupun Harga Minyak Dunia Menurun


HARGA minyak bagi bulan November 2016 naik walaupun harga minyak dunia dilaporkan terus menyusut di bawah USD50 setong. Setiap jenis minyak, RON95, RON97 dan Diesel naik sebanyak 15 sen bagi setiap liter.

Harga minyak RON95 dinaikkan kepada RM1.95 seliter manakala minyak RON97 dan Diesel masing-masing dinaikkan kepada RM2.30 dan RM1.90 bagi setiap liter berkuat kuasa mulai pukul 12:01 malam ini.

Ini merupakan harga minyak tertinggi untuk tahun 2016.

Kerajaan dilapor menggunakan kaedah apungan berdasarkan harga minyak dunia dan kekuatan matawang negara bagi bulan sebelumnya untuk menetapkan harga minyak.

Warga maya ramai yang mula berkongsi gambar-gambar kesesakan yang berlaku di stesen-stesen minyak seluruh negara dipercayai akibat orang ramai mahu memenuhkan tangki minyak kenderaan mereka sebelum terpaksa membayar harga yang lebih mahal mulai tengah malam ini.

Orang ramai juga turut mempersoalkan mengapa harga minyak dinaikkan bagi bulan November 2016 sedangkan harga minyak dunia dilaporkan terus mengalami penyusutan di bawah harga USD50 setong.

Read more: http://www.milosuam.net/2016/10/harga-minyak-november-2016-naik-walau.html#ixzz4OhnxLeix

BRIM belum sempat merasa, poket sudah bocor


KENAIKAN harga minyak yang diumumkan untuk bulan November telah menzahirkan negara sedang mengalami krisis kewangan yang meruncing.

Kenaikan bulan ini adalah tertinggi dalam tempoh tahun ini iaitu RON 95 berharga RM1.95 seliter, RON97 (RM2.30), dan diesel (RM1.90).

Harga baru yang diumumkan oleh kerajaan ini sudah pasti disambut negatif oleh masyarakat yang kini dalam keadaan sangat tertekan dengan kos kehidupan yang semakin meningkat.

Kenaikan harga bahan bakar ini akan menyebabkan kenaikan harga-harga barangan berdasarkan keadaan dan pengalaman sebelum ini, ini akan menambahkan lagi bebanan rakyat khusunya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Biarpun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru sahaja membentangkan belanjawan 2016, tidak sampai sebulan kerajaan telah membuktikan belanjawan yang dibentangkan itu tidak realistik kerana negara mengalami krisis kewangan.

Kerajaan sendiri menunjukkan kepada masyarakat bahawa belanjawan negara untuk tahun 2016 tempang dan sukar untuk dilaksanakan.

Rakyat baru sahaja dimomokkan dengan belanjawan yang 'enak' di mata masyarakat, ini termasuklah pengumuman kenaikan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dan sebagainya.

Belum sempat rakyat 'menikmati' bantuan tersebut, poket rakyat telah 'dicuri' melalui kenaikan harga minyak.

Rakyat perlu melihat kenaikan harga minyak ini sebagai bukti kerajaan yang ada pada hari ini tidak lagi memikirkan kepentingan rakyat, sebaliknya membuat kerja mudah untuk mendapatkan dana dengan menaikkan harga minyak!


MUHAMMAD FAEEZ BIN AZAHAR

Pengarah Komunikasi, Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah)‎ Perak.

Sunday, 30 October 2016

IMDB TERNYATA LEBIH KEBAL BERBANDING IMUNITI AHLI2 PARLIMEN



Petang ini bekas Menteri Kewangan Kedua, Husni Hanadzlah diarahkan ke Bukit Aman untuk disiasat berhubung ucapan perbahasannya di Parlimen yang didakwa melanggar sumpah rahsia ketika menjadi anggota kabinet dahulu.


Selepas beliau, sudah tentu giliran Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal pula diambil keterangan atas kesalahan yang sama. Ketiga-tiga mereka akan disiasat di bawah Akta Rahsia Rasmi atau OSA kerana mendedahkan perkara-perkara berkaitan 1MDB yang didakwa pernah dibincangkan dalam mesyuarat kabinet.


