advertiser

Saturday, 3 September 2016

Akhirnya pimpinan UMNO sendiri mengaku mereka mengamalkan POLITIK WANG..!!

Rais: Tindakan Jamal aibkan parti, bukti wujud politik wang dalam Umno

Rais Yatim
PETALING JAYA: Tindakan Datuk Jamal Md Yunos menawarkan RM1,000 secara terang-terangan kepada setiap perwakilan pada Rabu lalu, mengaibkan Umno kerana ia membuktikan wujud amalan politik wang dalam parti itu.

Pemimpin veteran Umno, Tan Sri Rais Yatim berkata, ia turut menunjukkan berlaku rasuah, salah guna kuasa, pembaziran dan perbuatan membeli pengaruh dalam Umno.

Sehubungan itu, beliau menggesa majlis tertinggi parti mengambil tindakan sewajarnya supaya pemimpin lain menghentikan perbuatan sama seperti ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu.

"Apabila Jamal membuat pengumuman itu, dengan sendirinya dia membuat kepastian tentang apa yang diserlahkan masyarakat terhadap Umno.

"Selama ini saya di dalam Umno, tidak pernah ada seorang pemimpin yang mengaku mengagih duit secara menyeluruh.

"Saya kena nasihatkan. Adakah selama ini anda guna duit untuk membuat lawatan, berfoya-foya, kepentingan remeh dan sebagainya.

"Orang boleh membuat perbandingan. Mengapa tidak diguna duit itu kepada anak-anak yatim atau kegunaan kelas tambahan kepada masyarakat," katanya yang dipetik Astro Awani Online hari ini.

Rais mengulas tindakan Jamal mengumumkan pemberian wang tunai RM1,000 kepada setiap ketua cawangan Umno dan 646 perwakilan pada majlis perasmian mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Sungai Besar, kelmarin, bagi menggantikan rancangan asal membawa mereka ke Dubai untuk lawatan sambil belajar.

Penasihat kerajaan dalam hal ehwal sosial dan kebudayaan itu berkata, tindakan Jamal itu akan terus mengeruhkan imej Umno yang sudah teruk di mata masyarakat hari ini.

Semalam, Jamal berkata, beliau adalah orang baik dan mempunyai ramai kawan yang murah hati dan sanggup menyumbang sehingga RM50,000 kepadanya.

Bagaimanapun, beliau tidak akan mengambil satu sen pun daripada sumbangan itu, sebaliknya ia akan diberikan kepada ahli Umno dan rakyat Sungai Besar.

No comments:

Post a Comment