advertiser

Sunday, 7 August 2016

Lawan dan kawan sama penting

Malaysia

DALAM era internet, dunia dipanggil ‘desa buana’. Disebabkan ia ibarat desa, ia adalah berkaitan antara sama satu lain, dipanggil inter-connected. Dalam bahasa Inggeris, pemeriannya ialah a global village of connectivity (sebuah desa buana yang berkait-kaitan’. Maka tidak hairanlah AS, sebagai pihak yang paling kuat dan kaya di desa itu cenderung memastikan segala yang berlaku di dalamnya tidak menjejaskan kepentingannya dari segi keselamatan, ekonomi dan kemanusiaannya.

Pengganas yang dipanggil terrorist dan sebagainya yang merosakkan rukun hidup rakyatnya mahu dihapuskan. Ekonominya yang diterjemahkan kepada jumlah wang yang memasuki kocek rakyatnya dipastikan tidak tercemar oleh tindak-tanduk pihak luar. Pasarannya paling besar. Pendapatan per kapita rakyatnya ialah 55,000 dolar AS setahun, lebih kurang RM220,000. Justeru hasil Keluaran Kasarnya ialah kira-kira 18 trilion dolar setahun. (Satu trilion = 1,000,000,000,000. Darabkan dengan 4.05 untuk dijadikan Ringgit).

Semua pihak dalam desa buana itu mahu eksportkan barangan masing-masing ke dalam pasaran AS. Aturan salingan membuatkan AS mengeksport juga barangannya ke luar negara apabila timbulnya keadaan di mana membuat sendiri sesuatu barang adalah lebih mahal daripada membeli barang itu dari luar negara.

Dalam usaha memastikan segalanya berjalan dengan baik menurut pertimbangannya, AS terpaksa berhadapan musuhnya yang terbesar, komunis: Soviet Union, kini tinggal Rusia dan China. Kini Soviet bukan lagi komunis.

Meskipun Malaya (kini Malaysia) sudah berjaya menumpaskan gerakan pengganas komunis, namun di Filipina, gerakan komunis masih hidup. Peristiwa yang mengejutkan ialah apabila Presiden Filipina, Duterte mengumumkan langkah berdamai dengan komunis Filipina itu tanpa bersyarat.

Indonesia sebagai jiran terdekat kita tidak sunyi dari gugatan itu. Dalam era Presiden Sukarno sejak selepas Perang Dunia II, Indonesia amat rapat dengan Soviet dan China, sebagai imbangan kepada Amerika Syarikat. Kedua-dua pihak membuat apa saja untuk memenangi Indonesia ke blok masing-masing. Dalam persaingan itu, timbullah tindakan berlebihan. Ia membahayakan Sukarno, sedangkan AS dan Soviet-China sama-sama tertangguk.

Laungan politik Sukarno ‘NASAKOM’, kependekan untuk ‘Nasionalis, Agama dan Komunis’, amat merumitkan. AS sudah memerhatikan segalanya itu, dan menyusun strategi untuk menampung ledakan akibatnya. Apabila Gestapu (Gerakan September Tiga Puluh) meletus di akhir 1965, ketika mana jeneral-jeneral tertinggi Indonesia dibunuh, maka AS dikatakan aktif di latar belakang bekerjasama dengan ABRI (Angkatan Bersenjata Rakyat Indonesia) memulihkan keadaan seperti sediakala, tetapi bukan tanpa beratus ribu, malah berjuta, rakyat terkorban.

Jeneral Suharto (bukan jeneral penuh) menjadi Kepala Pemulihan Keselamatan dan Tata-Hidup Negara. Dalam prosesnya, beliau menjadi presiden tidak berapa lama kemudian, selepas Sukarno diturunkan dari jawatannya. Sejak itu sehingga 1998, Suharto menjadi Presiden Indonesia, selama kira-kira 32 tahun. Menurut satu laporan, Mahkamah Rakyat Antarabangsa di Den Hague pada akhir 2015 mula bertumpu kepada kemungkinan jenayah terhadap kemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai di Indonesia selepas Gestapu 1965.

Presiden Suharto disebut sebagai orang yang memberikan arahan. Ramai pula mantan pegawai tinggi tentera yang menguatkuasakan arahan Suharto. Kemungkinan tuduhan yang akan dikenakan ialah pembunuhan beramai-ramai rakyat yang tidak bersenjata. Yang mati memang sudah mati. Yang terlepas dan masih hidup, termasuk kaum keluarga masih terus mengalami emosi yang mendalam.

Ini terpulang kepada AS yang ‘kontrol’ Bangsa-Bangsa Bersatu sama-ada menerima atau menolak rekomendasi membicarakan mereka yang terbabit dalam jenayah itu. Jika perbicaraan berlaku, nescaya legasi Suharto akan terjejas lebih teruk, kalaupun tidak menjadi hancur sama sekali. AS telah membuktikan dirinya berkali-kali: dia berkawan baik untuk mencapai tujuannya. Ia bertukar menjadi musuh tegar untuk mencapai tujuan lain pula. Tanyalah Saddam Hussein, Muammar Ghadafi, dan ramai lagi pemimpin d Amerika Selatan, di Selatan dan Utara Sahara di Afrika, juga di Vietnam dan Kemboja, di Indo-China dan lain-lain.

Dalam hubungan AS dengan Malaysia, perlu diingati bahawa negara terkuat dan terbesar itu tidak terus berkawan dengan kawan dan tidak terus melawan dengan lawan. AS berkawan untuk mencapai maksud tertentu. Kawan boleh bertukar menjadi lawan, juga untuk maksud tertentu. Jika berlaku seperti yang diandaikan, Indonesia akan menjadi bukti bahawa bagi AS, lawan dan kawan sama-sama penting, demi tujuannya. Soalnya, apa yang jadi kepada pihak yang bertukar menjadi lawan. Tunggulah nasib Indonesia.

* Tan Sri Adam A Kadir, mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet

No comments:

Post a Comment