Friday, 7 October 2016

BN akan tumpas di KEDAH masa PRU 14 nanti


Muhyiddin Yassin

SHAH ALAM - Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Barisan Nasional (BN) akan tumbang di Kedah pada pilihan raya akan datang.

Muhyiddin berkata, ini bersangkutan dengan sentimen rakyat di negeri jelapang padi itu selepas bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir digugurkan daripada jawatannya.

"Selepas Mukhriz disingkirkan...mungkin sudah cukup matang untuk BN tumbang, sebab saya tengok sentimen rakyat Kedah selepas peristiwa itu berlaku ia amat tidak baik bagi BN,penerimaan mereka kepada MB baharu (maaf cakap) tidak sehebat Mukhriz," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian dalam wawancara eksklusif bersama beliau di Kumpulan Media Karangkraf.

Muhyiddin mendakwa sebelum tindakan penyingkiran Muhriz dilakukan beliau telah menghantar satu pesanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Sebelum Najib pecat Mukhriz saya hantar mesej kepada beliau saya beritahu 'amaran baik' jangan buat begitu...itu permulaan kepada kejatuhan BN, tapi yang pasti mereka tidak endahkan, jadi perkiraan saya BN di Kedah sudah cukup ranum dan cukup matang untuk terjatuh," katanya.

Mukhriz dipecat daripada Umno pada Jun lalu, dan disingkirkan daripada jawatannya sebagai Menteri Besar Kedah dan diganti dengan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

UMNO MENGUTAMAKAN KEPENTINGAN PEMIMPIN


MACHANG -  *_Umno_* makin tersasar, hilang fokus dan dilihat bukan lagi membela nasib orang melayu sebaliknya mengutamakan kepentingan pemimpin.

Bekas Ahli Parlimen Machang, *_Datuk Sazmi Miah_* berkata,  beliau memilih bersama  parti baharu, *_Bersatu_* bagi meneruskan perjuangannya membela nasib rakyat tanpa memikir apakah jawatan yang beliau akan pegang selepas itu.

Katanya, beliau *_tidak pernah mengejar apa-apa jawatan_* sebagaimana yang diura-urakan dan diperkatakan di laman-laman sosial selepas beliau menzahirkan ketidakpercayaan kepada pimpinan *_Perdana Menteri_*, sebelum ini.

"Bukan matlamat saya untuk pegang apa-apa jawatan, saya sokong *_Umno_* sebab parti itu mempunyai dasar yang jelas bagi mempertahankan agama, bangsa dan negara namun hari ini, dasar itu tidak lagi dipegang *_pemimpin Umno_* yang mana *_lebih mengutamakan kepentingan sendiri dengan membelakangkan kepentingan rakyat_*.

"Saya sudah *_hilang kepercayaan kepada Umno_* dan saya *_yakin Bersatu_* mampu memberi nafas baharu dalam membela nasib rakyat. Tak perlulah memutarbelitkan penghijrahan saya ini dengan mengatakan saya mahukan jawatan dan ingin bertanding di sini semula sebagai ahli parlimen, ” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusannya menyertai Bersatu selepas sekian lama bersama Umno termasuk pernah memegang jawatan sebagai *_Setiausaha Parlimen Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar_*.

Sazmi yang juga *_Ketua Cawangan Umno Lepan Simpol_*, dekat sini *_menyerahkan borang keahlian_* tersebut kepada *_Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad_* di Putrajaya.

*_-Sinar Harian_*

Wednesday, 5 October 2016

Muhyiddin pula muncul beri sokongan kepada Anwar


Selepas Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin pula hadir pada perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Ketika ditemui pemberita selepas sidang mahkamah, Muhyiddin berkata kehadirannya adalah untuk memberi sokongan moral kepada Anwar yang disifatkan sebagai 'ketua umum' PKR.

Malah selepas selesai perbicaraan, Muhyiddin turut bertemu Anwar di bilik saksi kira-kira 30 minit .

Ketika ditanya apakah perbincangan bersama bekas ketua pembangkang itu, Muhyiddin hanya tersenyum dan enggan menjawab soalan.