Muhyiddin dan Shafie, sebelumnya turut dipecat daripada kabinet dan UMNO kerana lantang mengkritik dan mempertikaikan  perjalanan serta hutang syarikat pelaburan kerajaan yang ditubuhkan oleh Najib Razak itu.


Khairuddin Abu Hassan dan Matthias Chang pula dipenjarakan dibawah Sosma selepas membuat laporan ke beberapa negara, juga mengenai 1MDB setelah laporan-laporan yang mereka buat di negara sendiri tidak menghasilkan apa-apa tindakan.


Sebelum itu, beberapa perkara turut berlaku seperti pemecatan Gani Patail sebagai Peguam Negara, pertukaran dan kacau-ganggu terhadap pegawai-pegawai SPRM dan Bank Negara serta beberapa insiden lain yang tidak pernah berlaku sebelum ini.


Semuanya hanya kerana 1MDB dan mahu menyucikan syarikat pelaburan tersebut.


Dilihat daripada apa yang berlaku kepada tiga bekas menteri yang disiasat di bawah OSA,  tidak dinafikan bahawa 1MDB akan terus  merupakan sebuah "entiti yang hebat dan tidak boleh ditegur".


Sesiapa saja yang menegur dan mengkritiknya, bersedialah menghadapi bahayanya, manakala yang sanggup mempertahan dan membelanya, melimpahlah pula ganjaran dan anugerah yang akan diterima.


1MDB bukan saja terlihat tidak lut daripada segala undang-undang yang ada, malah ia lebih kebal berbanding imuniti Ahli-Ahli Parlimen ketika berucap di Dewan Rakyat.


Sebelum ini, kita biasa mendengar apabila Ahli Parlimen menyentuh sesuatu yang sensitif ketika berucap di Parlimen, mereka selalunya akan dicabar supaya mengulanginya di luar Dewan Rakyat agar tindakan undang-undang dapat diambil.


Tetapi kali ini, tanpa sesiapa mencabar ketiga-tiga bekas menteri itu mengulanginya di luar Parlimen, sebaliknya hanya berdasarkan apa yang dibangkitkan oleh Speaker Dewan Rakyat dan kemudian disusuli dengan laporan polis oleh dua NGO pendedak, mereka terus disiasat dan diambil keterangan.


Ia secara langsung dan tidak langsung menunjukkan 1MDB lebih gagah dan perkasa berbanding imuniti Ahli-Ahli Parlimen.


Dalam hal ini, seorang peguam berpengalaman dan bekas menteri, Zaid Ibrahim menyatakan, menyentuh sesuatu perkara  secara umum tidaklah boleh ditafsirkan sebagai mendedahkan rahsia kerajaan atau melanggar sumpah kerahsiaan, kecuali mendedahkan butiran minit mesyuarat kabinet secara khusus.


Jika seseorang bekas menteri yang bercakap secara umum mahu ditafsirkan sebagai melanggar sumpah rahsia, di zaman Tun Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri iaitu selepas pemilihan 1987 di mana ramai antaranya memilih untuk berbalah dan menyerangnya, termasuk menyentuh berkaitan berbagai syarikat kerajaan, mereka ketika itu tentunya lebih dianggap melanggar sumpah kerahsiaan.


Namun, pernah kita mendengar sesuatu tindakan diambil oleh Tun Mahathir kepada bekas-bekas menteri yang menentangnya?


Di sebalik ramai yang telah dan sedang diambil tindakan kerana menyentuh perkara berkaitan 1MDB, Jho Low yang sekarang entah di dunia mana sedang berhiburnya, tetap merupakan orang yang paling bertuah sekali di era Najib ini.


Beliau pasti akan tersenyum dan ketawa  menyaksikan satu demi satu insiden yang berlaku ini, meskipun segala-galanya berpunca daripada caturan yang dilakukannya. (SH 31/10/2016).