Saturday, 17 September 2016

Benarkah Mahathir kini jadi musuh Umno?

Mahathir kini jadi musuh Umno


SUNGAI MANIK - Secara sedar atau tidak, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dahulunya pemimpin Umno telah menjadi musuh kepada ahli Umno di negara ini.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, tindakan Mahathir menubuhkan Bersatu untuk menjatuhkan Umno dan BN akan memberi kesan kepada orang Melayu.

"Kita sudah mula lihat Bersatu di bawah pimpinan Mahathir telah mula berkempen di sana-sini dengan tujuan menumbangkan kerajaan BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Kerana itu saya menyeru kepada semua pemimpin dan ahli Umno agar berwaspada kerana Bersatu berkempen dengan menyebarkan dakyah yang merupakan tuduhan yang diasak tohmahan," katanya selepas Majlis Jamuan Perdana Aidil Adha 1437 Hijrah dan Penyampaian Insentif NKEA Padi Kawasan Sungai Manik / Labu Kubong 2016, malam tadi.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, jika semua pemimpin dan ahli Umno tidak bersedia menghadapi situasi berkenaan, berkemungkinan dakyah dan tohmahan yang dibuat Bersatu akan merebak luas seluruh negara dan mendapat sokongan rakyat.

"Adalah malang sekali jika ia berlaku kerana apa yang dibawa oleh Bersatu tidak membawa kebaikan kepada Melayu dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

"Dari ucapan dia (Mahathir) yang saya lihat melalui video sudah sampai satu tahap di mana dia memang ingin menjatuhkan Umno dan BN," katanya.

Tambahnya ahli serta penyokong Umno perlu menyedari perkara ini dan mengambil tindakan yang tepat bagi memastikan apa yang dirancang Mahathir gagal dilaksanakan.

"Adalah malang sekali dia yang dahulunya pemimpin Umno tanpa sedar atau tidak dia kini menjadi musuh kepada Umno.

"Kepada semua ahli Umno, Tun M telah menjadi musuh nombor satu kepada kita atas tindakannya itu," katanya.

Pertemuan Dr Mahathir dengan Agong sia-sia, bidas pimpinan BN


PETALING JAYA: Pemimpin Barisan Nasional (BN) menyifatkan pertemuan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah semalam hanya sia-sia. Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Bung Moktar Radin berkata tindakan Dr Mahathir itu sekadar memenuhi syarat Deklarasi Rakyat menyerahkan tandatangan kepada Agong.

“Dr Mahathir sedar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak akan dapat dijatuhkan dengan Deklarasi Rakyat. Pertemuan itu tidak akan membawa apa-apa makna mahupun perubahan dalam politik negara,” katanya kepada FMT. Semalam, Dr Mahathir mengadap Agung dan menyerahkan 1.4 juta tandatangan mendesak Najib meletak jawatan.

Pertemuan itu diadakan di Istana Anak Bukit di Alor Setar, Kedah pada jam 4.30 petang dengan ditemani bekas Naib Pengerusi Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan disahkan pegawai khas Dr Mahathir, Sufi Yusof ketika dihubungi FMT Selain itu, Bung berkata hanya 3 cara sahaja yang boleh menjatuhkan Najib iaitu Pilihan Raya Umum (PRU), undi tidak percaya di Dewan Rakyat dan parti Umno itu sendiri meminta Perdana Menteri disingkir.

Sebaliknya, demontrasi jalanan, memorandum atau Deklarasi Rakyat tidak akan memudaratkan kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri. “Jadi, rakyat jangan terpangaruh dengan khabar angin yang tidak berasas,” katanya. Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata pertemuan 4 mata itu hanya membuang masa Baginda.

Malah, Nazri mencabar jika mahu menjatuhkan Najib, Dr Mahathir perlu memenangi PRU terlebih dahulu. “Jika Dr Mahathir mahu membazirkan seluruh hidup beliau, maka teruskan tetapi jangan bazirkan masa Agong. “Negara kita mengamalkan pemerintahan mengikut parlimen dan sistem demokrasi. Tindakannya (Dr Mahathir) tidak akan menjejaskan Umno sama sekali,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim juga yakin pertemuan itu tidak akan menjejaskan sistem politik negara masa ini. “Sistem politik sekarang melalui proses pilihan raya. Sudah pasti banyak pihak boleh jumpa Agong. Jadi itu juga proses biasa.

Sekadar beri pandangan,” katanya. Kali pertama Deklarasi Rakyat dibacakan kepada umum adalah pada 4 Mac lalu. Antara lain ia menuntut Najib melepaskan jawatan bagi membuka jalan kepada reformasi dan memulihkan prinsip pengasingan kuasa antara Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman.

Friday, 16 September 2016

'SPR didakwa bantu Umno bunuh kerjaya politik Muhyiddin'

Umno mengharap proses persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menamatkan kerjaya politik Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin, dakwa pemimpin Pakatan Harapan Johor.

Mereka yang terdiri daripada Liew Chin Tong (DAP), Mohd Khuzzan Abu Bakar (PKR) dan Aminolhuda Hassan (AMANAH) mendakwa demikian berdasarkan penurunan 22.24 peratus pengundi di kerusi Parlimen Pagoh.

Daripada 46,793 pengundi pada tahun 2013, Pagoh kini hanya melibatkan 36,387 pemilih sahaja, tegasnya.

"Proses persempadanan semula Pagoh jelas bermotifkan politik. Difahamkan Pagoh mempunyai kira-kira 20,000 ahli Umno.

"Dengan mengurangkan jumlah pengundi di kawasan pilihan raya itu, Umno berharap kerjaya politik Muhyiddin akan berakhir," kata mereka dalam kenyataan bersama, hari ini.

Mereka menekankan bagaimana Pagoh sebagai sebuah kerusi parlimen mempunyai kurang pengundi berbanding 14 kerusi dewan undangan negeri Johor seperti Johor Jaya yang mempunyai 59,041 pengundi dan Perling dengan 55,810 pemilih.

Sementara itu, kata mereka, kerusi Ketua Anggota Parlimen DAP, Lim Kit Siang di Gelang Patah pula menjadi kerusi parlimen terbesar di negeri itu dengan 112,081 pengundi.

Ketiga-tiga mereka berkata, proses itu secara jelas bertujuan menjamin BN terus berkuasa dan menggesa rakyat Johor untuk membantah cadangan itu.