Bagaimanapun katanya, sebagai presiden BERSATU, penting untuk dirinya berjumpa Anwar bagi menjalin kerjasama bagi menumbangkan BN pada pilihan raya umum akan datang.

"Beri sokongan moral kepada Datuk Seri Anwar dalam perbicaraan yang sedang berjalan. Dah lama tak jumpa.

"Lebih-lebih lagi beliau adalah de facto PKR, saya rasa penting sebagai presiden BERSATU untuk jalinkan hubungan supaya kerjasama kita harap akan terjalin dan akan jadi satu kenyataan.

"Jadi kita harap dengan ini, kerjasama yang hendak kita jalin untuk (membina) satu pakatan yang kukuh untuk hadapi BN pada pilihan raya umum akan datang akan dapat dilaksanakan," katanya.

Tuesday, 4 October 2016

'Saya dipecat bukan keluar Umno,' Mukhriz jawab Annuar



Bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengingatkan Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa bahawa beliau tidak meninggalkan Umno sebaliknya dipecat daripada parti itu.

Mukhriz mengulas kenyatan Annuar semalam yang mengalu-alukan pernyertaan semula beliau ke dalam Umno sekiranya bercita-cita menjadi perdana menteri seterusnya.

"Saya pun tak tahulah nak tergelak atau terkejut dengan kenyataan itu. Saya dipecat, bukan saya keluar Umno," kata Mukhriz dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Parti Amanah Negara (AMANAH) di Kuala Lumpur hari ini.

Annuar semalam dilapor memberitahu pemberita bahawa veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah pernah keluar parti untuk menubuhkan parti Semangat 46, namun kemudiannya menyertai semula Umno.

Mukhriz berkata presiden Umno Datuk Seri Najib Razak sendiri pernah menawarkannya jawatan timbalan menteri sebagai pertukaran kepada menteri besar Kedah.

"PPBM (BESATU) bukan sebuah parti sementara yang kononnya akan kembali ke pangkuan Umno seperti mana berlaku dalam parti-parti sebelum ini.

"Kami kekal di sini, masa Umno sudah tamat. (Kami) akan ganti peranan yang dipegang Umno sebelum ini," tegas Mukhriz.

Dalam perkembangan lain Mukhriz ditanya mengenai jawatan timbalan presiden BERSATU yang masih kosong.

Naib Presiden protem BERSATU berkata perkara itu masih dibincangkan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Sekarang ni bila (BERSATU) dah ditubuhkan, jawatan ini dipilih melalui pemilihan. ROS faham pilihan raya (pemilihan parti) tak perlu disegerakan. Mungkin tak boleh diisi, ini yang nak kita dapat pengesahan ROS," katanya

Sementara itu, berhubung penubuhan parti berasaskan Sabah oleh bekas Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Mukhriz berkata BERSATU secara prinsip bersetuju dengan parti yang mahu menjatuhkan Umno.

"Respon (dari) rakyat sabah, beliau (Shafie) mempunyai kekuatan sendiri dalam menggoyang kedudukan Umno di Sabah, (dan ini) satu perkembangan menarik. Boleh jadi satu faktor kemenangan bagi gagasan parti-parti yang menentang Umno.

"Secara prinsip kami memang setuju dengan adanya sebuah parti yang boleh menyumbang kepada tumbangnya Umno BN," katanya.

Baru-baru ini beberapa ADUN Pakatan Harapan mengumumkan keluar parti bagi menyertai parti berasaskan Sabah.

Walaupun mereka tidak menyebut mengenai parti tempatan yang akan disertai, ia dipercayai ada hubungkait dengan usaha Shafie menubuhkan parti berasaskan Sabah untuk mencabar parti pemerintah.

Sementara itu, timbalan presiden AMANAH, Salahuddin Ayub yang turut hadir dalam sidang media itu turut ditanya mengenai usaha presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin rapat dengan PAS.

Salahuddin berkata AMANAH tidak mempunyai masalah berhubung perkara itu dan tidak pernah menganggap PAS sebagai musuh.

"Bagi saya, Muhyiddin boleh mengadakan hubungan dengan sesiapa sahaja. AMANAH juga beri komitmen, kita komited untuk lihat pertandingan satu lawan satu," katanya.

