advertiser

Thursday, 20 October 2016

Kisah Nasi Lemak Anak Dara & Impian Rakyat Malaysia Terhadap Bajet 2017

Oleh Hayar Hassan


Mengikuti kisah graduan muda Siti Hajjar Ahmad, lulusan sarjana muda Ijazah Kejuruteraan Elektronik Perubatan Universiti Tun Hussein On (UTHO) berjualan nasi lemak “Anak Dara” di Shah Alam membuatkan saya hiba dan separuh kagum. Hiba apabila mengenangkan delima ribuan anak-anak muda kita dewasa ini mencari pekerjaan selepas mereka menamatkan pengajian tinggi mereka di pusat-pusat pengajian tinggi di dalam negeri dan di luar negara.

Entah berapa angka yang tepat mereka ini tidak diketahui. Mungkin Jabatan Tenaga Rakyat Malaysia mempunyai angka yang hampir tepat, tetapi tidak dihebohkan. Dikhabarkan kadar pengangguran sekarang ini adalah sekitar 3.5%. Ini adalah yang tertinggi sejak tahun 2010.

Jujur, saya amat kagum terhadap Siti Hajjar Ahmad(SHA) yang memberanikan diri berjualan nasi lemak “ Anak Dara” di Shah Alam sampai dikenakan saman oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor. Lebih menarik lagi apabila remaja ini bijak menguruskan masaalahnya dengan MBSA sehingga mendapat perhatian YAB Dato’ Seri Azmin Ali , Menteri Besar Selangor. Walau pun dirinya seorang wanita, SHA berazam untuk tidak menyusahkan keluarganya . Dikhabarkan pendapatan SHA sebulan adalah melebihi gaji permulaan seorang jurutera muda ! Negara ini masih perlu melahirkan lebih banyak lagi srikandi seperti SHA ini.

Semoga SHA terus berjaya dalam kerjayanya.

Namun demikian, realitinya begitu banyak sekali isu-isu yang berkaitan dengan kerjaya dan keperluan mendesak rakyat Malaysia dewasa ini. Semuanya adalah berpunca dengan bajet Negara yang tidak diurus dengan baik dan bijak untuk tempoh yang sudah terlalu lama.

Tulisan Dr Dzulkifly Ahmad dan Liew Chin Tong dalam Malaysiadateline bertarikh 5 Oktober 2016 atas tajuk “Bajet 2017: Membendung Dana Gelap JPM Sebagai Keutamaan Negara” adalah suatu yang menarik untuk direnungi oleh semua pihak terutamanya pihak Kerajaan Malaysia yang bakal membentangkan lagi Bajet 2017 pada sidang Parlimen akan datang.

Dikhabarkan juga, sudah ramai rakyat Malaysia yang sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah di universiti-universiti di luar Negara diarahkan pulang ke tanah air tanpa menamatkan pengajian mereka. Mereka ini adalah bakal-bakal pensyarah di beberapa buah universiti awam di Malaysia. Alasan yang diberikan adalah kerana pihak penganjur sudah kehabisan dana. Dulu kisah-kisah sebegini belum pernah terdengar terjadi.

Beberapa minggu lepas, tersebar pula cerita 150 orang pelajar perubatan Malaysia di Mesir yang masih belum melunaskan pembiayaan pengajian mereka yang tertunggak, mencecah sekitar RM4.5 juta. Dikhabarkan juga setiap seorang pelajar perubatan tersebut perlu menyediakan jumlah yuran sekitar RM35,000.00 setahun. Sewajarnya Kerajaan membantu pelajar-pelajar perubatan ini menyelesaikan pengajian mereka kerana Malaysia masih lagi kekurangan tenaga doktor-doktor terlatih.

Di samping itu tersebar juga berita pelajar-pelajar matrikulasi tajaan Kementerian Pelajaran Malaysia(KPM) dan Kementerian Penajian Tinggi (KPT) masih lagi belum menerima elaun pengajian mereka. Sepertinya berita-berita di atas ada kaitannya dengan masalah urustadbir kewangan Negara. Semacamnya ada begitu banyak perkara yang tidak beres berkaitan dengan bajet 2016 walau pun kita sudah berada di ambang tahun 2017. Semasa pembentangan bajet 2016 setahun lalu, semuanya cantik di atas kertas. Menteri kewangan memberikan sejuta harapan dan ribuan impian untuk seluruh rakyat Malaysia.