Thursday, 15 September 2016

AMANAH - Pembangkang perlu segera ke meja rundingan bagi membincangkan kerjasama menumbangkan BN.

Salahuddin Ayub

SHAH ALAM - Parti pembangkang digesa untuk segera ke meja rundingan bagi membincangkan kerjasama menumbangkan BN.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, formula satu lawan satu adalah cadangan praktikal dan dapat direalisasikan jika semua parti pembangkang mempunyai matlamat sama iaitu menukar kerajaan yang baru.

"Sebelum mencapai kata sepakat tentang siapa bertanding, semua parti pembangkang kena segera bersetuju untuk ke meja perundingan. Selepas itu baru kita boleh berbincang mengenai masalah pembahagian kerusi dan sebagainya.

"Tetapi, syaratnya ialah semua parti pembangkang kena ada satu matlamat yang sama dan kita perlu berganding untuk capai matlamat itu," katanya.

Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dilaporkan berkata, pembangkang perlu bergabung termasuk menggunakan formula satu lawan satu bagi mengalahkan BN.

Beliau berkata, cabaran seperti isu pembahagian kerusi boleh diselesaikan jika semua parti pembangkang mencapai kata sepakat.

"Dalam soal pembahagian kerusi, kita kena letakkan calon boleh menang dan calon yang penting untuk negara.

"Kita juga mesti sepakat memberikan laluan kepada parti-parti lain supaya formula satu lawan satu itu boleh tercapai," katanya.

Menurutnya, bagi memastikan kejayaan formula itu, semua parti pembangkang perlu  terbuka dan mengetepikan agenda parti masing-masing.

DAP : Kerjasama agenda penting, tak perlu gabungan rasmi

Zairil Khir Johari

SHAH ALAM - Gabungan rasmi parti pembangkang tidak diperlukan bagi mencapai matlamat satu lawan satu dengan BN.

Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Zairil Khir Johari berkata, sebaliknya yang lebih penting ialah kerjasama sama ada secara rasmi atau tidak rasmi.

"Sebaik-baiknya satu lawan satu itu perlu dicapai oleh pembangkang. Kita kena jelas apa matlamat pembangkang.

"Jika kita mahu merealisasikan hasrat rakyat untuk mengubah kerajaan dan menumbangkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, maka kerjasama diperlukan. Itu wajib," katanya.

Menurut beliau, pembangkang juga harus mengambil pendekatan 'comparative advantage' dalam menentukan parti mana yang bertanding.

"Ini bererti, pemilihan parti mestilah berdasarkan prinsip boleh menang, dan siapa yang paling berpengaruh dalam kawasan tersebut," katanya.

Pandangan sama turut dipersetujui Naib Presiden PKR, Tian Chua yang berkata, parti pembangkang perlu mendapatkan persetujuan bekerjasama walaupun tidak berada dalam satu pakatan.

"Kalau dapat bergabung di bawah satu pakatan, lagi bagus. Tetapi jika tidak, sekurang-kurangnya kita perlu dapat persetujuan untuk kerjasama satu lawan satu," katanya.

Beliau berkata, konsep satu lawan satu telah diamalkan oleh pembangkang selama ini dan berjaya memberi kemenangan besar.

"Saya yakin pembangkang akan bergabung semula pada PRU14 nanti untuk mencapai hasrat satu lawan satu," katanya.

Tian Chua berkata, PKR juga sedia memainkan peranan untuk menyatukan kerjasama antara parti-parti pembangkang.

"Kalau boleh bukan kita jangan hanya fokus pada kerusi Parlimen, malah kerusi Dun juga," katanya.

1 lawan 1 Pas setuju, tapi ‎tiada kerjasama antara DAP & AMANAH

Mahfodz Mohamed

SHAH ALAM - Pas pada asasnya setuju dengan konsep satu lawan satu  malah yakin parti pembangkang akan menang besar ia digunakan menentang BN.

Ketua Dewan Ulamak Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, bagaimanapun berkata, parti itu tidak pasti sejauh mana strategi tersebut mampu direalisasikan.

"Saya ingat semua pembangkang bersetuju dan berhasrat supaya tak ada tiga penjuru. Memang kita harapkan untuk jatuhkan BN dengan satu lawan satu.

"Jika berlaku begitu (satu lawan satu) kemungkinan besar (pembangkang) akan menang. Tetapi sama ada ia akan berlaku atau tidak, itu Wallahualam," katanya kepada Sinar Harian, semalam,

Kelmarin, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah menyatakan sekiranya  pembangkang sepakat memilih formula satu lawan satu, ia boleh mengancam kedudukan Umno.

Mengulas lanjut, Mahfodz berkata, setakat ini Pas tidak mengadakan  perbincangan mengenai perkara itu dengan mana-mana parti pembangkang yang lain.

"Cuma yang kita dah ada kerjasama ialah dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan NGO-NGO (pertubuhan bukan kerajaan). Apa yang pasti, kita tak akan buat hubungan dengan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

"Yang lain-lain, termasuk Bersatu itu ada kemungkinanlah. Tetapi setakat ini lah, tak tahulah (akan datang) sebab politik ini semua boleh kalau dah sampai masanya," katanya.

Mengenai halangan untuk bekerjasama dengan DAP dan Amanah, beliau berkata, Pas menyerahkan kepada kebijaksanaan PKR untuk menentukan memandangkan parti itu mempunyai hubungan dengan kedua-dua belah pihak.

"Kalau ada keperluan kita akan bincang secara dalaman dan dengan PKR," katanya.

Wednesday, 14 September 2016

BERSATU edar borang, Mahatahir ahli pertama




Selepas diluluskan minggu lepas, Parti Pribumu Bersatu Malaysia (BERSATU) mula mengedarkan borang keanggotaan mereka bermula hari ini.

Di Kuala Lumpur, parti serpihan Umno itu menjadikan pejabat presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara sebagai pusat pendaftaran.

Menurut Facebook BERSATU, Mahathir hari ini menjadi anggota terawal mendaftar sebagai anggota seumur hidup dan membayar yuran RM100.

Gambar Muhyiddin mengisi borang pendaftaran turut dimuat naik ke laman sosial mereka, selain gambar orang ramai yang mengerumuni tempat itu.

BERSATU juga mendapat anggota bukan bumiputera pertama mereka hari ini.

Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 8 September dilapor sudah meluluskan permohonan BERSATU.