Muhyiddin Sabtu lalu menyampaikan ceramah di pentas PAS di Kemaman, Terengganu.

Selama ini Kemenangan Tertangguh Itu Adalah Berpunca dari PIMPINAN PAS sendiri..!!!

PECAHKAN MINDA-MARI KITA FIKIRKAN.


"WALAUPUN PERJUANGAN KITA BENAR,TETAPI KALAU TIDAK IKLAS, TIDAK BERADAB, TIDAK TAAT, MAKA ALLAH TANGGUHKAN LAGI KEMENANGAN".........................................

Ayat-ayat power sebagini selalu saya dengar sejak 35 tahun dahulu hingga sekarang. Individu itu selalu menggunakan hujah-hujahnya sebagini. Jika tidak diperhalusi dan benar-benar di mengerti kita akan menjadi lesu,lembut dan luluh selama-lamanya.

Sentiasanya bila kalah dalam PRU, ayat-ayat power ini akan keluar bagi mengubat jiwa-jiwa yang sedih bila ditimpa bencana kekalahan demi kekalahan dalam politik demokrasi. Waktu-waktu bersama dalam gabungan PR&PH. Sekalipun tidak menang dan belum lagi berupaya memerintah negara, tetapi pencapaian Pas amat memberangsangkan. Ayat-ayat sebagini tidak ditayangkan. Kenapa...? Dan ayat-ayat power ini diperingatkan pula...mengapa?

Ayat ini cukup kontradik, di pihak lain, saya lihat perjuangan mereka dikatakan(sekular) tidak benar, tidak iklas, tidak beradab, tidak taat, Tetapi sebaliknya pula Allah tidak menangguhkan kemenangan kepada mereka. Malah Allah terus berikan anugerahan kemenangan besar buat mereka......Mengapa pula ia terjadi bagini..........Pecahkan minda kita fikir-fikirkan.....! tentulah dikatakan pula kemenangan itu tidak diredhai.....

Isu di sini yang hendak kita perhalusi, apakah ianya benar ada mesej dari Tuhan, ataupun kita ciptakan andaian-andaian bagi mengubat rasa sakit dan gelisah, kerana perjuangan kita yang tidak mahu berpaksikan strategi yang realiti, sasaran perjuangan yang tidak pernah menepati aturan susunan yang lebih konsisten mengakibatkan kita tidak kesampaian dan tertinggal jauh kebelakang. 

Maka untuk mengubat rasa letih dan kekecewaan kerana Tuhan sentiasa menempahkan kekalahan, maka ayat-ayat seumpama ini dicipta oleh pihak-pihak tertentu bagi mengubat rasa luka para ahli partai agar sentiasa pasrah dengan tidak pernah menyalahkan pimpinan yang diamanahkan jika menempah kekalahan. Kerana itu semuannya ciptaan Tuhan........adakah ini satu kebenaran yang hakiki............

SIAPA SEBENARNYA LEBIH MAHU MUKHRIZ JADI PERDANA MENTERI?


Shahbudin Husin, 

http://s3media.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2016/10/mukhriz-annuar-musa.jpg
Apa agaknya mimpi buruk yang sering menghantui pemimpin-pemimpin UMNO sejak kebelakangan ini?

Ingatkan hanya Salleh Said Keruak atau Abdul Rahman Dahlan saja yang selalu tampil dengan idea atau kata-kata meracau, rupa-rupanya Annuar Musa juga, sejak dilantik menjadi Ketua Penerangan UMNO menggantikan Ahmad Maslan, seperti turut dijangkiti masalah yang sama.

Semalam Ahli Parlimen Ketereh itu dilaporkan mengalu-alukan sekiranya Mukhriz Mahathir mahu menyertai semula UMNO jika benar bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri.

Kalau betul Mukhriz nak jadi Perdana Menteri, tidak mustahil. Kalau nak balik, kita boleh bincang, katanya lagi.

