advertiser

Friday, 4 November 2016

Masalah pembnagkang sekarang ialah Tidur sebantal, mimpi lain-lain

Tidur sebantal, mimpi lain-lain
FMT / Oleh Yunus Tasim


Pilihan raya umum ke-14 (PRU14) tidak lama lagi. Kalau tidak bulan April, besar kemungkinan Disember 2017. Tempoh kerajaan Datuk Seri Najib Razak akan berakhir Mei 2018. Tidak mustahil Najib mempercepatkan tarikh PRU14 berdasarkan beberapa faktor dalaman dan luaran.

Salah satu faktor luaran yang mesti dieksploitasi sepenuhnya sekarang ialah perpecahan parti pembangkang di Malaysia. Ini semua orang tahu. Najib tahu, presiden PAS tahu, menteri besar Selangor tahu, ketua menteri Pulau Pinang tahu, Tun Dr Mahathir Mohamad pun tahu.

Sedang parti pembangkang tercungap-cungap mencari jalan penyelesaian, tentunya Najib menggunakan sepenuhnya untuk mengekal pemerintahan Umno dan Barisan Nasional.

Dan kemungkinan besar Najib menggunakan lawatannya ke China dan penganugerahan projek berbilion ringgit kepada China sebagai salah satu jalan keluar membayar hutang 1MDB dan anak syarikatnya.

Sebab itu Najib tak ambil pusing dengan kritikan terhadap dirinya dan 1MDB. Najib tahu dia mempunyai masa untuk memastikan dia menjadi hero untuk menyelesaikan hutang dan kemelut 1MDB dan membersihkan namanya yang busuk bukan sahaja di Malaysia malah di dunia.

Itu apa yang disampaikan bekas timbalannya yang semestinya tahu sedikit sebanyak apa yang berlaku di belakang tabir.

Itu realiti Najib, Umno dan BN! Yang paling pelik bin ajaib, parti pembangkang seolah-olah ketandusan idea mencari jalan penyelesaian membetulkan keadaan dan menyelamatkan negara daripada “angkara” Najib.

Sedang mereka bertempik sorak tentang 1MDB, GST dan sebagainya, satu perkara utama seolah-olah dilupakan. Kalaupun dibuat, tetapi tidak kelihatan perkembangan positifnya.

Selagi pembangkang tidak bersatu, Umno dan BN tidak akan tumbang. Selagi tidak ada satu lawan satu, selagi itu Najib dan BN boleh tersenyum lebar. Ini terbukti di Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Dan jika ini berulang, maka Najib dan Umno akan terus bermaharaja lela.

Pembangkang bukan hanya perlu bersatu. Tetapi semua pembangkang mesti menggunakan satu simbol dalam PRU14. Apakah ini akan berlaku? Apakah pendaftar pertubuhan akan meluluskan? Walaupun lagi 4 hingga 12 bulan, tetapi sebenarnya pembangkang tidak punya masa yang panjang. Mereka harus bertindak cepat.

Parti pembangkang beberapa kali “bergabung” tetapi tidak bertahan lama. Tidak seperti parti dalam BN. Mungkin kerana tidak berkuasa dan tidak ada habuan? Pembangkang banyak kali cuba tidur sebantal, malangnya mimpi mereka berbeza-beza dan akhirnya bukan sahaja tidak sebantal, malah tidak sekatil. Pisah ranjang!

Bermula dengan Angkatan Perpaduan Ummah, Gagasan Rakyat, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan kini Pakatan Harapan. Pakatan mereka tidak bertahan lama. Ada saja karenahnya.

Dan yang sering menjadi punca perpecahan adalah PAS dan DAP. Apa pun, DAP dan PAS harus sedar dengan bersatunya parti pembangkang, walaupun sebentar, mereka dapat memecahkan monopoli Umno/BN, menafikan 2/3 kerusi parlimen dan menawan negeri penting.

Apakah formula untuk bersatu? Apakah perlu mereka memohon untuk tubuhkan parti gabungan induk dan menggunakan satu simbol?

Ini harus dilakukan dengan cepat. Yang tak mahu sertai, tinggalkan sampai parti itu jadi tidak relevan atau kambing yang bersendirian yang mudah dimakan serigala.

Untuk bersatu, parti berideologi tidak boleh terlalu jumud dengan interpretasi ideologi dan pegangannya. Sebab itu pemikir terkenal dan pemimpin Ennahda Tunisia, Rached Ganouchi menyatakan partinya memutuskan untuk memisahkan aktiviti keagamaan dengan politik. Tentunya kenyataan Ganouchi ini tidak ngam dengan parti berasaskan Islam di Malaysia.

Mereka akan hanya dapat bersatu jika mereka bersatu dari segi tujuan. Tujuannya terpampang luas, amat terang, tidak lagi perlu bersuluh. Apa lagi kalau tidak kemungkaran Umno dan BN, salah guna kuasa, urus tadbir pincang, GST dan harga barang yang membebankan rakyat. Dan bermacam lagi kalau mahu diperincikan.

Apakah ini tidak cukup untuk parti pembangkang mengenepikan perbezaan, melihat semula interpretasi ideologi masing-masing, mengenepikan ego ketua dan struktur parti?

Tidak banyak lagi negara yang memiliki parti dominan yang menang pilihan raya. Akhirnya parti yang menang terpaksa membentuk pakatan untuk memerintah. Ini yang dikatakan “rainbow coalition” atau koalisi pelangi. Dan tentunya koalisi ini tidak berideologi selain daripada ingin membangunkan negara mereka dengan yang lebih baik.

Dengan tertubuhnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Dr Mahathir boleh merintis persepakatan koalisi pelangi ini dan membina struktur permuafakatan yang lebih teratur dan berdisiplin agar tiada lagi presiden yang pandai-pandai veto mengingkari keputusan majlis presiden.

Yang penting, buangkan ego masing-masing, kurangkan tamak kerusi walaupun tahu tak boleh menang dan fokuskan kepada satu tujuan untuk menumbangkan pemimpin Umno dan BN.

Ini berlaku ke atas Golkar di Indonesia, LDP di Jepun dan banyak lagi parti yang pernah memerintah di dunia. Dan tidak salah setelah ego dan keangkuhan mereka runtuh, rakyat memilih mereka memerintah kembali dengan lebih baik, mendahulukan kebajikan rakyat dan mementingkan negara. Itupun jika mereka sedar!

Kepada pembangkang, selamat maju jaya dan selamatkan Malaysia tercinta.

* Yunus Tasim seorang pembaca FMT.

No comments:

Post a Comment