Saban tahun, apabila Parlimen Malaysia bersidang pada bulan Oktober, tentunya pembentangan bajet tahun berikutnya diberikan perhatian oleh semua rakyat. Daripada nelayan, pesawah, petani di kampong hinggalah penjawat awam, pekerja swasta, peniaga, pengusaha dan tokoh-tokoh korporat semuanya mengharapkan bajet yang akan menggembirakan semua rakyat. Harapan rakyat begitu tinggi sekali, sepertinya kita mengharapkan sebutir pingat emas Sukan Olimpik. Semua rakyat, tanpa mengira asal keturunan, budaya, pegangan agama dan kedudukan ekonomi begitu mengharapkan berita- berita gembira selepas Menteri Kewangan Malaysia membentangkan bajet tahun berikutnya.

Setelah mengikuti ulasan dan komen-komen berkaitan Bajet 2016 setahun lalu, saya tertanya- tanya juga dimanakah terselitnya istilah “Dana Gelap” yang disentuh oleh Dr Dzulkifli Ahmad dan Saudara Liew Chin Tong itu! Bagi orang biasa, perbelanjaan-perbelanjaan yang dibuat untuk tahun 2016 semestinyalah sudah diperuntukkan dalam bajet 2016. Perbelanjaan yang dibuat di luar bajet adalah suatu salahurus kewangan, kecuali lah pembetulannya telah dibuat. Sepertinya adalah suatu yang amat memudaratkan ekonomi Negara seandainya Perdana Menteri sendiri juga menjaga kewangan Negara. Siapalah yang dapat membantah keputusan-keputusan yang telah dibuat oleh seorang Perdana Menteri.

Walau apa pun, untuk Bajet 2017 yang bakal dibentangkan dalam sessi Parlimen akan datang ini , rakyat biasa cukup mendambakan beberapa perkara asas. Perkara-perkara asas tersebut adalah peluang pekerjaan yang banyak untuk semua pencari kerja, dana bantuan untuk melanjutkan pelajaran yang mencukupi, kos perkhidmatan rawatan kesihatan yang tercapai oleh semua golongan, lebih banyak rumah mampu milik, inflasi yang lebih terkawal, kadar jenayah yang rendah, sistem pengangkutan awam yang lebih efisen, kehidupan harian yang lebih harmoni dan banyak lagi. Kesimpulannya rakyat cukup mendambakan Negara yang aman dan makmor.

Rasanya semua rakyat sudah jemu dengan sajian berita-berita skandal kewangan dan salahurus wang Negara yang sepertinya tiada penghujungnya. Ketirisan wang perbelanjaan wang Negara sememangnya boleh ditangani dengan berkesan seandainya semua pihak memainkan peranan mereka masing-masing. Melahirkan jutawan-jutawan segera melalui cara-cara yang tidak dibenarkan adalah bukan suatu kaedah penyelesaian ekonomi rakyat. Ianya adalah kronisma yang melampau !

Jabatan Audit Negara, SPRM, PDRM, Jawatankuasa Kira-Kira Awam Parlimen@Parliment Public Account Comitte (PAC), Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kehakiman dan lain-lain jabatan sebenarnya telah mempunyai tugas dan tanggongjawab masing-masing. Seandainya semua memainkan peranan masing-masing tanpa di pengaruhi oleh pihak lain, Negara ini pastinya akan menjadi lebih makmur dan aman.

Akhirnya marilah kita merenungi dan mengambil iktibar terhadap sebuah Hadis dari Abu Said al-Khudri r.a, katanya: “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa di antara engkau semua melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah mengubahnya itu dengan tangannya, jikalau tidak dapat - dengan atau kekuasaannya, maka dengan lisannya – dengan jalan menasihati orang yang melakukan kemungkaran tadi – dan jikalau tidak dapat juga – dengan lisannya, maka dengan hatinya – maksudnya hatinya mengingkari serta tidak menyetujui perbuatan itu. Yang demikian itu – yakni dengan hati saja – adalah selemah-lemahnya keimanan. “ (Riwayat Muslim)

Sekian, Terima Kasih. Hayar Hassan

No comments:

Post a Comment