Kenapa UMNO tiba-tiba ambil berat sama ada Mukhriz mahu jadi Perdana Menteri atau tidak?
Tidakkah UMNO sendiri sudah ada beberapa nama yang mengidam untuk menjadi Perdana Menteri, antaranya Zahid Hamidi, Hishammuddin Hussien serta Khairy Jamaluddin?

Mengapa perlu dipelawa Mukhriz yang sudah dipecat daripada UMNO untuk menyertai semula parti itu dan digambarkan seolah-olah hanya melalui UMNO, seseorang itu dapat menjadi Perdana Menteri?

Bukankah pemimpin UMNO sendiri selalu mengecam tindakan Tun Mahathir Mohamad yang didakwa tidak habis-habis campurtangan dalam politik negara, meskipun sudah bersara sejak 2003, dengan menggambarkan ia untuk memastikan Mukhriz dapat menjadi Perdana Menteri?

Lalu, kenapa sekarang UMNO sendiri seperti memberi laluan kepada Mukhriz untuk menjadi Perdana Menteri?

Ataukah kenyataan Annuar itu menggambarkan ketakutan UMNO terhadap penerimaan rakyat kepada PPBM, lalu cuba menunjukkan sikap lunaknya supaya parti itu terus berkuasa?

Sesuatu yang Annuar, pemimpin UMNO atau macai berbayarnya mesti sedar ialah, majoriti rakyat sudah hilang keyakinan terhadap UMNO, BN dan kerajaan yang sedia ada.

Sebagaimana mereka sudah menunjukkan keinginan melakukan perubahan melalui isyarat 52 peratus undi popular menolak BN dalam pilihanraya 2013 lalu, iltizam itu semakin meningkat sekarang ini berikutan pelbagai masalah yang semakin buruk membelenggu kepimpinan Najib.

Kalau pun ditakdirkan UMNO dan BN terus kekal berkuasa, ia bukanlah disebabkan penerimaan rakyat sudah berubah atau mereka menerima Najib sebagai pemimpin yang baik dan boleh dimaafkan, tetapi lebih kerana berlakunya perpecahan di antara musuh-musuhnya.

Namun demikian, semua itu sedang diuruskan  sekarang kerana parti-parti pembangkang juga tidak mustahil menjadi lebih bertolak ansur lantaran memikirkan  keinginan perubahan di hati majoriti rakyat, lebih-lebih lagi Tun Mahathir turut sedang menggunakan pengalamannya selama ini untuk tujuan yang sama.

Dalam soal ini, yang penting bukan soal sama Mukhriz dapat menjadi Perdana Menteri atau sebaliknya, yang jauh lebih utama ialah kejayaan menyingkirkan Perdana Menteri sedia ada.

Bagi sesiapa yang inginkan perubahan dan seterusnya membawa kebaikan kepada rakyat, menjadi Perdana Menteri mungkin merupakan impian, tetapi memegang jawatan itu atas tiket UMNO yang telah dibusukkan ke seluruh dunia oleh Najib, bukanlah lagi suatu kebanggaan.

Maka, Annuar tidak perlu bersusah-payah melobi  mana-mana pemimpin PPBM, termasuk Mukhriz untuk ditonjolkan menjadi Perdana Menteri atas tiket UMNO. Yang perlu beliau risaukan ialah ada lagikah hayat politik Najib dan UMNO selepas ini?  (SH 04/10/2016).

Satu persepakatan baharu bersama Pas bakal dibentuk

http://2.bp.blogspot.com/-RrmyhoAsF60/Vi-smFHCpUI/AAAAAAAAAiM/oPyuAI7eqZY/s1600/umno%252Bpas.jpg

KUALA LUMPUR - Umno membayangkan akan berlaku satu persepakatan baharu dalam arena politik negara menjelang Plilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Dalam politik banyak kemungkinan akan berlaku, tiada yang mustahil sekiranya Pas akan bergabung bersama Barisan Nasional (BN)," kata Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat ketua-ketua penerangan Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, sekiranya Tun Mahathir Mohamad menyertai barisan pakatan pembangkang tidak mustahil Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama BN.

"Pada peringkat BN, kami telah berjaya menyelesaikan isu-isu dalaman tetapi pembangkang masih memikirkan persepakatan ini," katanya.