Bagaimanapun singkatan nama parti itu ditetapkan sebagai PPBM dan bukan BERSATU kerana nama itu telah banyak dipakai.

Parti ITU ditubuhkan selepas beberapa tokoh pemimpin Umno dan anggota parti itu tidak sependapat dengan Datuk Seri Najib Razak menangani pelbagai isu semasa dalam negara, termasuk 1MDB.

Tuesday, 13 September 2016

Mahathir & Muhyiddin Seru Kuburkan UMNO BN Bukan Sekadar Tumbangkan Najib


http://www.sinarharian.com.my/polopoly_fs/1.455750.1448499564!/image/image.jpg_gen/derivatives/landscape_624/image.jpg
Tun M azam jatuhkan Umno, BN bukan Najib sahaja sekarang

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berazam akan menjatuhkan Umno dan BN dalam pilihan raya akan datang, bukan sekadar Datuk Seri Najib Razak sahaja, kata pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tun Mahathir berkata hasratnya menubuhkan PPBM bukan semata-mata kerana Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak tetapi kerana Umno dan Barisan Nasional (BN) juga.


"Saya berusaha untuk jatuhkan Umno dan kerajaan BN," tegas Tun Mahathir di depan pemimpin Amanah, PKR dan orang ramai yang penuh sesak di hadapan beliau.

"Dulu saya keluar Umno saya tak fikir nak tubuh parti. Tapi kali ini saya cuba adakan parti lain yang berhasrat lawan Umno dan BN

"Sebabnya perbuatan pemimpin Umno hari ini, ketua bahagian, wakil rakyat mereka lakukan jenayah besar sukar bagi kita fahami.

"Saya nak singkir manusia ini, nak singkir Najib.

"Tapi kalau singkir Najib saja tak guna tanpa parti yang dia pimpin," kata Tun Mahathir.

Dulu, katanya, Umno untuk bangsa dan tanah air tetapi hari ini berjuang untuk Najib itu.

"Ia tak masuk dalam perlembagaan. Saya tengok balik perlembagaan baca lima kali takda pula sebut pertahankan Najib," kata Tun Mahathir sinis.

Untuk menang, katanya, semua pihak perlu bersatu dan keluar dari Umno.

"Kita akan kalahkan Najib dengan parti pribumi bersatu untuk ini kita perlukan kekuatan.

"Kekuatan rakyat mestilah dengan segera jadi ahli parti pribumi bersatu ...alhamdulillah malam ini saya terima 1000 permohonan dan kita harap rakyat Negeri Sembilan tolak Umno dan BN," ujar bekas perdana menteri ini.

Kata beliau dalam usaha ini jika sekalipun perdana menteri tidak turun, beliau berkata PPBM dan pakatan pembangkang akan tunggu pilihan raya akan datang.

"Jika Najib tidak turun sekarang kita terpaksalah tunggu hingga pilihan raya....kita akan tunggu.

"Parti lawan BN menang bukan kerana BN kuat sebaliknya pakatan pembangkan tidak bersatu, jadi tak boleh menanglah.

"Jika mereka bersatu termasuk Pas kita boleh kalahkan BN.

"Nak kata parti lawan kerajaan pun tak kena sekarang ni kerana di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan pembangkang sudah jadi 'kerajaan' jadi Umno-BN ni sebenarnya sudah separuh kerajaan lah," ujarnya disambut derai tawa penyokong malam tadi.

Turut hadir Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Pengerusi Amanah Negeri Sembilan Zulkifly Mohamad Omar dan Ketua Pemuda Amanah negeri, Shahrizal Masrudi serta Setiausaha PKR Negeri Haji Ismail selain ahli jawatankuasa PPBM. -MD


ULASAN GB

Nampaknya PAS yang sebelum ini menganggap sebarang usaha untuk menjatuhkan Najib sebagai sia-sia kerana menurut PAS, jika Najib jatuh tapi UMNO BN masih berkuasa ia tidak memberi makna apa-apa. Apatah lagi kata mereka, tujuan Mahathir hanya nak menjatuhkan Najib tetapi akan menyertai UMNO semula.

Kini segalanya terjawab. PAS membuat persangkaan dan jangkaan yang salah. Mahathir dan Muhyddin dengan parti barunya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia PPBM), bukan sahaja berhasrat untuk menjatuhkan Najib, malah mengkuburkan UMNO BN.

PPBM tiada masalah dengan parti-parti komponen Pakatan Harapan, samada AMANAH, PKR malah DAP sekalipun. Mereka telah bersama di dalam siri jelajah Deklarasi Rakyat Selamatkan Malaysia sebelum ini.

Yang bermasalah kini ialah PAS - parti yang terkontang-kanting bersama IKATAN - nak sebut menyokong UMNO BN malu, nak sertai Pakatan Harapan tak mahu.

Ego PAS yang tinggi, tamak dengan kerusi dan tidak rela berkongsi dengan parti lain.

Itu sebab mengapa PPBM menyatakan mereka perlu berbincang dengan PAS sepertimana PKR telah melakukan di dalam PRN Sarawak.

Namun seperti yang umum mengetahui di PRN Sarawak, PAS yang berhidung tinggi telah menggagalkan semuanya. Akhirnya parti pembangkang bertemu sesama sendiri dan berakhir dengan kekecewaan.

Kita berharap senario sedemikian tidak berlaku pada PRU14. Dan Pakatan Harapan perlu perkukuhkan persefahaman di kalangan anggota yang ada, with or without PAS.

Yang pasti hukuman kebenaran dan keadilan akan terus berjalan,  kita dapat menjangkkakan bukan sahaja UMNO akan dihapus dan dikafankan, malah PAS juga kerana perjuangan kedua-dua parti itu kini hampir serupa serupa, kedua-duanya bersikap perkauman melampau dan setiap yang melampau batas itu tidak disukai Allah swt.

Dan Allah telah banyak kali mengingatkan di dalam Al-Quran bahawa Allah tidak suka mereka yang melampau batas.

"Dan janganlah kamu semua melampau batas. Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melampau batas"
(Surah al-Maidah : 87).


Monday, 12 September 2016

'Kenyataan Najib tentang Bersatu aneh'

Muhyiddin Yassin

SHAH ALAM - Presiden Penaja Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempersoalkan keupayaan parti itu membela nasib orang Melayu kerana mempunyai hubungan dengan DAP adalah sesuatu yang aneh.

