advertiser

Sunday, 4 December 2016

Perwakilan Umno sindir Najib bab derma pak arab


PAU 2016 Perwakilan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rizuan Abd Hamid mendakwa kehebatan Malaysia di mata dunia luar adalah kerana adanya pemimpin hebat bernama Datuk Seri Najib Razak.

Rizuan berkata kehebatan perdana menteri itu juga telah membuka hati putera Arab Saudi untuk mendermakan kekayaannya kepada Malaysia.

"Pasaran halal dunia sekarang bernilai USD2.3 trilion. Produk Malaysia tahun ini juga dijangka USD41 bilion, betapa hebatnya Malaysia di kaca mata dunia.

"Kenapa? Kerana dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Orang Islam di serata dunia hormat perdana menteri kita sebab itu putera Arab Saudi bagi (Malaysia) duit, bagi duit kepada perdana menteri untuk kegunaan bertanding pilihan raya.

"Bukan untuk dipakai diri sendiri," kata Rizuan ketika membahaskan usul agama dan pendidikan di perhimpunan agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Mengulas lanjut, Rizuan menyeru semua pihak khususnya pembangkang agar tidak lagi terus menerus melemparkan fitnah kepada pemimpin negara itu.

"Ini terbukti, jadi janganlah kamu wahai pembangkang melemparkan berbagai fitnah kepada presiden," kata Rizuan.

Najib sebelum ini mendakwa dana itu sumbangan dari ahli keluarga diraja Arab.

Bagaimanapun, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) pada Julai mengumumkan saman sivil untuk mendapatkan lebih AS$ 1 bilion aset yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Najib menerima kritikan pembangkang berhubung dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan 1MDB yang dibebani hutang dan deposit wang ke akaun peribadinya kira-kira AS$680 juta.

Perdana Menteri bagaimanapun secara konsisten menafikan sebarang salah laku dan menyatakan sumber wang itu bukan daripada 1MDB.

Beliau juga berkata dana itu tidak digunakan untuk kepentingan peribadi.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, wang itu adalah hadiah daripada keluarga diraja Saudi, dan mendakwa kebanyakannya telah dikembalikan.

No comments:

Post a Comment