advertiser

Thursday, 8 September 2016

Selepas Ahli J/K teknikal Hudud dedah bab PAS hijak kerja buat mereka, kini Husam pula dedahkan versi yang sama

HUSAM PERJELAS 10 KEKHILAFAN MELALUI USUL BIL PERSENDIRIAN AKTA 355


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor, Datuk Husam Musa menyenaraikan 10 persoalan utama kekhilafan berlaku sekitar pelaksanaan hudud melalui Usul Bil Persendirian Akta 355 membabitkan keterlibatan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyudin Hassan.

Pertama Husam mempersoalkan adakah Mohd Amar dan Takiyuddin sama ada tahu dan faham apa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Teknikal Pelaksanaan Undang-Undang Jenayah Syariah Persekutuan (Bersama Pusat Dan Negeri).

“Jika anda tahu, mengapa anda berdua tidak menasihati Presiden supaya tidak melakukan sesuatu yang bertentangan dengan ketetapan Jawatankuasa berkenaan?

“Anda lebih hebat dari mereka?

“Anda tidak merujuk lebih dahulu kepada anggota Jawatankuasa berkenaan? Kenapa?,” soalnya.

Perkara kedua yang mana usul itu dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat tanpa dirundingi mahu pun dimaklumkan kepada mana-mana peringkat Pas Pusat, melainkan Presiden yang juga MP Marang yang telah dinasihatkan sebagai pembawa usul.

“Oleh kerana itu, tindakan sedemikian tidak dapat diberikan pandangan kedua.

“Bagaimana kegagalannya, jika berlaku, hendak dikongsikan dengan parti atau orang lain pada hal ia dibuat secara pintu belakang?

“Sehinggakan draf usul itu sendiri mempunyai kesalahan berkait samada kuasa yang hendak dipinda terletak di bawah Senarai Pertama atau Senarai Kedua Jadual Kesembilan Perlembagaan Malaysia!,” ujarnya.

Dakwa Husam lagi, salah seorang Penolong SUA Pas di waktu itu telah memainkan peranan merangka draf itu, mendapatkan tandangan Presiden dan menyerahkan usul itu ke Parlimen tanpa merujuk kepada pakar undang-undang.

Perkara ketiga, kesegeraan itu berlaku kerana dua orang pemimpin Kelantan telah didatangi oleh wakil salah se orang Menteri Pusat yang memberi jaminan usul itu akan diizinkan untuk dibentangkan dalam sidang Parlimen yang sedang berjalan di waktu itu, pada Mac / April 2015.

“Kedatangan wakil Menteri membawa pesan Menteri untuk bertindak sedemikian ialah sewaktu sidang Dun Kelantan untuk pembentangan Enakmen Jenayah Syariah II(1993) 2015 sedang berjalan pada tarikh 17 hingga 19 Mac.

“Sebaik pindaan dibawa iaitu pada 18 Mac, draf usul itu terus ditandatangani,”jelasnya.

Perkara keempat, Husam menambah Bil Persendirian berkenaan terus dibawa tanpa menunggu Enakmen yang baru diluluskan itu digazetkan terlebih dahulu.

“Satu kegopohan luar biasa tetapi setakat ini, berakhir dengan ketidaksampaian.

Perkara kelima katanya, setahu beliau, Jawatankuasa Teknikal Bersama Pusat Dan Negeri menetapkan pindaan Akta 355 hendaklah dibawa oleh Menteri atas nama Kerajaan Pusat selepas mendapat perkenan Raja-Raja terlebih dahulu.

“Tujuan pindaan diputuskan dibentangkan oleh Menteri atau atas nama Kerajaan Pusat kerana beberapa “pertimbangan, yang saya tidak akan panjangkan di sini atas dasar kemaslahatan jangka panjang.

Pertimbangan dan pandangan yang hampir sama telah timbul semasa mesyuarat Pas Pusat.

“Termasuk, cukup bilangan MP yang menyokong, perkenan Raja-Raja dan laluan yang paling tepat, berhemah, bukan untuk political mileage dan lain-lain.

“Adakah individu-individu terlibat tidak merasa bersalah kerana mengabaikan pandangan jamaah mereka sendiri?,” soalnya lagi.

Selain membelakangkan keputusan Jawatankuasa Teknikal Bersama, Husam juga berkata, jika pandangan mereka (Mohd Amar dan Takiyudin) lebih tepat, kenapa sampai kini usaha itu nampaknya tidak kesampaian?

Manakala perkara keenam katanya, bagaimana Presiden pada waktu itu begitu yakin usul yang dibawanya akan diizinkan untuk dibentangkan?

“Melainkan ada pihak yang memberikan keyakinan itu kepada beliau. Keyakinan itu sudah pasti dalam bentuk pihak berautoriti dari Kerajaan Pusat,” ujarnya.

Soal Husam lagi antaranya:

i. Siapa pemimpin Pas yang memberikan info tidak tepat dan memberikan keyakinan yang tidak benar itu kepada Presiden?
ii. Dari mana pemimpin Pas berkenaan mendapatkan jaminan itu?
iii. Apa bentuk jaminan itu? Bertulis, lisan atau apa?
iv. Ketepatan atau kekhilafan pemimpin atau pemimpin-pemimpin itu menilai jaminan yang diberi
v. Apakah wujud tipu daya politik dalam jaminan itu?
vi. Jika ia tipu daya politik, siapa perlu bertanggung jawab kerana terperangkap dengan tipu daya itu?

Perkara ketujuh pula Usul Bil Persendirian meminda Akta 355 tidak boleh bersandar atas 'tugas kita berusaha membentangkan sahaja. Berjaya atau gagal dibawa bukan tanggungjawab kita' kerana senario dan keadaan adalah berbeza dari Bil Persendirian mengenai isu yang sama yang pernah dibawa oleh MP Marang tidak lama dulu.

Premis kini, adanya laluan oleh Kerajaan Pusat yang dipimpin oleh Umno berikutan wujudnya Jawatankuasa Teknikal Bersama dan semangat yang ianya akan berjaya yang telah ditunjukkan oleh ucapan sekian ramai pimpinan Pas Pusat.

"Nak beli rempah kena pergi kedai rempah", katanya.

Perkara kelapan implikasi membawa Bil Persendirian Akta 355 adalah besar.

“ Mesyuarat Jawatankuasa Bersama terus terhenti sejak usul MP Marang dimasukkan. Kenapa?

“Mesyuarat terakhir Jawatankuasa berkenaan adalah pada 12 - 14 Februari 2015, iaitu kira-kira sebulan sebelum Sidang Dun Kelantan pada bulan Mac tahun itu.

“Sejak itu, Jawatankuasa berkenaan tidak lagi bersidang.

“Pada hemat saya adalah kerana kekecewaan sesetengah pihak atas kegopohan Pas yang mungkin didorong oleh pertimbangan politik yang singkat." ujarnya.

Sesuatu yang malang katanya, Pas dilihat begitu mudah dipermainkan dan tindakan Pas dilihat tidak matang.

Perkara kesembilan yang dipersoalkan Husam ialah meletakkan jawatan sebagai cagaran atas gagal berjalannya Enakmen Jenayah Syariah yang diwar-warkan sebagai Hudud bukan ciptaannya.

“Ia adalah janji Saudara MB Kelantan sendiri.

“Saya tidak menggesa beliau menunaikan janjinya atas dasar ada orang lain yang lebih ke depan mengambil peranan sehingga apa yang direncanakan gagal pada waktu ini.

“Namun, jika orang itu enggan meletakkan jawatan dan enggan pula mengambil tanggungjawab atas kegagalan yang ditempah atas salah perhitungan mereka sendiri, saya tidak dapat berbuat apa-apa.

“Dan perkara ke 10 yang dipersoalkan adalah isu-isu lain yang dibangkitkan oleh Mohd Amar dan Takiyuddin, saya letakkan respon saya dalam helai yang lain untuk lebih mudah isu ini dinilai dengan pertimbangan yang lebih 'cool” ujarnya.

Husam sebelum ini mendesak Mohd Amar yang juga Naib Presiden Pas dan Takiyuddin yang merupakan Setiausaha Agung Pas untuk bertanggungjawab berhubung isu pindaan Akta 355 di Parlimen termasuk mempertimbangkan meletak jawatan parti.

No comments:

Post a Comment