Menurut beliau, selepas mengemukakan permohonan kepada pejabat Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS), serangan terhadap Bersatu yang belum lagi ditubuhkan datang secara bertalu-talu daripada pemimpin Umno.

"Aneh juga sebuah parti yang belum lahir ini mendapat perhatian dari Najib malah parti ini belum ada ahli dan cawangan. Ia hanyalah parti serpihan umpama parti nyamuk.

"Bagaimana Najib boleh bercakap mengenai kerjasama antara sebuah parti yang belum ditubuhkan dengan DAP?

"Malah beliau mengandaikan bahawa kerjasama ini tidak akan menguntungkan orang Melayu dan ini satu kenyataan tidak bertanggungjawab serta pra-matang,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Najib menyelar parti Bersatu berikutan cadangan untuk bekerjasama dengan DAP, yang sama sekali tidak pernah menyokong perjuangan atas nama pribumi dan hak Bumiputera.

Dalam pada itu, Muhyiddin memaklumkan bahawa kenyataan berkenaan merupakan taktik kotor yang digunakan bagi menakut-nakutkan orang Melayu di negara ini.

"DAP bakal dijadikan 'hantu' paling menggerunkan orang Melayu untuk mengalihkan perhatian daripada segala kesalahan dan kemungkaran Najib.

"Mereka akan terus berkata bahawa DAP adalah musuh utama orang Melayu," katanya.

Selain daripada itu, Muhyiddin menyarankan Najib untuk berhubung dengan ROS bagi mendapatkan naskhah Perlembagaan Bersatu yang diserahkan semasa proses pendaftaran parti sekiranya beliau meragui perjuangan parti itu.

Beliau berkata, daripada 13 matlamat dan tujuan Bersatu, tiga daripadanya ialah menegakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan menghormati hak orang bukan Islam untuk menganut serta mengamalkan agama masing-masing secara aman harmoni.

"Selain itu, matlamat Bersatu adalah bagi menjunjung kemuliaan dan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu di samping mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu, anak negeri Sabah serta Sarawak dan hak-hak sah untuk semua kaum,"katanya.

Tambah beliau, sekiranya Najib seorang pemimpin yang berani dan ingin membersihkan namanya, beliau seharusnya menyahut cabaran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir untuk berdebat.

"Tidak perlulah Najib cuba mengalih perhatian rakyat dengan menyalahkan pihak lain. Usah berselindung dan berdolak-dalik lagi," katanya.

Tanda Umno Johor sudah mula goyah

Tanda Umno Johor sudah mula goyah

JOHOR BAHRU - Tindakan dua veteran Umno Johor keluar parti adalah satu tamparan besar kepada Umno negeri ini.

Ia jelas menunjukkan ramai di antara ahli Umno sekarang sebenarnya tidak yakin lagi dengan parti itu di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Pengerusi Keadilan Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, beliau menyambut baik berita berkenaan.

"Saya percaya dua kes ini, bukan kes bersendirian dan dijangka lebih ramai pemimpin Umno keluar parti serta berhijrah ke parti lain, untuk meneruskan perjuangan politik mereka pada masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Terdahulu, dua ahli veteran Umno Johor yang merupakan bekas wakil rakyat negeri ini, iaitu Datuk Baharom Abdul Ghani dan Tosrin Jarvanthi mengambil keputusan keluar parti.

Baharom adalah pengasas Umno Bahagian Gelang Patah, manakala Tosrin pula adalah bekas Ketua Umno Bahagian Senai.

Jimmy berkata, beliau percaya, terdapat juga segolongan besar ahli Umno yang mungkin tidak keluar parti tetapi akan menolak parti itu dalam pilihan raya akan datang.

"Silent majority ini akan menjadi penentu dalam PRU14. Umno Johor yang sekian lama dikatakan kubu Umno kini nampaknya sudah mula goyang.

"Dengan krisis kepimpinan dan kemunculan skandal kewangan yang tidak dapat dijelaskan oleh pimpinan Umno sendiri, ramai ahli dalam Umno sudah mula sedar bahawa masa hadapan negara dan generasi muda hanya dapat diselamatkan sekiranya Umno tumbang," katanya.

Tambahnya, pada PRU13, pembangkang telah berjaya memenangi lima kerusi Parlimen serta 18 kerusi di Dewan Undangan Negeri Johor dan ia satu prestasi yang tidak pernah berlaku di arena politik Johor.

"Dengan berita terkejut hari ini, kemungkinan besar landskap politik Johor bakal berubah sekali lagi," katanya.


Darah naik 5 jam! Husni kongsi cerita

Ahmad Husni

PENGUNDURAN bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah daripada Kabinet dan Umno menimbulkan tanda tanya banyak pihak.

Sebelum ini, Ahmad Husni pernah berkata hanya mahu tumpu tugasnya sebagai ahli parlimen tanpa mengulas lanjut tentang tindakan diambilnya. Sinar Harian berpeluang bertemu Ahli Parlimen Tambun itu mengenai perkembangan terbarunya dan sudi menceritakan detik-detik yang membawa beliau mengambil keputusan berundur.

Bila Datuk Seri lepaskan semua jawatan kerajaan dan parti, kecuali sebagai wakil rakyat, masih ramai yang tidak puas hati dengan kenyataan ringkas Datuk Seri. Boleh ulas sedikit apa yang mendorong kepada tindakan itu?

Saya ada terfikir untuk letakkan jawatan tahun lalu. Saya tetapkan pada Januari 2016 sebagai tarikh akhir dalam Kabinet. Saya telah bincang dengan setiausaha politik menyatakan rasa tidak serasi dengan pembawaan pimpinan. Bila tiba Januari, saya rasa tidak tergamak pula untuk meletakkan jawatan, saya terus berkhidmat. Kemudian, pada April lalu niat hendak meletak jawatan kembali dan semakin kuat. Pada awal April itu, saya membeli alat bacaan tekanan darah untuk isteri bila pulang dari pejabat. Tiba di rumah jam 7 malam, saya pasang pada tangan saya untuk tunjuk pada isteri cara hendak menggunakan alat tersebut. Tetapi, saya pula yang terkejut apabila bacaan tekanan darah saya begitu tinggi.

