advertiser

Saturday, 10 September 2016

Tun Mahathir sekarang ini dikatakan melakukan sebesar-besar pengkhianatan terhadap Malaysia

Dr. Mahathir lakukan sebesar-besar pengkhianatan

Salleh Said Keruak

KUALA LUMPUR 6 Sept. - Tun Dr. Mahathir Mohamad melakukan sebesar-besar pengkhianatan terhadap Malaysia apabila beliau meminta kuasa asing supaya campur tangan dan menumbangkan kerajaan yang dipilih rakyat Malaysia, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.

Katanya, ini semua demi memenuhi kepentingan politik peribadi bekas Perdana Menteri itu.

"Malaysia di bawah kerajaan yang ada sekarang tidak akan sekali-kali membenarkan pihak asing untuk campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara kita. Semua cubaan mereka (pengkritik) telah gagal dan akan terus gagal," katanya dalam satu kenya­taan yang dimuat naik dalam blog­nya sskeruak.blogspot.my.

Dalam kenyataannya de­ngan tajuk berita Campur Tangan Luar, Sabotaj dan Dwistandard, menteri itu berkata: "WSJ (Wall Street Journal) dan mereka di belakangnya tentu amat kecewa apabila setiap serangan yang dilakukan, Malaysia, kerajaan, Barisan Nasional dan Perdana Menteri menjadi semakin kuat."

Salleh berkata, sejak lebih setahun lepas, sebuah akhbar Amerika Syarikat melancarkan serangan demi serangan terhadap Malaysia.

"Namun, tidak satu pun dalam sekian banyak serangan oleh WSJ itu berupaya menyertakan bukti konkrit atau memberi nama orang yang membuat dakwaan seperti yang dilapor­kannnya. Oleh itu, bagaimanakah kita hendak percayai segala apa yang mereka tulis?," katanya.

Salleh berkata, kini WSJ mengakui Tawaran Awam Permulaan (IPO) yang dirancang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak dapat diteruskan kerana terdapat laporan negatif.

"Hakikat sebenarnya ialah IPO itu sengaja disabotaj. Media tertentu seperti WSJ melancarkan kempen secara global, bertindak seperti kenderaan yang membawa pasukan bermotifkan politik seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad.

"Mereka tahu, tindakan mensabotaj IPO itu akan mewujudkan masalah kewangan bagi 1MDB. Sekiranya syarikat itu dibiarkan meneruskan program rasio­nalisasinya, ia akan berjaya," katanya.

Salleh berkata, aneh­nya kempen terhadap Malaysia hanya dilancarkan apabila persoalan serius di­timbulkan tentang hu­bungan antara perniagaan dan politik di negara WSJ sendiri.

"Bolehkah kita terima apabila Jabatan Keadilan Amerika hanya menyiasat yang bersangkut paut dengan Malaysia sahaja? Berapa banyakkah individu dan entiti Amerika Syarikat yang disiasat Jabatan Keadilan itu? Kenapakah WSJ tidak mempunyai pasukan yang ditubuh khas bagi melaporkan perkara itu dengan tahap obsesi yang sama?," katanya.

Di PUTRAJAYA, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, tindakan terdesak Dr. Mahathir Mohamad bertemu Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam pasti mengecewakan penyokong tegar Anwar, sekali gus memberi kelebihan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

"Kira-kira 18 tahun lalu, penyokong UMNO banyak yang keluar parti kerana mahu mem­bela Anwar, termasuk tidak suka tindakan Dr. Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri memperlakukan Anwar. Tetapi hari ini apa yang Dr. Mahathir lakukan itu telah mengecewakan penyokong Anwar.

"Saya rasa tindakan Dr. Mahathir itu telah melemahkan semangat penyokong Anwar. Beliau menjadi punca kekecewaan ahli PKR, malah menyebabkan pengikut parti pembangkang lain turut kecewa," katanya.


No comments:

Post a Comment