advertiser

Tuesday, 30 August 2016

Syed Saddiq: Melayu malu mengaku Melayu angkara rasuah

Adam Abu Bakar | August 29, 2016

Orang Melayu hari ini dikaitkan dengan amalan rasuah dan tidak boleh berdikari, dakwa pemimpin muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

syed-saddiq-rasuah

SHAH ALAM: Identiti Melayu perlu dipulihkan memandangkan orang Melayu sendiri sudah mulai malu dikaitkan dengan bangsanya, dakwa pemimpin muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Keadaan itu berbangkit lantaran identiti Melayu moden hari ini sering dikaitkan dengan amalan rasuah dan tidak boleh berdikari, jelasnya.

“Saya sedih kerana Melayu sering dikaitkan dengan budaya rasuah, korupsi, layu dan pelbagai lagi stereotaip yang menjatuhkan maruah Melayu di Malaysia.

“Kita perlu wujudkan suatu fasa atau fenomena, situasi politik baru yang mahu mengekalkan identiti Melayu tetapi pada masa sama ingin mereformasikan demokrasi institusi negara,” katanya di wacana ‘Politik Malaysia: Di mana Melayu?” anjuran Sinar di Kompleks Media Karangkraf hari ini.

Wacana itu menampilkan Syed Saddiq, Naib Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin, Ketua Penerangan Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari, Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Razlan Rafii dan Senator Siti Aishah Shaik Ismail daripada PKR.

Nazri Kahar sebagai moderator.

Meneruskan hujahnya, Syed Saddiq akui agenda ekonomi Bumiputera mengubah sebahagian kehidupan bangsa Melayu dan suara orang Melayu dalam lapangan nasional.

“Namun, keadaan kini berubah. Bangsa Melayu bukan lagi mahukan kebajikan mereka sahaja dijaga tetapi juga mahukan integriti,” katanya.

Dalam sesi soal jawab, Syed Saddiq diminta hadirin supaya mengemukakan fakta dan statistik yang menyokong dakwaan identiti Melayu dikaitkan kepada amalan rasuah.

Pemimpin muda parti Pribumi – yang diasaskan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad – itu kemudian menyorot perhatian pendengar kepada Indeks Rasuah Transparency International yang menunjukkan kedudukan negara terus corot sejak 2012, katanya.

“Selain itu, jika kita lihat apa yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) menyatakan isu 1MDB adalah kes penyelewengan wang terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat,” katanya.

Kaitannya, menurut Syed Saddiq, amalan rasuah serta skandal yang terbit darinya mencerminkan keberkesanan institusi yang dikaitkan dengan kerajaan pimpinan Melayu seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan polis.

“Jalan untuk orang Melayu (pulihkan maruah) hanya apabila institusi negara dibebaskan (daripada rasuah dan salahguna kuasa),” tegasnya.

Pribumi ditubuhkan oleh bekas ahli dan pemimpin Umno yang dipecat atau meletak keahlian kerana memusuhi presiden parti dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, antara lain susulan kontroversi 1Malaysia Development Berhad dan sumbangan politik RM2.6 bilion.

No comments:

Post a Comment