Sunday, 7 August 2016

Parti baharu Dr M mampu celakakan Umno – Bung Mokhtar

Parti baharu Tun Dr Mahathir Mohamad mampu ‘mencelakakan’ Umno jika penubuhan parti itu dianggap remeh oleh ahli dan kepimpinan Umno.

Kebimbangan itu disuarakan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Bung Moktar Radin yang senada dengan kenyataan Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin bahawa parti baharu Dr Mahathir mampu bertahan lama dan bergerak jauh.

“Parti baharu Tun Mahathir tidak boleh dianggap enting (remeh) atau seolah ia hanya parti serpihan dan tidak mendatangkan apa-apa ancaman kepada Umno. Inilah masanya untuk Umno fokus ke arah memperkuatkan parti supaya beri keyakinan kepada ahli dan rakyatnya.

“Kalau ahli Umno leka, maka kesilapan besar akan berlaku dan Umno bakal ‘dicelakakan’ oleh parti pembangkang,” katanya kepada FMT.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu juga mengakui, status parti tertua tidak akan memberi jaminan kepada Umno, parti Melayu itu untuk kekal memerintah.

“Walaupun Umno sebuah parti yang berjaya tetapi sejarah tidak akan membantu Umno untuk terus kekal sebagai pemerintah, kecuali Umno sendiri melibat gandakan usaha ke arah itu,” katanya.

Terdahulu kebimbangan sama disuarakan Khairy apabila mengingatkan pemuda Umno supaya tidak mengambil mudah penubuhan parti baharu Dr Mahathir dengan beranggapan parti kecil itu tidak akan bertahan lama.

Katanya, adalah terlalu angkuh untuk menganggap sedemikian kerana parti baharu itu ditunjangi nama-nama besar seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir selain Dr Mahathir sendiri.

TPPA: Kenapa kita rela jadi tali barut AS? – Ku Li

TPPA: Kenapa kita rela jadi tali barut AS? - Ku Li
Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mempersoalkan tindakan kerajaan yang tidak mengambil langkah untuk meneruskan perundingan kerjasama perniagaan dengan Amerika Syarikat (AS) melalui FTA berbanding Perjanjian Kerjasama Trans- Pasifik (TPPA).

Beliau berkata, dengan TPPA akan membuka ruang yang lebih luas kepada AS untuk melebarkan kuasa ekonomi dan pasaran buruh mereka ke negara terbabit TPPA dengan terbina syarikat multinational yang menawarkan peluang kepada rakyat tempatan dalam masa sama membawa masuk rakyat AS ke negara ini, seperti berlaku di negara China, India dan latin Amerika.

“Kenapa kita nak jadi tali barut dengan AS jika kita nak berniaga kita boleh berunding dengan mereka.

“Kenapa kita tidak boleh berunding dengan mereka jika mereka beri layanan yang baik pada satu negara lain, kenapa kita tidak boleh atas layanan sama untuk diberi kepada kita pula.

“Jika AS fikir kita adalah rakan dagang yang baik untuk mereka, sehingga kita pula buka peluang kepada syarikat-syarikat multinational AS yang ada di negara ini yang merasakan dasar dijalankan kerajaan atau cara dikendalikan oleh syarikat tempatan tidak secocok dengan cara mereka, maka mereka boleh membawa kes ini bukan di dalam mahkamah di negara kita, tetapi di mahkamah negara mereka untuk mendakwa kita kelak.

“Bagamana kita nak lawan mereka, dengan menguna penguam mereka untuk mempertahankan kedudukan kita di negara mereka.

“Ini yang saya tidak faham, saya tanya Mustapa (Datuk Seri Mustapa Mohamed -Menteri Miti) dia sendiri tak boleh jawab benda-benda macam ini,” ujar mantan Menteri Kewangan ini.

Tengku Razaleigh berkata demikian ketika menjawab soalan salah seorang peserta mengenai TPPA ketika hadir dalam majlis suai kenal anjuran Ikatan Cendiakawan Kelantan (iCEK) di Taman Tun Dr. Ismail semalam.

Majlis ini dihadiri di kalangan pemimpin politik dari semua parti, NGO, ahli akademik dan profesional, di kalangan warga Kelantan.

Beliau juga memberitahu kerajaan dan rakyat perlu melihat TPPA dari setiap sudut kebaikan dan keburukan jika dilaksanakan di negara ini.

“Majoriti ahli parlimen Umno telah diperintah supaya mengundi TPPA saya tak mengundi kerana saya masuk bilik pergi kencing jadi tak mengundi itu bezanya yang mengundi yang tak kencing dan kencing tak mengundi,”selorohnya pecah derai ketawa hadirin untuk membawa maksud beliau menolak TPPA ketika dibahaskan di Parlimen Januari lalu.

Jelas beliau kerajaan perlu lihat dari banyak sudut TPPA yang menguntungkan dan merugikan negara tetapi amnya kata beliau lagi apa yang penting kerajaan dapat menjaga kepentingan bangsa, agama dan kedaulatan negara.