Saya pergi ke Damansara Specialist Hospital. Doktor memeriksa kesihatan saya dengan rapi. Pada jam 12 tengah malam, tekanan darah mula turun. Saya merasa pelik mengapa tekanan darah saya tinggi selama 5 jam (7 petang hingga 12 malam). Tak pernah berlaku dalam sejarah hidup saya. Doktor membenarkan saya pulang pada jam 2.30 pagi, memberi cuti 3 hari dan minta saya datang semula untuk rawatan lanjut pada hari Jumaat.

Pada hari Jumaat, alhamdulillah, pemeriksaan menunjukkan jantung, darah dan air kencing tiada masalah. Saya juga tiada penyakit darah tinggi. Kesihatan saya baik. Kata doktor tekanan darah tinggi berpunca dari stres, kurang tidur dan kurang rehat.

Apa yang Datuk Seri fikir selepas doktor beritahu tekanan darah tinggi itu berpunca daripada stres?

Sudah beberapa bulan saya stres sebab 1MDB. Saya anggap tekanan darah tinggi selama lima  jam datang dari petunjuk Ilahi bagi saya menilai di mana saya harus berada. Ada kala saya terasa, bekerja secara lurus tidak ada tempat di dunia ini. Saya bertanya, adakah patut saya terus berada dalam Kabinet atau tidak? Saya membuat penilaian satu persatu dari sudut tubuh, minda, hati dan kerohanian, sejauh mana tertekan dengan permasalahan 1MDB?

Pada hari Sabtu, saya terbang ke Laos bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan Asean. Tengah hari, saya tidak berapa sihat. Saya beritahu pegawai-pegawai, saya tidak mampu untuk hadir mesyuarat pada sebelah petang. Seorang pegawai kanan Bank Negara berkata, "Semua orang tahu Datuk Seri tidak terlibat dengan urusan 1MDB. Mengapa Datuk Seri tertekan dengan isu 1MDB?" Kata-kata itu membuka mata hati saya...harus pisahkan antara kerja, perkara yang tidak melibatkan saya dan keadaan diri. Fikiran saya terasa lega. 1MDB tidak lagi mengganggu minda dan hati saya.

Setahu kami Datuk Seri seorang banker, kenapa Datuk Seri terlibat politik?

Setelah beberapa tahun bekerja di bank, saya bertukar kerjaya dan bekerja di anak syarikat sebuah agensi milik Kerajaan Negeri Perak pada tahun 1980-an. Di situ saya terdedah dengan tingkah laku sesetengah pemimpin yang menggunakan syarikat tersebut untuk mengumpul kekayaan. Atas penentangan ke atas amalan tersebut, saya laporkan kepada pucuk pimpinan. Tiada tindakan diambil, malah suatu hari seorang pegawai kanan agensi menelefon dan berkata kepada saya, "Awak duduk dalam kapal lanun. Ingat awak boleh jadi imam? Mampus awak!" Mungkin beliau berseloroh, tetapi saya ambil kenyataan itu serius, lalu saya kembali semula bekerja di sektor perbankan.

Beberapa bulan kemudian isteri saya bersalin anak sulung. Saya berada di sisi isteri dan baru saya sedar betapa seksa melahirkan seorang anak. Tiba-tiba saya terbayang apa masa depan anak saya di bawah pimpinan seperti tadi? Selepas membaca azan dan iqamat, saya berjanji pada anak, "Bapak akan jaga kamu."  Sejak itu, saya menyertai politik.

Saya dididik oleh bapa yang bekerja di Jabatan Agama Islam. Beliau juga seorang imam dan mengajar al-Quran. Ibu membantu bapa mengajar anak-anak muridnya membaca al-Quran. Saya terdedah kepada pengajian ilmu Tauhid, Usuluddin, Fiqah dan Tasawuf. Pemahaman saya, seorang pemimpin mestilah bersikap lurus dan tegas. Keutamaan pemimpin adalah kebajikan rakyat. Berteraskan kejujuran, keikhlasan dan integriti, maka setiap sen mestilah dibelanjakan untuk rakyat.

Dalam ucapan saya di Parlimen pada 15 Februari 2000, saya menekankan, "Kita hendaklah melahirkan individu yang mempunyai sistem nilai dan etika serta akhlak yang baik, bertanggungjawab, patuh kepada Tuhan serta berkemampuan untuk membangunkan negara dan masyarakat pelbagai kaum."

Kontroversi 1MDB sedikit sebanyak terpalit kepada Datuk Seri yang ketika itu memegang jawatan Menteri Kewangan ke II. Apa komen Datuk Seri?

Sebenarnya saya tidak tahu tentang penubuhan 1MDB. 1MDB ditubuhkan pada tahun 2009. Saya tidak dirujuk walaupun saya Menteri Kewangan II. Bila saya dapat tahu tentang penubuhannya, saya mempersoalkan mengapa perlu tubuh 1MDB? Pada faham saya, penubuhan sesebuah syarikat pelaburan memerlukan kajian mendalam melibatkan Kajian Fisibiliti, Risiko Perniagaan, Risiko Kewangan, Unjuran Aliran Tunai, Unjuran Untung Rugi dan Unjuran Imbangan Kewangan.

Saya tidak dilibatkan dalam urusan 1MDB sehinggalah pada tahun 2015. Pada awal tahun 2015 saya diminta untuk merangka jalan penyelesaian kepada masalah hutang 1MDB yang begitu tinggi dengan aliran tunainya yang negatif. Dengan izin ALLAH SWT, dengan bantuan SUSK, kami berjaya menyediakan Pelan Rasionalisasi 1MDB, namun saya tidak terlibat dalam perlaksanaan Pelan Rasionalisasi tersebut.

Saya berharap masalah 1MDB akan selesai. Saya berdoa agar setiap discrepancies dalam 1MDB dapat diatasi. Kita semua faham sebarang perkembangan negatif boleh menjejaskan rating negara yang akan membawa kepada kesan sistemik kepada keseluruhan ekonomi negara yang akhirnya akan merugikan negara dan rakyat.  Begitu juga dengan SRC, saya berharap akan diselesaikan segera. Dalam konteks kewangan kerajaan, uruslah secara berhemah. Pemberian tender hendaklah secara telus. Projek PPP mestilah dikaji mendalam dari konteks value for money. Kerajaan hendaklah menyediakan unjuran kewangan jangka panjang melihat akan kemampuan kerajaan membayar hutang dari projek PPP. Kita mesti ingat Hasil Pendapatan Negara pada masa depan tidak semewah seperti pada masa lalu.

