advertiser

Thursday, 22 December 2016

Mahathir takjub lihat penyokong Najib

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau berasa takjub dengan kesanggupan individu tertentu - termasuk yang berpendidikan tinggi serta berpengetahuan - tunduk (kowtow) kepada Datuk Seri Najib Razak.

Menurut bekas perdana menteri keempat Malaysia itu, pihak yang berkenaan juga tergamak mencium tangan Najib yang digelarnya sebagai pemimpin yang dipuja-puja.

Menulis pada blognya Dr Mahathir berkata individu terbabit tentu tahu ada "bukti mencukupi" untuk Jabatan Kehakiman AS mengaitkan perdana menteri dengan skandal 1MDB yang disiasat pihak berkuasa di negara berkenaan.

"Tetapi mereka terus menerimanya (Najib) sebagai pemimpin, berkerumun di sekelilingnya untuk bersalaman dan mencium tangannya. Kelompok elit tertinggi pun bersama dia," kata bekas perdana menteri selama 22 tahun itu.

Di negara lain, tulis Dr Mahathir, seseorang pemimpin akan disingkirkan - atau sekurang-kurangnya digantung - apabila siasatan ke atasnya dijalankan bagi memastikan kesahihan sesuatu dakwaan.

Berbeza di Malaysia, katanya, apabila orang ramai termasuk pemimpin yang dilantik parti dalam kerajaan dan kedudukannya sangat penting, masih terus menyokong kepimpinan Najib.

"Apabila ditanya, mereka menegaskan, walaupun ada tuduhan rasuah dan penipuan ditujukan kepadanya, di dalam negara dan seluruh dunia beliau tidak disabitkan dengan sebarang tuduhan.

"Sehingga beliau didapati bersalah, mereka terus menganggapnya sebagai pemimpin yang sah," kata Dr Mahathir.

Mendakwa pihak berkuasa melindungi perdana menteri, Dr Mahathir berkata dengan alasan itu penyokong Najib boleh dianggap bersekongkol melakukan kesalahan.

"Mereka benar-benar patut berasa malu. Sesungguhnya mereka mengkhianati rakyat yang melantik mereka berkuasa mengikut undang-undang negara dan demokrasi," katanya.

Najib yang dituduh terlibat dalam skandal 1MDB selama ini menafikan beliau menyalahgunakan dana awam untuk kepentingan peribadinya.

Sebaliknya perdana menteri berkata tuduhan berkenaan dibuat oleh Dr Mahathir dan sekutu pembangkang untuk menggulingkan beliau daripada kuasa.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali juga sudah membersihkan Najib daripada sebarang salah laku.

Pihak berkuasa pula menafikan mereka cuba melindungi Najib dalam siasatan kes berkenaan.

No comments:

Post a Comment