Friday, 17 March 2017

Mungkinkah ‘Tsunami Mahathir’ akan menumpaskan Najib dan BN dalam PRU14, soal Dr Agus

KUALA LUMPUR: Setelah meneliti ceramah tiga pemimpin kebelakangan ini, pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohamad Agus Yusof meramalkan kemungkinan berlakunya "Tsunami Mahathir" dalam pilihan raya umum ke 14 nanti.

Dalam satu tulisan pada akuan Facebook beliau, Agus berkata, beliau telah mengikuti tiga ceramah awal bulan ini.

Pada 3 Februari 2017, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi ceramah di Alor Limbat, Terengganu.

Pada 13 Mac 2017, Datuk Seri Najib memberi ucapan di Bachok, Kelantan.

Pada 15 Mac 2017, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi ceramah di Cherang, Kelantan.

"Setelah meneliti ceramah tiga pemimpin ini, mungkinkah yang muncul dalam PRU14 nanti ialah Tsunami Mahathir? Pertanyaan ini wajar diberi perhatian," tulis Agus yang sebelum ini meramalkan kemungkinan Kerajaan Pas Kelantan akan jatuh.

Menurut Agus, dalam PRU 1999, biarpun di penjara, Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) menggoncang politik Malaysia.

"Ketika itu, goncangan ini kita panggil gerakan Reformasi," katanya.

Dalam PRU 2008, DSAI yang sudah di luar penjara memimpin pakatan pembangkang dan berjaya menafikan kemenangan dua pertiga majoriti BN.

"Ketika itu, kebangkitan rakyat ini kita panggil tsunami politik," katanya lagi.

Dalam PRU 2013, BN sekali lagi gagal memenangi pilihan raya dengan dua pertiga majoriti.

"Ketika itu, kita panggil Tsunami Cina," kata saintis politik itu.

Sehubungan itu, beliau membangkitkan apakah akan berlaku dalam PRU 14 nanti.

"Tsunami apa pula yang akan muncul?" katanya.

Bagi beliau, tsunami DSAI tidak mungkin dalam keadaannya sekarang (berada di penjara) kecuali mendapat pengampunan diraja.

"Maka, tokoh yang menentukan gelombang politik Malaysia seterusnya adalah di tangan tiga pemimpin ini — DS Najib Razak yang memimpin BN, Tun Dr Mahathir yang berada dalam PH (Pakatan Harapan) dan Tuan Guru Haji Hadi Awang yang menerajui Pas," tulis beliau.

Thursday, 16 March 2017

Adakah Parti Baru dari Ezam & Khairuddin adalah untuk melengkapkan Gabungan Baru PH+PPBM untuk berhadapan BN..?

Parti baharu, tunggu kenyataan rasmi saya: Ezzam


SHAH ALAM – Tunggu kenyataan rasmi saya, demikian jawapan ringkas oleh bekas Senator, Datuk Ezzam Mohd Nor berkenaan desas-desus parti baharu yang akan ditubuhkannya.

Beliau yang enggan mengulas lanjut berkaitan perkara itu memberitahu, satu kenyataan rasmi hanya akan diberikan pada Jumaat.

"Saya berada di luar negara, kenyataan rasmi akan saya berikan esok (Jumaat)," katanya menerusi pesanan ringkas WhatApp sebentar tadi. Memetik laporan Free Malaysia Today, bekas anggota Bersatu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Ezzam dikatakan dalam fasa menubuhkan sebuah parti baharu.

Khairuddin berkata, parti itu ditubuhkan khusus untuk memerangi gejala rasuah yang berlaku di negara ini.


Biarpun masih di peringkat permulaan, namun parti itu mensasarkan golongan muda khususnya generasi Y bagi mengelakkan diri daripada rasuah.

"Kami sebuah parti dengan objektif tunggal memerangi rasuah," kata bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu.

"Generasi Y (lahir 1980-an hingga awal 1990-an) pada masa ini nampaknya dipinggirkan dan diabaikan, tetapi parti yang akan ditubuhkan ini akan menjadikan Gen Y tumpuan mereka," katanya kepada portal berkenaan.

Khairuddin berkata, parti baharu itu nanti tidak akan bersaing melawan pakatan pembangkang terbesar, Pakatan Harapan.

Sebaliknya, mereka mahu melengkapkan Pakatan Harapan dan sekutu baharu, Bersatu yang diasaskan Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Apa sahaja kelemahan Pakatan Harapan, kami akan ambil tanggungjawab menutup kekurangan itu.

"Untuk PRU14 nanti, kami hanya minta diberi dua kerusi," katanya.

Dua kerusi itu adalah kerusi Parlimen Pekan, iaitu kawasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dan kerusi Titiwangsa, iaitu kawasan Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Ezam menyasarkan Najib sementara Khairuddin mahu mencabar Johari.

"Jika Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia meluluskan parti ini, kami akan buat permohonan rasmi kepada Pakatan Harapan dan tanya bolehkah kami menjadi parti komponen.

"Kami juga memilih Pekan dan Titiwangsa kerana ahli Parlimen di situ mengetuai kementerian kewangan, yang menjadi lubuk kepada masalah kewangan negara.

"Kami mahu baiki masalah itu, kami mahu hentikan sebarang bentuk rasuah dalam kementerian itu."

Sehingga ini, hasrat itu masih belum dinyatakan kepada pimpinan Pakatan Harapan dan Tun Mahathir, tetapi akan berbuat demikian dalam masa terdekat.

Pada PRU15 nanti, parti ini bersedia mengambil peranan sebagai pemimpin negara masa depan.

"Ini bukan lagi mengenai kami. Kami hanya mahu membentuk mereka menjadi pemimpin berwibawa yang akan mengambil tempat kita suatu hari nanti.

"Sebab itu kami tidak terburu-buru menjadi sebuah parti yang besar. Itu cerita kemudian hari, mungkin pada PRU15," katanya.