Tambahnya, melihat kepada keadaan politik semasa, memang wujud satu keadaan ketidakseimbangan politik tetapi itu adalah perkara biasa.

'Nilai kepimpinan Umno sudah rosak'​

Mohamad Ezam Mohd Nor

SHAH ALAM - Bekas Senator, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor menyifatkan keputusannya keluar daripada Umno sebagai tepat.

Katanya, keadaan semasa dalam Umno yang didakwa kini dicemari kelompok pemimpin yang teruja membangkitkan soal jawatan, habuan dan kebendaan untuk kepentingan peribadi mengukuhkan lagi keputusannya keluar parti,

"Alhamdulillah respons amat positif (keputusan keluar Umno). Keadaan semasa dalam Umno memperkukuhkan keyakinan saya bahawa memang benarlah saya meninggalkan sebuah parti yang sudah rosak nilai kepimpinannya.  

"Lihatlah reaksi awal mereka, di benak pemikiran mereka hanya soal ganjaran dan habuan peribadi. Isu pokoknya adalah OSA (Akta Rahsia Rasmi) dan rasuah, tapi mereka tidak bincangkan soal itu. Jadi, tidak hairanlah Presiden Umno paling lama dalam sejarah parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri tinggalkan Umno," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika mengulas lanjut keputusannya keluar Umno.

Dalam pada itu, beliau belum memikirkan lagi hala tuju politiknya selepas ini dan sebarang keputusan susulan bergantung kepada reaksi sahabat dan keluarga

Ketika ditanya sejauh mana kebenaran ada usaha beberapa pemimpin membawanya masuk semula ke dalam PKR, Mohamad Ezam tidak mengulas.

Pada perkembangan sama, Mohamad Ezam memberitahu, tindakan menggunakan OSA untuk menghalang akses publik terhadap laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menambah lagi kemarahan dan kecewanya kepada kerajaan.

"Saya memang menunggu laporan penuh PAC untuk perhalusi kes 1MDB (1Malaysia Development Berhad). Ini kes besar, kita harus dan berhak tahu apa sebenarnya yang berlaku.

"Kedua, kedua kerana saya pernah didakwa, dibicara dan dipenjarakan di bawah OSA, sehingga hari ini saya satu-satunya rakyat yang pernah dibicara di bawah akta itu, tentunya saya merasa bertanggungjawab untuk pastikan OSA tidak lagi disalahgunakan untuk melindungi perasuah sepertimana dalam kes saya," katanya.  

Justeru, beliau membuat teguran terbuka bagi mendesak tindakan salah itu diperbetulkan, namun tidak diendahkan.

"Kita perlu faham betapa besarnya impak salah guna OSA dalam kes 1MDB yang menjadi perhatian dunia.  Apabila kita guna OSA untuk tutup laporan PAC, ia memberi signal paling buruk dalam prinsip transparensi urus tadbir.  

"Kita mesti perbetulkan persepsi ini dan bangkit mendesak kerajaan perbetulkan tindakan salah itu," katanya.


Kembali sertai Umno? Ini jawapan Mukhriz

Mukhriz

KUALA LUMPUR - Naib Presiden, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak berminat kembali kepada Umno walaupun parti itu sentiasa bersikap terbuka menerima mana-mana individu menjadi ahli.

"Saya nak tergelak ke terkejut dengan kenyataan itu. Saya dipecat bukan keluar daripada parti, dan beliau adalah Ketua Penerangan Umno.

"Kalau Presiden parti sendiri pernah menawarkan jawatan Timbalan Menteri dan dia kata lepas tiga empat bulan boleh diangkat sebagai menteri penuh bagi mengganti jawatan saya sebagai menteri besar, itu pun saya tolak apa lagi satu tawaran dari seorang ketua penerangan," kata Mukhriz selepas sidang media isu cadangan jawatan Perdana Menteri Malaysia dihadkan selama dua penggal, di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa menyatakan kesediaan Umno untuk menerima ahli, termasuk Mukhriz sekiranya masih berhasrat kembali ke pangkuan Umno.

