advertiser

Thursday, 4 August 2016

'Skandal 1MDB bukan isu rasuah, tapi penipuan, pelaburan'


Skandal 1MDB bukan melibatkan isu rasuah, justeru tiada lagi sebarang siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya, kata bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Seri Zakaria Jaffar.

"1MDB ini kalau ikut kenyataan (Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM) Datuk Mohd Shukri (Abdull), SPRM belum menyiasat kerana ia bukan isu rasuah.

"Ia isu pelaburan, isu penipuan, jadi polis yang kena lakukan siasatan manakala isu melibatkan pelaburan, Bank Negara.

"Jadi SPRM kalau ada unsur rasuah baru boleh siasat, setakat ini tak ada lagi bunyi. Jadi 1MDB bukan di bawah SPRM," kata Zakaria dalam sesi soal jawab bersama hadirin yang hadir dalam ceramah anjuran PAS Putrajaya, malam tadi.

Malah, Zakaria berkata tidak ada siasatan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana tiada laporan terhadap beliau.

Dalam ceramah bertajuk Rasuah dan isu semasa itu Zakaria diminta mengulas isu skandal 1MDB.

Isu skandal 1MDB hangat dibicarakan sejak setahun yang lalu apabila wujud dakwaan salah laku terhadap Najib.

Ia diikuti oleh saman sivil yang difailkan oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat untuk menyita aset yang berkaitan dengan dana 1MDB.

Sementara itu, Zakaria dalam ceramahnya mengingatkan orang awam agar tidak membuat tuduhan terhadap pegawai SPRM.

Zakaria berkata ini kerana setiap pegawai yang dilantik SPRM telah mengangkat sumpah dengan nama Allah.

"Dalam pelantikan ketua pengarah dan pegawai SPRM mereka mengangkat sumpah dengan nama Allah dan ini yang kita tak sanggup (berdepan dengan Allah).

"Jadi jangan kita tuduh-tuduh nanti susah nak minta maaf balik. Kita bersumpah dengan nama Allah jadi orang yang ada iman dia tak berani nak buat (salah laku)," tegas Zakaria.

Justeru, adalah menjadi kewajipan kepada mereka untuk mencegah segala kegiatan rasuah.

Manakala tanggungjawab orang awam adalah melaporkan kesalahan rasuah, kata Zakaria.

"Tuan-tuan tidak ada kuasa di bawah SPRM tetapi untuk mencegah rasuah boleh laporkan ke SPRM.

"Kalau SPRM tak buat itu tanggungjawab dia, tugas diberi daripada Allah dia tak selesaikan maka dia akan jawab dengan Allah," kata Zakaria.

Malah, Zakaria turut meminta orang awam memberi kepercayaan kepada SPRM.

"Tuan dan puan bagi kepercayaan kepada mereka. Saya tak sanggup berdepan dengan soal jawab Allah SWT, begitu juga dengan sahabat saya dalam SPRM," kata Zakaria.

1 comment: