advertiser

Saturday, 17 September 2016

Benarkah Mahathir kini jadi musuh Umno?

Mahathir kini jadi musuh Umno


SUNGAI MANIK - Secara sedar atau tidak, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dahulunya pemimpin Umno telah menjadi musuh kepada ahli Umno di negara ini.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, tindakan Mahathir menubuhkan Bersatu untuk menjatuhkan Umno dan BN akan memberi kesan kepada orang Melayu.

"Kita sudah mula lihat Bersatu di bawah pimpinan Mahathir telah mula berkempen di sana-sini dengan tujuan menumbangkan kerajaan BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Kerana itu saya menyeru kepada semua pemimpin dan ahli Umno agar berwaspada kerana Bersatu berkempen dengan menyebarkan dakyah yang merupakan tuduhan yang diasak tohmahan," katanya selepas Majlis Jamuan Perdana Aidil Adha 1437 Hijrah dan Penyampaian Insentif NKEA Padi Kawasan Sungai Manik / Labu Kubong 2016, malam tadi.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, jika semua pemimpin dan ahli Umno tidak bersedia menghadapi situasi berkenaan, berkemungkinan dakyah dan tohmahan yang dibuat Bersatu akan merebak luas seluruh negara dan mendapat sokongan rakyat.

"Adalah malang sekali jika ia berlaku kerana apa yang dibawa oleh Bersatu tidak membawa kebaikan kepada Melayu dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

"Dari ucapan dia (Mahathir) yang saya lihat melalui video sudah sampai satu tahap di mana dia memang ingin menjatuhkan Umno dan BN," katanya.

Tambahnya ahli serta penyokong Umno perlu menyedari perkara ini dan mengambil tindakan yang tepat bagi memastikan apa yang dirancang Mahathir gagal dilaksanakan.

"Adalah malang sekali dia yang dahulunya pemimpin Umno tanpa sedar atau tidak dia kini menjadi musuh kepada Umno.

"Kepada semua ahli Umno, Tun M telah menjadi musuh nombor satu kepada kita atas tindakannya itu," katanya.

No comments:

Post a Comment