Jelas Mukhriz, Bersatu bukan sebuah parti sementara yang kononnya akan kembali ke pangkuan Umno seperti mana berlaku dalam parti-parti sebelum ini.  

Sebelum ini, blogger, Raja Petra Kamarudin menulis, sekiranya Mahathir ingin melihat Mukhriz menjadi perdana menteri, Mukhriz perlu kembali menyertai Umno.

"Kami akan kekal, masa untuk Umno telah tamat, kami akan menggantikan peranan yang dipegang oleh Umno selama ini,"katanya.


Monday, 3 October 2016

Persempadanan semula punca BN akan menang besar PRU14 nanti



Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel), Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman meramalkan Barisan Nasional (BN) akan menang besar pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Beliau yang pernah menjawat kerusi Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) itu berkata, ramalan tersebut berdasarkan cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya kali ini.

"Sejarah menunjukkan bahawa setiap kali dibuat persempadanan, BN akan mencatat kemenangan besar. Kemenangan yang dicapai BN pada 2004, kebanyakan orang anggap bersebab dengan faktor Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) semata-mata.

"Sebenarnya tidak. Pak Lah hanyalah salah satu faktor.

"Pada PRU 2004, banyak kerusi yg dimenangi pembangkang dalam PRU 1999 dirampas semula oleh BN bukan kerana faktor Pak Lah. Sebaliknya kerana persempadanan semula," ujarnya, memetik wawancara yang diadakan bersama Sinar Harian.

Baru-baru ini, susulan kritikan pada syor persempadanan semula, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyarankan pihak berkelayakan dalam bidang perundangan agar membuat bantahan.

Bantahan patut dibuat pada masa ditetapkan dan "bukannya membuat tuduhan melulu" terhadap badan itu, kata Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.

"SPR mengalu-alukan setiap bantahan dan representasi, namun begitu ia perlu dikemukakan secara rasmi mengikut saluran dan perundangan yang ditetapkan," katanya.

Syor persempadanan semula yang dikeluarkan didakwa hanya memberi kelebihan kepada Umno.

Ia dikatakan boleh mengurangkan kerusi campuran akibat peralihan pengundi, meningkatkan majoriti Melayu dan mengurangkan perwakilan bukan Melayu di kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohammad Redzuan berkata, pada PRU 2004, ramai orang Melayu memihak kepada pembangkang berikutan peristiwa mata lebam.

"Orang Cina pula solid kepada BN. Persempadanan 2004 dibuat dengan membanyakkan kerusi campuran dengan pengundi Melayu dan bukan Melayu pada nisbah 60:40 atau 55:45. Ini membawa kepada banyak kawasan campuran diwujudkan terutama di pantai barat Semenanjung.

"Pada pilihan raya 2008, kawasan campuran memihak kepada pembangkang (BN tewas). Jadi persempadanan yang baharu ini perlu dibuat mengikut kelompok. Kaum Cina satu kelompok, Melayu satu kelompok," jelasnya.

Apa yang sedang berlaku ini, ujar beliau, boleh dianggap seperti satu penyelewengan dan jenis penipuan yang dihalalkan.

"Mereka menang dengan cara yang tidak gentleman. Saya yakin majoriti rakyat mendukung amalan demokrasi, mereka terima siapa yang mendapat mandat rakyat, satu undi menang pun kena terima, itu kematangan demokrasi tetapi biarlah dengan cara yang baik," tambah beliau.

Mengenai tempoh berkempen, beliau menambah, aspek itu juga terbukti menentukan keputusan PRU.

"Antara ‘kesilapan’ besar Pak Lah ialah membenarkan kempen 13 hari pada PRU 2008. Zaman Mahathir, hanya sembilan hari sahaja berkempen dalam PRU 1999. Kalau tempoh berkempen dalam PRU ini dibenar dua minggu, kerajaan Mahathir boleh tumbang pada waktu itu.

"Pada 2008, dari segi undi popular, kajian menunjukkan sebanyak tiga peratus sokongan untuk BN menurun setiap hari pada minggu kedua kempen. Kalau kempen pilihan raya 2008 dibuat selama 16 hari, BN hilang lebih banyak kerusi," katanya lagi.