Mengapa tiba-tiba Datuk Seri mengambil keputusan meletakkan semua jawatan?

Seminggu sebelum saya berundur dari Kabinet iaitu pada 21 Jun 2016, saya ke Jeddah bagi menghadiri mesyuarat bilateral dengan Presiden Islamic Development Bank (IDB). Sesampai saya ke hotel di Jeddah pada Isnin, jam 8.30 malam, seorang hamba ALLAH menemui saya untuk membawa saya mengerjakan umrah. Kami sampai di Makkah pada jam 2 pagi. Saya diperkenalkan kepada polis Masjidil Haram. Dengan bantuan polis Masjidil Haram saya selesai tawaf dalam waktu yang singkat. Selama setengah jam, walaupun di tengah-tengah ribuan orang yang melaksanakan tawaf semacam musim Haji. Ini kelaziman dalam bulan Ramadan.

di situ saya menunaikan solat sunat. Kemudian dibawa ke Hajar Aswad, saya menciumnya. Keseluruhan umrah selesai dalam 1 jam 10 minit. Setiba di bilik Hotel di Jeddah, saya duduk berfikir. Mengalir air mata mengenangkan diri saya seorang yang kerdil dalam kalangan 1.8 bilion umat Islam di seluruh dunia, bagaimana saya boleh menjadi tetamu yang istimewa di Makkah? Kekuatan kerohanian saya bertambah kukuh. Tiba-tiba terfikir apakah saya masih patut duduk dalam Kabinet?

Niat untuk berundur telah bermain dalam fikiran sejak beberapa bulan. Akhirnya, saya memutuskan untuk terus berkhidmat sehingga PRU ke-14 dan Kementerian Kewangan sebagai kementerian terakhir sebelum saya berundur dari Kabinet. Saya berfikir saya harus membantu YAB Perdana Menteri, saya harus hadapi semua risiko yang berkait dengan 1MDB dan SRC. Saya sedar bukan mudah duduk di Kementerian Kewangan. Kadangkala, ada individu-individu yang menghentam saya kerana tidak meluluskan permohonan tender secara rundingan terus dan tender terhad. Saya berpendirian tugas yang saya pikul adalah suatu amanah dari kerajaan dan Ilahi. Amanah ini harus saya pikul

berprinsipkan good governance. Saya berpegang kepada pendirian bahawa tanggungjawab kerajaan adalah untuk menjaga negara dan kepentingan rakyat.Selepas balik dari Jeddah, saya hadir satu mesyuarat. Mesyuarat ini diadakan 4 hari sebelum saya berundur dari Kabinet.Dalam mesyuarat itu, saya membangkitkan kebimbangan atas kejatuhan ranking negara dalam laporan rasuah Transparency International. Saya menyatakan sistem tender kita mestilah lebih telus. Saya dihentam. Peristiwa ini menyedarkan saya betapa di dunia ini terdapat elemen hipokrit. Saya menjangkakan konklusi mesyuarat tentulah saya diminta untuk menyediakan laporan dan cadangan yang lebih lengkap.

Yang akhirnya, pada pagi Isnin, 27 Jun lalu, semasa di pejabat, saya terkejut membaca sebuah akhbar bahawa saya akan dipindahkan ke kementerian lain dalam rombakan Kabinet yang akan dilakukan pada hari itu. Saya tidak dimaklumka lebih awal?

Nasib baik pada jam 11.30 pagi ada mesyuarat Majlis Ekonomi. Selepas mesyuarat pada jam 1.15 tengah hari, saya bertanya PM adakah benar beliau akan menukar saya ke kementerian lain seperti dilaporkan akhbar berkenaan?

PM menyatakan saya akan ditukar ke kementerian lain. Perbincangan itu mengambil masa dalam 2 minit. Saya mohon untuk berundur dari Kabinet.

Mengapa? Pertama, saya telah tanamkan dalam hati sejak umrah seminggu lalu, Kementerian Kewangan adalah kementerian terakhir sebelum saya bersara dari Kabinet. Kedua, saya tidak mampu menjadi pemimpin efektif berkhidmat di kementerian lain dalam tempoh 1 1/2 tahun sehingga PRU14. Selaras dengan itu, saya mengundurkan diri dari Kabinet dan oleh kerana saya merasakan tidak sesuai lagi memegang jawatan dalam parti, saya meletakkan semua jawatan dalam parti.

Bagaimanapun, saya masih Ahli Parlimen Tambun. Bagi jawatan ahli parlimen, saya dipilih rakyat, saya harus memegang amanah itu dan sanggup berkorban untuknya.

Setelah semuanya berlalu, apa harapan Datuk Seri?

Kita mesti melihat ke hadapan. Akhirnya masa hadapan kita ditentukan oleh ALLAH SWT. Sebagai ahli parlimen,

saya akan tingkatkan perkhidmatan kepada rakyat. Atas kedudukan sebagai Ahli Perundangan (Legislator), saya sedang membuat persiapan, apakah soalan-soalan dan ucapan-ucapan untuk menghadapi persidangan parlimen pada Oktober ini.

Saya masih memegang jawatan Presiden Asian Forum For Parliamentarian On Population And Development (AFPPD), Malaysia dan Timbalan Presiden Inter- Parliamentary Union, Malaysia. Saya telah bincang dengan pegawai-pegawai Parlimen untuk mengaktifkan peranan AFPPD.

Sekarang saya kerap memberi ucapan kepada pelbagai golongan, termasuk golongan muda, intelektual dan profesional.

Pada 26 Ogos yang lalu, saya diundang dan menyampaikan ucaptama pada persidangan tahunan Australian National University di Canberra, Australia. Saya

berucap di bawah tajuk 'Malaysia...A Political Journey'. Saya dapati di Australia juga, isu 1MDB begitu panas dibincangkan. Semasa naik teksi pun, pemandu teksi turut bertanya isu 1MDB.

Di Parlimen nanti, saya akan menyuarakan prinsip good governance yang harus menjadi asas kepada pemerintah untuk membawa kesejahteraan kepada masa depan negara dan rakyat. Kerajaan hendaklah bersih, cekap dan amanah berpegang kepada prinsip digniti dan integriti supaya rakyat boleh berpaut demi masa depan mereka. Alangkah indahnya

dunia jika semua ini terjadi? Saya petik semula ucapan saya di Parlimen pada tahun 2000, pemimpin mestilah mempunyai 'sistem nilai dan etika serta akhlak yang

baik, bertanggungjawab, patuh kepada Tuhan serta berkemampuan untuk membangunkan negara dan masyarakat pelbagai kaum.' Setiap sen dibelanjakan mestilah ke arah membina kesejahteraan serta kematangan negara dan rakyat. Jauhi kepentingan diri demi cintakan agama, negara dan rakyat.