“ Kalau kita nak berniaga bila-bila masa kita boleh berniaga, negara kita hingga hari ini maju juga tanpa TPPA. Tidak ada sebab untuk mendirikan satu pakatan atau blok perdagangan kerana disuruh oleh orang (AS).

“Mengapa tiba -tiba secara sulit berunding dan kemudian pula paksa rakyat terima.Saya rasa tak kena. Saya rasa elok kita tengok sejauh mana TPPA ini akan beri kemajuan kepada perdagangan negara kita.

“Bagi saya Malaysia negara kecil kita akan ketinggalan dalam perlumbaan perdagangan ini. Apa yang penting bagi kita sekarang tumpu kepada Asia, ini kerana di sebelah barat sana seperti di Eropah Barat, AS dan Amerika Latin tidak mampu kita tembusi pasaran mereka.

“Seperti di negara timur tengah yang berada dalam keadaan begini mereka tidak boleh masuk atau keluar sesuka hati untuk berdagang. Mereka hanya jadi pembekal barang mentah kita tidak mahu jadi hamba selama-lamanya begitu. Kita patut ubah itu pandangan saya,” ujarnya.

Dalam majlis ini salah seorang hadirin mengemukakan pandangan adakah perlu satu gerakan massa dilakukan dikalangan NGO untuk mendesak kerajaan menolak TPPA secara total.

Dalam hal ini Tengku Razaleigh menyatakan pendirian beliau tidak suka kepada pihak-pihak yang menganjurkan demontrasi dan mahu menukar kerajaan.

“Saya bukanlah orang yang suka anjurkan demontrasi atau nak tukarkan kerajaan, tidak sama sekali.

“Di Korea bila tak bersetuju dengan kerajaan mereka buat macam-macam. Civil disobedience dibuat oleh Gandhi hingga British tunduk kepada rakyat India. Kerajaan diktator Korea pun kalah kerana rakyatnya bertindak.

“ Jika ada kesedaran di kalangan rakyat kita bahawa Parlimen sudah tidak boleh digunakan lagi (menolak TPPA), ada cara lain minta Raja-Raja pertimbangkan, apapun mesti bermula dari rakyat untuk mengerakkan usaha ke arah itu,”ujarnya.

Aduhai KM Melaka.. nie kenyataan terlebih DEDAK & AMPU rasanya..!!!

'Lepas Iraq, sekarang AS nak bunuh Melayu pula'


Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron mendakwa Jabatan Keadilan Amerika Syarikat adalah sebahagian daripada helah politik untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak dan orang Melayu.

Idris mempersoalkan kredibiliti DOJ berbuat demikian dengan merujuk pencerobohan Amerika Syarikat ke atas Iraq pada tahun 2003 serta dakwaan bahawa presiden Iraq ketika itu, Saddam Hussein memiliki senjata pemusnah besar-besaran.

"Kita nak beritahu Amerika, ini Asia Tenggara, ini Malaysia. Negara kita tanggungjawab kita. Apa kredibiliti Department of Justice itu?

"Serangan ke atas Iraq, (Amerika) kata apa? Ada senjata kimia besar-besaran; senjata kimia yang boleh memusnah dan sebagainya. Sampai mati Saddam Hussein, hari ini satu inci laras senjata kimia pun tak jumpa di Iraq.

"Kau tipu orang Iraq, kau bunuh orang Iraq, sekarang kau nak bunuh pula orang Melayu di Malaysia.

"Tuan puan, kita kena bangkit. Ini tidak lain dan tidak bukan daripada political plot untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib, sebab dia tahu dengan polisi Datuk Seri Najib bawa ini, boleh angkat Melayu dihormati dan disegani satu dunia," ujarnya.

Idris memberikan ucapan tersebut ketika merasmikan mesyuarat Umno bahagian Ampang bagi sayap pemuda, wanita, dan puteri parti itu.

DOJ bulan lalu mendakwa kira-kira AS$ 3 bilion telah disalahgunakan daripada dana 1MDB. Ia memfailkan saman sivil bagi merampas AS$ 1.5 bilion dalam bentuk aset, yang didakwa hasil pengubahan wang haram melalui sistem kewangan AS.

Sebagai tindak balas, Peguam Negara Tan Sri Mohd Apandi Ali mendakwa tidak ada bukti penyelewengan daripada siasatan yang dilakukan. Bagaimanapun siasatan polis masih berjalan.

Terdapat spekulasi menyebut Najib merupakan individu dinamakan sebagai Malaysian Offical 1 dalam dokumen-dokumen mahkamah terbabit, yang didakwa di antara mereka yang mendapat kelebihan daripada penyelewengan itu.

Najib bagaimanapun secara konsisten menafikan salah laku tersebut, manakala Apandi sebelum ini membebaskan beliau daripada tuduhan itu.