Umno buka pintu untuk Mukhriz


Tan Sri Annuar Musa berkata Umno mengalu-alukan Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyertai parti itu semula jika jika bekas menteri besar Kedah itu benar-benar bercita-cita menjadi perdana menteri.

Bercakap di sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur Annuar berkata tindakan sesetengah pemimpin meninggalkan Umno bukan sesuatu yang baru.

Sebelum ini pun kata Annuar ada pemimpin yang meninggalkan Umno itu kembali kepada parti berkenaan, seperti dilakukan Tengku Razaleigh Hamzah.

Anggota Parlimen Gua Musang itu meninggalkan Umno selepas berseteru dengan kem Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1987 dan menubuhkan parti Semangat 46.

Tengku Razaleih kembali kepada Umno 1996.

Semasa berada di luar Umno Tengku Razaleigh membawa partinya bersahabat dengan PAS dan DAP melalui dua persefahaman politik berasingan iaitu Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat.

Annuar yang juga ketua penerangan Umno berkata jika Mukhriz berasa mahu kembali menyertai parti berkenaan pihaknya tidak ada masalah.

Malah sikap itu tidak hanya terhad kepada Mukhriz malah kata Annuar terbuka kepada sesiapa saja.

"Kalau betul Mukhriz nak jadi PM, tidak mustahil. Kalau rasa nak balik apa salahnya, boleh bincang," katanya.

Selepas disingkirkan daripada jawatan menteri besar Mukhriz dan Dr Mahathir - bapanya - menjadi pengkritik kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Mukhriz, 51, kini adalah naib presiden penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang dipimpin bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

'Bimbang' nasib PKR, DAP

Dr Mahathir dilantik sebagai pengerusi BERSATU dan parti itu sedang giat menjalankan kempen bersama pembangkang untuk mengetepikan Najib.

Sejak dimusuhi Umno Mukhriz disebut-sebut cuba diletakkan sebagai perdana menteri oleh Dr Mahathir.

Annuar sebelum itu mempengerusikan mesyuarat sekretariat penerangan Umno yang melibatkan semua ketua penerangan Umno negeri.

Sebelum ini bloger Raja Petra Kamarudin mendakwa Dr Mahathir merancang meletakkan Mukhriz menjadi perdana menteri melalui jawatan menteri kewangan.

Tulisannya pada 24 September itu berkata ia dibuat berdasarkan hujah Dr Mahathir sendiri iaitu seorang perdana menteri tidak sepatutnya menjadi menteri kewangan.

Sementara itu Annuar berkata Umno mengalu-alukan langkah Muhyiddin dan BERSATU bertanding menentang parti lama mereka pada pilihan raya umum akan datang.

"Itu sangat dialu-alukan. Itu yang kita mahu.

"Apa yang kita bimbang ialah mereka tidak bertanding. Semua kerusi sudah dimiliki PKR atau Amanah (Parti Amanah Negara) yang diwarisi daripada PAS, dan DAP pula enggan menyerahkan kerusi yang mereka tandingi," katanya secara sinis.

Justeru kata Annuar Umno menyambut baik jika Muhyiddin (dan BERSATU) meletakkan calon di 120 kerusi yang ditandingi parti berkenaan.

Kenyataan Annuar itu dibuat mengulas kenyataan Muhyiddin yang meminta PAS membenarkan calon BERSATU bertanding menentang Umno di Kelantan.

Portal Free Malaysia Today semalam menyiarkan laporan mengenai permintaan Muhyiddin ketika beliau berucap di atas pentas PAS di Kemanan, Terengganu.

Mengenai perkembangan terkini di Sabah Annuar berkata beliau 'bimbang' mengenai nasib dan masa depan PKR serta DAP.

"Saya tak begitu bimbang mengenai Umno sebab yang meninggalkan parti itu, kita yang buat dia keluar," katanya merujuk kepada bekas naib presiden parti berkenaan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Bekas menteri itu digantung keahliannya oleh Umno sebelum beliau sendiri mengumumkan keluar dari parti dan dalam proses mengetuai sebuah parti baru berasaskan Sabah.