Rahman Dahlan kecam Dr M sudah tidak waras


JOHOR BAHRU: Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Abdul Rahman Dahlan menyifatkan tindakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ini sudah sampai ke tahap tiada kewarasannya.

Beliau berkata apa sahaja tindakan yang dilakukan bekas perdana menteri itu, termasuk tidak menolak untuk bekerjasama dengan bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, sudah menjadi sesuatu yang bukan luar biasa lagi.

"Tun Mahathir sudah kelirukan satu negara dan saya rasa, apa yang beliau buat sekarang ini tidak lagi menjadi satu perkara yang luar biasa apabila sudah sampai di satu tahap di mana tindakan-tindakan beliau ini pada saya, tiada kewarasannya," katanya.

Abdul Rahman yang juga menteri di jabatan perdana menteri berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Gelang Patah, di sini hari ini. Turut hadir Ketua Umno bahagian tersebut, Mohammad Khairi A Malik.

Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir yang menegaskan tiada masalah bagi beliau untuk bekerjasama dengan Anwar, sama seperti yang dilakukan oleh Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Dr Mahathir muncul di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Isnin lepas untuk menghadiri pendengaran kes permohonan yang difailkan Anwar bagi mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

Pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu yang sebelum ini merupakan seteru politik adalah yang pertama sejak 18 tahun.

Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis itu, Abdul Rahman menggesa seluruh anggota Umno supaya sentiasa bersatu padu, menyemai sikap ikhlas dalam perjuangan parti serta menunjukkan taat setia yang tidak berbelah-bahagi kepada pemimpin.

Pengarah Komunikasi Strategik BN itu berkata semua itu bukan sahaja menjamin kelangsungan Umno malah dapat memenangi pilihan raya umum ke-14 nanti.

"Umno merupakan parti yang sentiasa konsisten kerana Umno mempunyai tujuan.

Perjuangan kita rapat kepada bangsa dan agama, namun kaum-kaum lain tidak dianaktirikan," katanya.


Korban bererti kebersamaan lawan kleptokrasi, kata Anwar

http://www.sinarharian.com.my/polopoly_fs/1.80355.1346368500!/image/image.jpg_gen/derivatives/landscape_400/image.jpg

Bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini meringkuk di penjara menggesa rakyat untuk menghayati pengertian nilai-nilai pengorbanan dalam melawan kemungkaran, penganiayaan dan amalan rasuah yang berleluasa dalam negara.

Dalam perutusan Aidil Adha, hari ini, Ketua Umum PKR mahu setiap rakyat mengambil iktibar kesabaran Nabi Ibrahim dan Ismail, bahawa keikhlasan, ketaatan dan kecintaan kepada Allah lebih utama dari diri sendiri dan anak pinak.

"Erti pengorbanan dalam konteks yang lebih luas adalah kebersamaan kita untuk bangkit menentang kebobrokan, amalan nepotisme serta kronisme dan sekarang telah ada istilah terkini kleptokrasi.

"Inilah yang diperjuangkan sekian lama," kata Anwar dalam perutusan Aidiladha bersama dengan isterinya yang juga adalah presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Buktinya, kata mereka, parti Umno hari ini berpecah dengan semua yang meninggalkan parti Melayu itu berkata, Umno sudah lari dari asas perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.

Menurut mereka, Umno hanya memenuhkan tembolok penguasa dengan melahap harta milik rakyat dan negara.

"Kita mesti melawan kemungkaran, penganiayaan dan amalan rasuah yang berleluasa dalam negara.

"Penguasa yang menzalimi rakyat, menindas rakyat dengan pelbagai cukai yang tidak munasabah seperti GST, menjarah harta negara menerusi skandal 1MDB yang memalukan negara di mata dunia, tidak harus kita diamkan.

"Allah menyuruh kita memperbetulkan kemungkaran dengan tangan, mulut atau sekurang-kurangnya membenci di dalam hati, yang merupakan selemah-lemah iman," kata mereka.

Justeru, bersempena dengan Aidiladha ini, Anwar bersama Wan Azizah mengajak rakyat untuk bersama memperjuangkan keadilan.

"Kita mengajak rakyat Malaysia untuk bersama dengan kita, memperjuangkan keadilan dalam erti kata sebenar.

"Kembalikan tampuk politik, perancangan ekonomi dan sistem sosial kita di landasan yang betul, untuk kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia, dari kalangan berbilang kaum dan agama," kata mereka.


Keluarlah ramai-ramai jika tidak suka Umno, cabar Annuar

KONGSI ARTIKEL INI

Tan Sri Annuar Musa mencabar ahli Umno yang tidak berpuas hati berada dalam parti itu agar segera meninggalkannya. — Foto Bernama

TEMERLOH, 11 Sept — “Terima kasih kerana keluar Umno sebab kita pun tidak mahu golongan musang berbulu ayam berada di dalam parti kerana ia hanya menjadi duri dalam daging.”

Itu reaksi ketua penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa ketika diminta mengulas tentang tindakan pengerusi tetap Umno Gelang Patah Datuk Baharom Abdul Ghani dan timbalan ketua Umno bahagian Kulai, Datuk Tosrin Jarvanti keluar parti semalam.

Katanya, tindakan tersebut tidak akan menjejaskan Umno sebaliknya akan memperkukuh lagi parti kerana golongan yang tidak setia pada perjuangan, satu demi satu telah meninggalkan parti.

“Ada orang tanya Umno tidak panik ke sebab mereka keluar parti, saya kata ‘tidak’. Malah kita ucap terima kasih, kita nak lebih ramai lagi yang tidak sukakan parti, sila keluar.


“Tetapi kita tidak akan sesekali menekan butang panik sebab satu yang keluar, 30 orang baharu yang masuk... kita hanya berbincang tentang mereka yang keluar sedangkan dalam tempoh sebulan ini, berpuluh ribu yang mendaftar keahlian baharu untuk menyertai Umno,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno bahagian Temerloh yang turut dihadiri oleh ketua Umno bahagian Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

Semalam dua veteran Umno itu mengumumkan keluar parti semasa menghadiri persidangan perwakilan bahagian masing-masing.

Mengulas lanjut, Annuar berkata sebagai anggota parti, seseorang itu harus istiqamah dan setia dengan perjuangan parti serta tidak mudah melatah apabila diuji dengan sesuatu krisis dalaman.

“Kita tidak nafikan apabila (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) dan Tun Dr Mahathir Mohamad tubuh parti baharu, ada yang hendak mengikut mereka.

“Negara ini mengamalkan prinsip demokrasi dan kita tidak halang mereka.

“Kita beri mereka kelulusan untuk tubuh parti baharu kerana menerima realiti demokrasi, siapa hendak ikut siapa tiada paksaan,” katanya. — Bernama

- See more at: http://m.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/keluarlah-ramai-ramai-jika-tidak-suka-umno-cabar-annuar#sthash.W4HTtVkA.dpuf

Sunday, 11 September 2016

Husni akui sangat tertekan urus isu 1MDB

Husni akui sangat tertekan urus isu 1MDB
11 Sep 2016, petang 4:18 (Dikemaskini 11 Sep 2016, petang 4:26)


Setelah dua bulan melepaskan jawatan dalam kerajaan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mengakui sangat tertekan dengan isu 1MDB sewaktu menjadi menteri kewangan kedua.

Malah, Ahmad Husni mendedahkan tekanan darahnya naik mendadak selama lima jam pada awal April lalu kerana begitu tertekan sebelum meletakkan jawatan, lapor Sinar Harian, hari ini.

“Sudah beberapa bulan saya stres sebab 1MDB. Saya anggap tekanan darah tinggi selama lima jam datang dari petunjuk Ilahi bagi saya menilai di mana saya harus berada.

“Ada kala saya terasa, bekerja secara lurus tidak ada tempat di dunia ini. Saya bertanya, adakah patut saya terus berada dalam kabinet atau tidak?”

“Saya membuat penilaian satu persatu dari sudut tubuh, minda, hati dan kerohanian, sejauh mana tertekan dengan permasalahan 1MDB?” katanya dalam wawancara dengan akhbar itu.

Walau tidak menyatakan dengan jelas masalahnya ketika mengendali isu tersebut, Husni, yang melepaskan jawatan secara mendadak pada 27 Jun, meluahkan tidak setuju dengan cara 1MDB dikendalikan.

Beliau menyebut ada pemimpin “hipokrit” mengendalikan isu berkaitan rasuah.

Beliau "dihentam" apabila cuba membentangkan langkah pembaikan sewaktu indeks tanggapan rasuah (CPI) Transparency International negara ini makin merosot.

Berikutan itu, Ahmad Husni merancang untuk meninggalkan kabinet sejak Januari lagi, tetapi terpaksa membatalkan niat itu kerana “tidak tergamak” melakukannya.

Namun, hasrat untuk berundur itu menjadi tekad setelah beliau mendengar kata-kata seorang pegawai kanan kerajaan yang berjaya membuka matanya untuk tidak lagi dibayangi masalah 1MDB.

Tak dirujuk

Ahmad Husni berkata keputusan tersebut dibuat ketika beliau berada di Laos bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan Asean.

“Saya beritahu pegawai saya, saya tidak berapa sihat pada sebelah tengah hari dan saya tidak mampu untuk hadir ke mesyuarat sebelah petang.

“Seorang pegawai kanan Bank Negara berkata ‘semua orang tahu Datuk Seri tidak terlibat dengan urusan 1MDB. Mengapa Datuk Seri tertekan dengan isu 1MDB?’

“Kata-kata itu membuka hati saya... harus pisahkan antara kerja, perkara yang tidak melibatkan saya dan keadaan diri. Fikiran saya terasa lega," luah Ahmad Husni.

Malah, Ahmad Husni berkata selepas kejadian itu 1MDB tidak lagi mengganggu minda dan hatinya.

Selain itu, Anggota Parlimen Tambun itu juga dipetik berkata walaupun memegang jawatan menteri kewangan kedua, beliau tidak pernah dimaklumkan tentang penubuhan 1MDB pada 2009.

"Sebenarnya saya tidak tahu tentang penubuhan 1MDB. 1MDB ditubuhkan pada 2009. Saya tak dirujuk walaupun saya menteri kewangan II.

"Bila dapat tahu tentang penubuhannya, saya mempersoalkan mengapa perlu tubuh 1MDB?” soal Ahmad Husni.

Tak libat diri

Mengulas lanjut Ahmad Husni berkata ini kerana penubuhan sesebuah syarikat pelaburan memerlukan kajian mendalam melibatkan Kajian Fisibiliti, Risiko Perniagaan, Risiko Kewangan, Unjuran Aliran Tunai, Unjuran Untung Rugi dan Unjuran Imbangan Kewangan.

Namun, apabila kontroversi syarikat pelaburan itu memuncak, beliau ditugas menyediakan jalan penyelesaian hutang 1MDB yang begitu tinggi dengan aliran tunainya yang negatif.

"Saya tidak libatkan diri dalam urusan 1MDB sehinggalah tahun 2015 di mana pada awal tahun tersebut saya diminta untuk merangka jalan penyelesaian kepada masalah hutang 1MDB yang begitu tinggi dengan aliran tunai yang negatif.

"Dengan izin Allah swt, dengan bantuan SUSK kami berjaya menyediakan Pelan Rasionalisasi 1MDB,namun saya tak terlibat dalam pelaksanaan pelan tersebut," kata Ahmad Husni.

Sinar Harian juga memetiknya berkata, dirinya amat berharap masalah 1MDB dapat diatasi kerana sebarang perkembanngan negatif boleh menjejaskan rating negara.

Malah, katanya, ini juga akan membawa kesan sistemik kepada keseluruhan ekonomi negara yang akhirnya akan merugikan negara dan rakyat.

Ahmad Husni meletakkan jawatan pada akhir Jun lalu secara mendadak, sejurus sebelum Najib mengumumkan rombakan kabinet, menimbulkan tanda tanya dan spekulasi.

Beliau juga meletakkan semua jawatannya dalam Umno di peringkat pusat, negeri dan bahagian dan hanya kekal sebagai wakil rakyat kawasan tersebut.

Pada waktu itu Ahmad Husni menafikan pengundurannya ada kaitan dengan syarikat kontroversi 1MDB.